15 April 2012
Kumpulan itu dari 26 pos penempatan sekitar jajahan Gua Musang, diketuai Pengerusi Jaringan Orang Asal Kelantan, Azmi Badol berhimpun kira-kira setengah jam sejak pukul 9 pagi, turut menuntut supaya kerajaan negeri mengembalikan tanah adat mereka seperti dijanjikan sebelum ini.
Azmi kemudian menyerahkan memorandum bantahan mereka kepada Pegawai Khas Menteri Besar, Zawawi Muhamad, selepas gagal memasuki pejabat berkenaan berikutan pintu pagar pejabat itu ditutup dengan kawalan polis.
Bercakap kepada pemberita, Azmi berkata pihaknya berbuat demikian hari ini memandangkan kerajaan negeri masih gagal menunaikan janji sekalipun telah beberapa kali mengadakan perjumpaan dengan mereka.
Azmi berkata pihaknya telah menghantar memorandum kepada Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pada 14 Februari 2011, dan sewaktu perjumpaan tersebut Menteri Besar menjanjikan beberapa perkara.
"Antara janjinya untuk menubuhkan satu jawatankuasa khas untuk mengkaji masalah tanah Orang Asli, memberhentikan semua aktiviti yang berjalan di atas tanah adat dan membayar pampasan ke atas pokok dan tanaman yang telah dimusnahkan.
"Bagaimanapun sehingga kini janji-janji tersebut masih tidak dikotakan, dan pada 23 November 2011 kami menerima surat daripada Pejabat Menteri Besar yang menjemput kami untuk bermesyuarat, bagaimanapun hanya diwakili oleh pegawai khasnya, Zawawi Muhamad," katanya.
Azmi berkata pihaknya sekali lagi menerima sepucuk surat daripada Tabung Amanah Tok Kenali untuk satu perjumpaan khas bersama Timbalan Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob di Bilik Mesyuarat JKR 10 pada 28 Disember 2011, namun perjumpaan tersebut dibatalkan.
"Sebaliknya, satu perjumpaan di Pejabat Perhutanan Gua Musang telah diatur pada hari tersebut, malangnya sehari sebelum diadakan, pihak kami sekali lagi kecewa apabila diberitahu perjumpaan itu sekali lagi dibatalkan.
"Kami kecewa kerana seolah-olah dipermainkan oleh semua pihak walaupun banyak report polis telah dibuat sebelum ini, malah kegiatan seperti pembalakan dan Ladang Rakyat semakin menjadi-jadi," katanya.
Sehubungan itu, pihaknya menuntut agar semua aktiviti seperti pembalakan dan Ladang Rakyat yang sedang dijalankan diberhentikan dengan serta-merta dan menarik balik lesen yang diberi kepada kontraktor untuk menjalankan kegiatan tersebut.
"Kami juga menuntut kerajaan negeri memberi pampasan sewajarnya menurut Perlembagaan Pesekutuan, membatalkan semua rizab yang bertindih dengan tanah adat Orang Asli serta menggazetkan tanah adat kami menurut peta komuniti.
"Selain itu, kami juga mendesak supaya menghentikan memberi maklumat palsu kepada rakyat dengan mengeluarkan video dan kenyataan media dengan menggunakan Orang Asli yang mempunyai kepentingan," kata Azmi.
Sementara itu, Zawawi berkata kerajaan negeri telah meluluskan tanah yang dirizabkan kepada Orang Asli, dan hanya menunggu masa untuk diwartakan sahaja.
"Mungkin ia tidak diketahui lagi oleh Orang Asli dan kita sentiasa mengadakan mesyuarat dengan Jabatan Kemajuan Orang Asli untuk menyelesaikan perkara ini.
Memorandum tersebut akan diserahkan kepada Menteri Besar sebaik sahaja ada peluang kerana beliau mempunyai urusan di luar, katanya. - Bernama
No comments:
Post a Comment