HOME

Pages

Thursday, 29 September 2016

Husam Kuasa 10 Serang Pas Kelantan Lagi!!

*OH DURIAN KUNYIT!* 

Saya berbesar hati kerana akhirnya, Pengarah Perhutanan Negeri Kelantan mengambil tanggung jawab memberikan respon untuk pencerahan bersama dalam isu pelupusan Hutan Simpan Kekal Negeri Kelantan secara sistematik - terakhir dengan kelulusan TANAMAN LADANG DURIAN KUNYIT DALAM HUTAN SIMPAN KEKAL KELANTAN YANG DIDAKWA TELAH DITEROKA.

Sememangnya menjadi tanggung jawab penjawat awam untuk telus dalam menyampaikan maklumat berkaitan bidang tugas mereka. Amalan menyembunyikan maklumat adalah patut dielakkan.

Penyampaian maklumat, bila diperlukan oleh masyarakat  awam, seharusnya holistik dan tidak terpilih atau gambaran separuh.

A.  KELUASAN SEBENAR DILULUSKAN UNTUK TANAMAN DURIAN KUNYIT?

Tuan Pengarah Hutan dalam jawapan hari ini menulis:

_“( 5 ) Kerajaan Negeri telah meluluskan secara dasar kepada empat buah syarikat sahaja.  Daripada jumlah tersebut hanya dua syarikat sahaja diberi kelulusan perlesenan yang melibatkan kawasan seluas 100 hektar iaitu Syarikat Gunung Basor Enterprise dan Syarikat Kundor Tegoh Solution Sdn. Bhd.  Dakwaan yang menyatakan kelulusan pembangunan kawasan teroka haram dalam KSK seluas 1,697 hektar adalah tidak benar”._

*Ada empat kelulusan dasar diberikan.* Dua dari empat kelulusan dasar itu telah diberikan kelulusan pelesenan iaitu Syarikat Gunung Basor Enterprise dan Syarikat Kundor Tegoh Solution Sdn Bhd.

Para jawapan Tuan Pengarah di atas tidak jelas, samada setiap satu syarikat dari ke empat-empat syarikat diluluskan itu mendapat 100 ha masing-masing atau 100 ha dibahagikan dengan dua  syarikat.

Saya terpaksa membuat sedikit andaian dan ini rasanya diizinkan dalam _investigative writing._

a. Jika setiap satu syarikat mendapat 100 ha masing-masing, bermakna jumlah keluasan bagi ke empat-empat syarikat termasuk yang mendapat *kelulusan dasar tetapi belum mendapat kelulusan lesen adalah 400 ha.*

Angka ini tidak sama dengan apa yang disebut oleh SUP MB, bahawa hanya 100 ha sahaja yang telah diluluskan.

b. Jika 100 ha itu adalah untuk dua syarikat, bermakna setiap satu syarikat mendapat 50 ha masing-masing.

c. Lebih tepat rasanya, maksud Tuan Pengarah itu adalah masing-masing Syarikat Gunung Basor Enterprise dan Syarikat Kundor Tegoh Solution Sdn. telah diluluskan seluas  100 ha.

Bermakna, jumlah keluasan bagi dua syarikat ini adalah 200 ha.

d. Memandangkan dalam kenyataannya Tuan Pengarah tidak menyebut bahawa dua lagi syarikat yang telah mendapat kelulusan dasar tidak pula dibatalkan tetapi hanya belum mendapat kelulusan lesen, *maka adalah selamat untuk berpendapat seluas 400 ha HSK telah diluluskan untuk tanaman durian kunyit.*

e. Kesemua angka ini bersalahan dengan angka 100 ha yang disebut oleh SUP MB.

B. HSK MANA YANG TERLIBAT?

Tuan Pengarah Perhutanan telah menafikan bahawa kawasan yang diluluskan kepada Gunong Basor dan Kundor Tegoh Solution adalah  HSK Sg Brok:

_“( 2 ) Berhubung dengan dakwaan yang menyatakan terdapat kelulusan Projek Pembangunan Kawasan Teroka Haram dengan tanaman spesies pokok durian kunyit di Kompartmen 32 dan 34, Hutan Simpan Sungai Brok, hasil semakan JPNK mendapati dakwaan tersebut tidak benar dan tidak berasas.  Ini kerana hasil semakan adalah seperti berikut:_ 

_(i) Pelan kawasan yang tertera dalam kawasan tersebut adalah tidak merujuk kepada Kompartmen 32 dan 34, Hutan Simpan Sungai Brok.  Ini kerana pelan kawasan yang dinyatakan adalah di Hutan Simpan Ulu Galas;”_

Tuan Pengarah seharusnya sedar, isu perkaitan dengan HS Sg Brok berbangkit ekoran surat sokongan dari Pejabat MB Kelantan ditujukan kepada  beliau yang menyebut dalam kepala surat itu seperti berikut:

*“PERMOHONAN PROJEK LADANG TANAMAN DURIAN KUNYIT DI DALAM HUTAN SIMPAN SUNGAI BEROK, KOMPARTMEN 32 DAN 34 SELUAS 404.0 HEKTAR (DALAM ZON TLC)”*

No rujukan surat Pejabat MB adalah MB KN (D) 700-1/1 (33) bertarikh 31 Mac 2016.

