15 April 2012
Ahli Jawatankuasa Pas Terengganu, Datuk Abu Bakar Chik berkata, tujuh kerusi itu membabitkan lima kerusi Dun dan dua kerusi Parlimen.
Katanya, keadaan itu berdasarkan kedudukan PKR di Terengganu yang disifatkan sebagai kategori ketiga.
“Kedudukan PKR dalam kategori pertama adalah seperti di Sabah dan Sarawak di mana kita sendiri tiada kekuatan di sana. Kategori kedua melibatkan kawasan campuran dan kategori ketiga adalah di kawasan majoriti Melayu seperti di Terengganu.
“Jadi, dengan kedudukan PKR dalam kategori ketiga di negeri ini, Pas kena mengurus seluruhnya dengan kerjasama PKR, sebagaimana Pas juga memberi kerjasama kepada PKR di Sabah dan Sarawak,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Pejabat Perhubungan Pas Terengganu, Jalan Sultan Omar, di sini.
Laporan media semalam menyebut kepimpinan PKR Terengganu hanya mampu menerima keputusan Pas memberikan lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan dua kawasan Parlimen untuk ditandingi pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).
Pengerusinya Azan Ismail berkata, sekiranya PKR sudah dianggap sebagai pengemis, parti itu akan menerima apa sahaja keputusan berhubung jumlah kerusi untuk ditandingi.
"Kalau dia (Pas) rasa kita ni macam pengemis, kita terima sajalah apa yang dia beri. Apa kita nak kata lagi sebab dia rasa dia hebat, dia lebih kuat dari kita.
"Saya hairan kenapa kenyataan itu dikeluarkan oleh Pengerusi Lujnah Pendidikan Pas Pusat dan tidak oleh peringkat tertinggi parti Pas itu sendiri," katanya.
Sehubungan itu, Abu Bakar berkata, dari sudut pembahagian kerusi sudah tentu pihaknya akan melihat kekuatan kedua-dua parti sama ada ia boleh membantu kemenangan Pakatan Rakyat (PR) atau tidak.
Beliau yang juga ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat membuat perbandingan kedua-dua parti dari sudut realiti politik di negeri ini dan Pas disifatkan lebih kuat berbanding PKR terutama di peringkat akar umbi.
Bagaimanapun, perbandingan tersebut bukan bertujuan memperkecilkan kemam-puan PKR kerana pihaknya turut menimbang keputusan yang munasabah mengenai isu calon.
Abu Bakar dalam masa sama turut memandang hasrat PKR dari sudut positif dengan menganggap rakannya itu mungkin melihat perkembangan politik ketika ini baik untuk menonjolkan calon.
Katanya, keadaan itu tidak bermakna PKR perlu berasa ghairah memiliki kerusi yang banyak kerana apa yang penting adalah soal kekuatan dari sudut pengurusan di peringkat bawah sebagaimana dimiliki Pas dan sokongan menyeluruh dari pelbagai peringkat.
“Mana-mana parti perlu tahu kekuatan masing-masing untuk memastikan kemenangan dan perlu dengan rasa yang ikhlas,” katanya.
Katanya, isu itu juga perlu dilihat berdasarkan beberapa faktor dan kaedah yang tepat bagi memastikan keputusan yang dibuat kelak boleh menghasilkan nilai tambah kepada PR dalam merealisasikan hasrat menawan Terengganu.
No comments:
Post a Comment