HOME

Pages

Sunday, 24 March 2013

Bila Kemaluan Bapa Di Potong!!

DUNGUN - Akibat terpengaruh dengan ajaran sesat yang dipelajari menerusi internet, seorang anak sanggup memotong kemaluan bapanya sebelum bertindak memotong kemaluannya sendiri di Felda Kerteh 6, Ketengah Jaya, di sini awal hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1.30 pagi itu, suspek yang bekerja sebagai penyelia sebuah kilang di ibu negara turut bertindak memaksa abang iparnya memotong kemaluan sendiri namun lelaki tersebut berjaya melarikan diri.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri ACP K. Manoharan berkata, suspek yang menetap di Balakong, Selangor pada mulanya pulang untuk bercuti bersama keluarganya di kampung sejak minggu lepas.

Namun selepas lima hari bercuti di kampung, suspek mengambil keputusan menghubungi ahli keluarganya yang lain untuk berkumpul di rumah tersebut bagi menyampaikan 'amanat' yang mustahak.

"Ketika sebahagian ahli keluarga berkumpul sejak petang semalam, suspek mula berkongsi dan berceramah mengenai ajaran sesat yang dipelajarinya dengan mengatakan dunia akan kiamat pada Jumaat.

Bagaimanapun suspek tidak memberikan tarikh sebenar hari kiamat seperti yang didakwa berlaku.

"Suspek kemudiannya secara tiba-tiba bertindak agresif dengan merotan dan memukul bapanya bagi membuatkan warga emas itu menangis untuk 'mengeluarkan semangat Imam Nawawi' daripada badan bapanya, namun gagal," kata Manoharan ketika ditemui di pejabatnya di sini.

Manoharan berkata setelah gagal membuatkan bapa menangis, suspek meminta sebilah pisau dari abang iparnya sebelum meluru masuk ke bilik tidur bapanya dan bertindak memotong kemaluan bapanya sebelum memotong kemaluannya sendiri.

Akibat kejadian itu, suspek dan mangsa yang berusia 67 tahun terpaksa dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini akibat mengalami pendarahan yang banyak.

Beliau berkata suspek dan mangsa kini masih berada dalam keadaan kritikal dan pihak hospital sedang berusaha untuk menyambung semula kemaluan dua beranak itu yang terputus.

"Justeru, kita percaya suspek terpengaruh dengan ilmu sesat yang dipelajari menerusi internet hasil siasatan yang dijalankan," katanya.

Kes disiasat di bawah seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah.

Sementara itu, isteri suspek yang hanya mahu dikenali sebagai Suzi, 33, berkata suaminya mula menunjukkan perubahan sejak dua bulan lalu.

Namun beliau tidak mengsyaki sesuatu yang pelik dan hanya menyangka suaminya ingin berubah dan mendekatkan diri kepada Tuhan.

"Suami telah balik ke kampung sejak lima hari lalu dan dia ada mengajak saya pulang namun saya kata tidak dapat pulang bersamanya kerana anak masih bersekolah.

"Saya tiba di kampung suami kira-kira pukul 5 pagi tadi dan terkejut ketika sampai ahli keluarga menyuruh segera ke Hospital Dungun sebelum mendapati suami dan ayah mertua saya cedera," katanya ketika ditemui di hospital. - Bernama

No comments:

Post a Comment