HOME
▼
Pages
▼
Friday, 29 June 2012
Aziz Desa Tinggalkan Kelantan
Pengacara terkenal tanah air, Aziz Desa
KOTA BHARU - Setelah empat bulan memikul tanggungjawab sebagai peneraju operasi di Kelantan Trade Centre (KTC), pengacara terkenal tanah air, Aziz Desa memutuskan tidak menyambung kontraknya sebagai Ketua Pegawai Operasi pusat itu yang berakhir Ogos ini.
Menyangkal dakwaan keputusan dibuat kerana kecewa dengan isu-isu berbangkit sepanjang tempoh menyandang jawatan itu, Aziz berkata, keengganan menyambung kembali kontrak itu dipengaruhi beberapa faktor seperti kesihatan. “Saya sudah buat keputusan untuk tidak sambung kontrak, bukan kerana kecewa (isu-isu yang berbangkit) ataupun tidak lagi berminat, tetapi disebabkan masalah kesihatan.
“Saya rasa saya tak cukup sihat untuk bekerja, elok saya bagi peluang kepada orang lain yang lebih layak, saya perlu balik ke Langkawi kerana masih banyak yang perlu diuruskan,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini, kelmarin.
Sebelum ini, kehadiran Aziz menerajui KTC tidak disenangi pihak-pihak tertentu khususnya Kerajaan Kelantan kerana tindakannya terlalu agresif dalam menyelesaikan hutang tertunggak hotel tersebut.
Sepanjang berada di organisasi tersebut, Aziz membawa masuk beberapa selebriti tanah air termasuk meraikan perkahwinan penyanyi, Ana Raffali bersama suaminya Ahmad Aznaim Abdullah.
Dalam pada itu, Aziz berkata, walaupun tempoh empat bulan sangat singkat untuk seorang pemimpin, sekurang-kurangnya beliau sudah berjaya menetapkan satu standard atau melepasi satu tuntutan walaupun ia tidak mencapai 100 peratus sasaran.
“Ini terbukti apabila banyak tempahan diterima KTC sejak kebelakangan ini walaupun belum mencapai sasaran,” katanya.
Sambil berharap agar urusan di pusat konvensyen itu lebih teratur dan sistematik selepas ini, Aziz berkata, semua pihak perlu telus dalam menghargai kemudahan yang disediakan pusat konvensyen ini tanpa mengambil kesempatan antara satu sama lain.
Beliau turut mengingatkan status KTC yang bukan dimiliki mana-mana parti sebaliknya sebuah entiti perniagaan yang bebas dari unsur politik. “KTC adalah tempat yang menyediakan ruang selesa untuk pelbagai aktiviti, namun ramai tersalah anggap dan menyifatkan ia milik parti tertentu sehingga menghalang mereka dari menggunakan kemudahan di sini, ”katanya.
Menurutnya, Kelantan mempunyai potensi yang besar untuk dibangunkan, namun ia memerlukan tindakan proaktif dan terancang dari pihak berkaitan khususnya Kerajaan Negeri.
No comments:
Post a Comment