Pejabat imam dipecah masuk
Imam Tua masjid itu, Hashim Kadir berkata, kejadian disedari sekumpulan jemaah masjid, apabila melihat aluminium pintu utama pejabat itu ada kesan dikopak ketika datang untuk solat Subuh kira-kira jam 5.45 pagi, semalam.
Katanya, pemeriksaan kemudian mendapati ruang pejabat berselerak, dan wang tunai disimpan dalam laci di bilik itu turut hilang selepas besi pemegang mangga laci berkenaan diumpil.
“Saya percaya sebelum itu pencuri cuba pecah masuk ikut pintu kayu di belakang kerana ada kesan kopak dan bila tak berjaya, dia ceroboh masjid dan masuk ikut pintu depan,” katanya.
Hashim berkata, wang tunai dilarikan pencuri itu adalah lebihan perbelanjaan majlis makan yang didermakan orang ramai setiap kali masjid menganjurkan program seperti sambutan Maulidur Rasul dan Israk Mikraj.
Katanya, kali terakhir beliau membuka pejabat itu selepas solat Jumaat, kelmarin, sebelum bertolak ke Markas Dewan Ulamak (Madu), dekat Machang untuk program mingguannya.
“Paling banyak hilang adalah baki perbelanjaan majlis buka puasa Ramadan lalu berjumlah lebih RM1,000 dan juga kira-kira RM300 duit upah untuk projek naik taraf masjid yang sedang berjalan.
“Wang tunai ini memang disimpan di pejabat saya sejak dulu kerana kita guna dari semasa ke semasa,” katanya yang sedang bersedia untuk mengikuti kuliah Subuh di Madu, Machang ketika dimaklumkan mengenai kejadian.
Hashim berkata, ini kali kedua berlaku kecurian di masjid itu selepas kali pertama pada 2009 apabila satu balang derma dilarikan dan dipecahkan penjenayah.
Sejak dua minggu lalu pula katanya, pihaknya mendapati cubaan untuk mencuri wang kertas dalam peti besi derma masjid itu dengan kaedah memancing menggunakan tali dan getah.
“Saya tidak sangka dan amat sedih dengan perangai manusia zaman ini kerana sanggup menjadikan rumah ALLAH sebagai sasaran bermacam perbuatan keji mereka,” katanya.
Susulan kejadian terbaru itu, Hashim berkata, bilal masjid, Harun Ahmad membuat laporan polis di Balai Polis Laloh kira-kira jam 8 pagi, dan pihaknya menyerahkan kepada pihak berkuasa berkenaan untuk tindakan lanjut.
No comments:
Post a Comment