Surat ini menyokong permohonan SYARIKAT GUNONG BASOR yang disebut oleh tuan *telah pun mendapat kelulusan lesen.*

a. Di manakah sebenarnya kawasan Hutan Simpan yang diluluskan untuk Syarikat Gunong Basor jika ia bukan HS Sg Berok?

Tuan Pengarahlah sepatutnya memaklumkan kepada awam untuk menghilangkan kekeliruan.

Gunong Basor dalam surat Pejabat MB, memohon di HS Sg Berok.

Tuan menyatakan pelan itu bukan merujuk kepada Sg Berok tetapi Hutan Simpan Ulu Galas.

Jika Gunong Basor diluluskan Hutan Simpan lain sama sekali sedangkan ia memohon untuk kelulusan HS Sg Berok, keadaan tentu menjadi bertambah keliru.  *Lain tempat yang dipohon, lain pula yang diluluskan?!*

Saya sertakan sekali lagi salinan surat Pejabat MB itu.

Jika pelan dan kawasannya salah, Pejabat MBlah yang patut disalahkan kerana menyebut kawasan yang salah!

Kecuali Gunung Basor mempunyai lebih dari satu permohonan untuk tujuan sedemikian.

Saya pohon Tuan Pengarah menyebut secara jelas kawasan yang telah diluluskan kepada Gunong Basor dan Kundor Tegoh Solution.

Habis cerita!

C. Bila Gunong Basor dan Kundor Tegoh Solution mendapat kelulusan?

Tarikh kelulusan lesen bagi kedua syarikat ini penting. Tetapi Tuan Pengarah tidak menyatakannya dalam kenyataannya. 

Jika keduanya mendapat kelulusan melalui mesyuarat 6 April 2016, bermakna Pejabat Hutan hanya mempunyai masa selama ENAM HARI  dari tarikh surat Pejabat MB.

Adakah tempoh sesingkat itu memungkinkan Pejabat Hutan membuat kertas mesyuarat yang lengkap dan teratur? Menyemak pelan yang dipohon, menyemak keadaan sebenar di lapangan dan membuat persiapan lain yang diperlukan sehingga KELULUSAN LESEN boleh dikeluarkan?

Saya kira, di sini SPRM mempunyai sebab untuk menyemak kelulusan seperti ini.

Jika Gunung Basor mendapat kelulusan lebih awal dari tarikh 6 April, bermakna Gunong Basor mempunyai lebih dari satu permohonan.

Bagaimana pula Pejabat MB boleh memberikan surat sokongan baru untuk Gunung Basor bagi tujuan yang sama? Sedangkan sebelum itu Gunong Basor telah pernah mendapat kelulusan?

Apa keistimewaan Gunong Basor pada mata MB?

D. BILA GUNONG BASOR DAN KUNDOR TEGOH SOLUTION MENDAPAT KELULUSAN LESEN?

Maklumat yang ada bagi masyarakat awam adalah surat dari Pejabat MB menyokong permohonan Gunong Basor bertarikh 31 Mac 2016.

Maklumat ini berkembang dengan kenyatan Tuan Pengarah Hutan SENDIRI pada hari ini iaitu Gunong Basor dan Tegoh Kundur TELAH PUN MENDAPAT KELULUSAN LESEN!

Secepat kilat? 

Apa rahsia kecekapan luar biasa ini?

Kita pohon Tuan Pengarah memberikan maklumat penuh termasuk tarikh kedua syarikat ini diluluskan lesen.

E. BANCIAN DAHULU ATAU LULUS LESEN DAHULU?

Memandangkan dua syarikat disebut Tuan Pengarah Hutan telah mendapat lesen, wajarlah dijelaskan samada lesen diluluskan sebelum bancian atau selepas bancian?

F. BERAPA ISI HUTAN KAWASAN BERKENAAN?

Jika bancian telah dibuat, berapakah isi kayu bagi kawasan terbabit?

Jika bancian belum dibuat, bagaimana kelulusan lesen boleh diberikan?

G. APA KEDUDUKAN AA PAVILION MINING?

Saya menarik perhatian Tuan Pengarah kepada surat beliau bernombor rujukan : *PHN.KN200/1/2287 (15) bertarikh 20 April 2016* yang saya kembarkan sekali lagi, andainya beliau tidak membaca sepenuhnya posting saya sebelum ini.

Kepala surat beliau berbunyi:
  
*“PERMOHONAN CADANGAN PEMBANGUNAN TANAMAN POKOK DURIAN KUNYIT DALAM KAWASAN PEMBANGUNAN LADANG HUTAN DAN MENGEKALKAN POKOK SAWIT YANG TELAH DITANAM DALAM KAWASAN TEROKA HARAM DI HSK ULU GALAS DAN HSK BATU PAPAN”.*

Tuan Pengarah selanjutnya menulis : _“Mesyuarat Jawatankuasa Kecil Perhutanan Bil 2/2016 pada 6 April 2016 telah membuat keputusan secara dasar MELULUSKAN (huruf besar ini adalah ada dalam surat asal) permohonan tuan *untuk tanaman pokok durian kunyit*….”._

 Adakah surat ini benar?

