Penduduk Kelantan diminta untuk memberi peluang kepada calon lain bagi
memerintah Kelantan, berbanding memberikan takhta yang sama kepada Pas,
sejak 22 tahun lalu.
Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali berkata, beliau mengakui
Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mempunyai ilmu agama yang
tinggi, namun Nik Aziz masih cetek dalam ilmu pentadbiran.
Menurutnya, Nik Abdul Aziz tidak layak digelar sebagai pemimpin
teknokrat kerana beliau bukan seorang yang berfikiran kritis terutama
dalam bidang inovasi dan ekonomi yang menjadi kunci kemajuan sesebuah
negeri.
Ibrahim yang juga Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa)
berkata, pimpinan Pas Kelantan gagal menarik pelaburan baru sejak
beberapa tahun lalu malah aktiviti seperti seminar ekonomi sama ada
dalam atau luar negara juga tidak dianjurkan.
“Banyak calon yang dilihat berkelayakan dan salah seorangnya adalah
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa
Mohamed.
“Nik Aziz adalah pemimpin yang baik tetapi, jika dilihat pada sudut
pengalaman, Mustapa lebih baik kerana pernah memegang beberapa jawatan
menteri bersama Kerajaan Pusat,” katanya, selepas menyampaikan sumbangan
kepada mangsa kebakaran di Kelar, semalam.
Ibrahim berkata, Mustapa mempunyai banyak pengalaman dalam bidang
kewangan, keusahawanan, pendidikan dan pertanian malah kini menguruskan
perdagangan Malaysia dengan negara luar.
No comments:
Post a Comment