Dilaporkan sekarang ini, ibu-ibu ayam tidak lagi menunggu di kawasan terbuka untuk mencari pelanggan tetapi secara mobile di mana mereka hanya perlu ke kedai-kedai tertentu dengan menunjukkan gambar ‘wanita-wanita’ yang berada di bawah jagaan menerusi telefon bimbitnya sebelum ditempah.
Pendedahan berkenaan dibuat oleh Bahagian Penguatkuasaan Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam (MPKB-BRI), yang mendapati ibu ayam terbabit akan menuju ke kedai-kedai tertentu dan ‘persetujuan’ akan dibuat individu berkenaan apabila melihat gambar-gambar menarik tersebut.
Dengan persetujuan harga yang ditetapkan dan wanita pilihan sudah ditempah, mereka akan mengaturkan perjumpaan untuk pasangan terbabit melangsaikan gelora nafsu masing-masing di lokasi yang difikirkan selamat daripada dicekup pihak berkuasa.
Demi memuaskan nafsu, ada di antara pelacur yang ditempah oleh pelanggan yang sengkek ini sanggup memilih kawasan hutan untuk tujuan tersebut walaupun dalam suasana gelap dan dipenuhi sarang nyamuk.
Ini terbukti dengan penemuan kondom terpakai, tisu dan pelbagai lagi barangan lain di dalam kebun pisang serta hutan di sebuah penempatan di bandar ini ketika Operasi Cegah Maksiat yang dilakukan baru-baru ini.
Penolong Pengarah Penguat kuasanya, Ramly Che Hussin berkata, taktik terbaru itu sudah dihidu oleh pegawai-pegawainya dan perkara ini tidak akan terus berleluasa sehingga mereka merasakan selamat untuk mencari makan dengan cara itu.
“Sehingga kini pihak kami sentiasa mengadakan operasi-operasi dalam membendung perkara ini dan tidak membuka peluang untuk mereka berani ‘berniaga’ dengan cara haram ini,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Katanya, kawasan hutan dan kebun pisang tersebut akan dibersihkan untuk mengelak pelacur-pelacur ini terus menggunakan lokasi terbabit, malah tempat-tempat terbabit sebelum ini pernah diserbu.
No comments:
Post a Comment