Jika surat ini palsu, adakah Tuan telah membuat laporan polis?

Jika ia benar, adakah sekali lagi pemilik yang sama antara Gunong Basor dan AA Pavilion mendapat kelulusan menanam durian kunyit lebih dari satu kelulusan?

Jika surat ini benar, bermakna kawasan HSK yang dilluluskan untuk tanaman durian kunyit melebihi dari empat syraikat dan melebihi dari 400 ha.

Jika surat ini tidak benar, saya cadangkan laporan polis dibuat segera.

b. Surat Tuan ini ada menyebut HS Ulu Galas dan sekali gus HS Batu Papan.

Pohon penjelasan lanjut atas kedudukan ini.

H. DURIAN KUNYIT SEBAGAI PERINTIS

Tuan Pengarah Hutan menulis:

_“( 3 ) Pemilihan spesies Pokok Durian Kunyit dalam Program Penghutanan Semula di kawasan teroka haram adalah sebahagian pokok hutan yang dibenarkan dalam projek perintis ini”._

Memandangkan ia projek perintis, sudahkah kajian dibuat terlebih dahulu bagi pemilihan spesis ini?

Bila kajian itu dilakukan?

Setahu saya, durian kunyit adalah pohon rendang yang bercabang rendah. Ia berbatang kecil dan menghasilkan non timber size.

Bagaimana ia boleh dipilih sebagai pokok untuk Ladang Hutan yang sifatnya melindungi hutan dan menghasilkan kayu?

Bagaimana balak boleh terhasil dari batang yang rendah dan rendang?

Jika kertas kajian itu wujud, saya berharap ia dapat ditunjukkan kepada orang ramai.

Jika ia kajian perintis, berapakah luas yang lebih sesuai sebelum kajian ini membuktikan kejayaan?

Adakah keluasan itu ditentukan oleh Jabatan Hutan atau oleh pemohon?

I. APAKAH KELAYAKAN SYARIKAT  YANG DIPILIH?

Apakah kelayakan Gunong Basor, Kundor Tegoh dan AA Pavilion Mining sehingga mereka diberi peluang untuk melaksanakan projek printis ini?

Berdasarkan namanya, AA Pavilion adalah terlibat dalam perlombongan tetapi bernasib baik mendapat DURIAN RUNTUH?

J. KENAPA TIDAK DITENDER SECARA TERBUKA?

Jika ia bertujuan sebagai projek perintis, kenapa tidak ditender secara terbuka supaya pihak yang benar-benar mahir dengan penanaman durian kunyit diberikan peluang?

K. KELULUSAN TELAH DIAKUI

Akhirnya, tempat dan keluasan adalah isu kedua.

Isu utama di sini adalah, *AKHIRNYA KENYATAAN SAYA BAHAWA HUTAN SIMPAN KEKAL TELAH DITUKAR KEPADA LADANG DURIAN KUNYIT ADALAH BENAR!* 
 
Ceramah saya di Salor pada 16 September  lalu adalah benar.

L. LEBIH BANYAK JAWAPAN, LEBIH BANYAK KEKELIRUAN

Jawapan Tuan Pengarah Perhutanan ini menambahkan lagi kekeliruan dan menunjukkan lebih banyak percanggahan dengan kenyatan Tuan SUP MB Kelantan dan Tuan Ali Omar yang mendapat kelulusan berkenaan.

Banyak pula lompang yang belum terjawab tentang amalan penbangan habis hutan atas pelbagai premis dan alasan yang sedap-sedap.

Pada akhirnya Hutan Simpan Kekal Kelantan akan semakin pupus dan pihak-pihak dapat mengaut kekayaan dengan cara yang mengorbankan hasil mahsul negeri ini, termasuk amalan tanpa tender terbuka.

Akan tiba masanya, semua ini akan terbongkar dan saya telah pun mengambil tugas saya memberikan peringatan demi peringatan.

M. Saya telah cuba menalipon Tuan Pengarah berkali-kali tetapi gagal.

Saya juga telah mengubungi beliau melalui sms untuk mengatur pertemuan supaya semua pertanyaan dan kesangsian mendapat penjelasan.

Surat memohon temu janji juga telah dihantar ke pejabat beliau.

Saya masih menunggu perjumpaan dengan beliau.

Oh Durian Kunyit!

Husam Musa          
29 September 2016
27 Zulhijjah 1437

10 Tahun Baru Selesai Isu Air Kelantan?!!

 Sudah beberapa penggal Kerajaan Pas Kelantan memerintah tetapi rakyatnya terpaksa menanggung masalah air yang sekian lama membelenggu rakyat! Hari inj keluar kenyataan isu air ini akan selesai dalam 10 tahun lagi! Kesian rakyat Kelantan yang terpaksa menanggung derita ini.