HOME

Pages

Monday, 19 March 2012

Terpaksa tadah air hujan

Terpaksa tadah air hujan
  DIPETIK DARI Sinar Harian
19 Mac 2012
Terpaksa tadah air hujan
TEMANGAN - Pelbagai cara terpaksa digunakan beberapa keluarga di Kampung Kuala Hau dekat sini, untuk meneruskan kehidupan, apabila bekalan air bersih sering terganggu sejak enam bulan lalu, di sini, semalam.

Kedudukan rumah yang terletak di kawasan tinggi, tidak memungkinkan mereka menggali telaga atau menggunakan telaga tiub yang lebih dikenali boring dalam kalangan­ penduduk tempatan.

Jika sebelum ini, bekalan air boleh dinikmati mereka pada awal pagi selama beberapa jam, namun sejak kebelakangan ini mereka mendakwa langsung tidak menerima bekalan air.

Berbeza bagi penduduk yang tinggal di kawasan rendah apabila masih menerima air pada awal pagi selama beberapa jam. Zaniyah Dollah, 55, berkata, dia dan keluarga terpaksa menggunakan air hujan yang disalurkan ke tangki besar bagi kegunaan harian mereka.

Katanya, anaknya memasang saluran khas di bumbung rumah mereka untuk memastikan air hujan mengalir masuk ke tangki air mereka.

“Lebih kurang enam bulan lalu, kami terpaksa menggunakan cara ini bagi meneruskan kehidupan. Manakala air untuk minuman pula kami beli di kedai. Pada mulanya, saya mengambil air di rumah anak yang tinggal di ladang berdekatan tetapi sampai bila? Lagipun kami tidak larat mengangkut air setiap hari dari rumahnya,” katanya kepada pemberita ketika ditanya mengenai saluran air di bumbung rumahnya, semalam.

Tinjauan Sinar Harian turut mendapati jiran Zaniyah juga menggunakan kaedah yang sama untuk mengumpul air bagi kegunaan harian mereka.

Zaniyah berkata, keadaan itu membimbangkan keluarganya terutama jika ada majlis kenduri dan kematian.

Katanya, setiap kali musim cuti sekolah atau perayaan, anak-anak yang pulang bercuti akan berulang-alik ke rumah anaknya di ladang berdekatan, untuk mandi dan sebagainya.

“Kami berharap sangat masalah ini dapat diselesaikan segera oleh pihak berkenaan, untuk membantu kami meneruskan kehidupan sama seperti orang lain. Jika orang lain boleh menikmati air bersih untuk kegunaan harian mereka, kami pun ingin merasa juga lagipun dulu masalah ini tidak meruncing seperti ini namun sejak kebelakangan ini ia membimbangkan kami,” katanya.

No comments:

Post a Comment