Saturday 21 March 2015

Terkini Kenyataan Media Terbaru PKR Tetap Tolak Hudud



KENYATAAN MEDIA
21 Mac 2015

RANG UNDANG-UNDANG PERSENDIRIAN MENGENAI KUASA MAHKAMAH SYARIAH

Biro Politik KEADILAN telah bermesyuarat pada 20 Mac 2015 dan membincangkan secara khusus cadangan Rang Undang-Undang (RUU) Persendirian mengenai kuasa mahkamah syariah yang telah diberi notis oleh Ahli Parlimen Marang kepada Setiausaha Dewan Rakyat Parlimen Malaysia pada 18 Mac 2015.

Ini lanjutan daripada Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan yang telah meluluskan Enakmen Jenayah Syariah II Kelantan 1993 (pindaan 2015) atau hukum hudud.

KEADILAN membuat ketetapan tidak boleh menyokong Rang Undang-Undang Persendirian tersebut atas pertimbangan-pertimbangan berikut:

1. Kami tidak dimaklumkan tentang isi kandungan RUU Persendirian tersebut. Ia dicadangkan secara “unilateral” tanpa pemberitahuan kepada rakan-rakan parti komponen Pakatan Rakyat dan bercanggah dengan keputusan Mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat pada 8 Februari 2015.

2. Sekiranya RUU Persendirian tersebut berkaitan dengan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II Kelantan, KEADILAN tetap dengan pendirian asal, iaitu untuk tidak menyokong berdasarkan prinsip Fiqh Al-Awlawiyyat, Maslahat Ummah dan Maqasid Syariah.

Mengikut Peraturan Tetap Dewan Rakyat, sebarang RUU hanya akan dibahaskan dengan restu pihak kerajaan. Hakikatnya, tidak ada seorang pimpinan tertinggi Umno atau Barisan Nasional pun yang telah membuat kenyataan terbuka dan jelas mengenai pendirian mereka berkenaan RUU Persendirian tersebut jika di bawa ke Parlimen, termasuklah Dato’ Seri Najib Tun Razak dan timbalan beliau Tan Sri Muhyiddin Yassin. 

Justeru, KEADILAN menggesa kerajaan UMNO-BN untuk menjelaskan sama ada ia merestui RUU Persendirian tersebut dibahas dan diundi di Parlimen.

YB Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail
Presiden KEADILAN

YAB Azmin Ali
Timbalan Presiden KEADILAN

YB Nurul Izzah Anwar
Naib Presiden KEADILAN

YB Shamsul Iskandar Md Akin
Naib Presiden KEADILAN

YB Rafizi Ramli
Setiausaha Agung merangkap Naib Presiden KEADILAN

YB Zuraida Kamaruddin
Ketua Wanita KEADILAN

YB Nik Nazmi Nik Ahmad
Ketua Angkatan Muda KEADILAN

1 comments:

  1. Mana mungkin DaP&PKR mahu PAS keluar,itu taktik mereka.ingat UMNO,silap silap nanti jadi hang jadi mangsa

    ReplyDelete