KUALA LUMPUR, 12 Mac — Manila sudah menghidupkan semula perbincangan dengan keluarga Kiram tentang kemungkinan pengunduran tentera Sultan Sulu dari Sabah untuk menghentikan konflik ketenteraan yang panjang dengan Malaysia kata Menteri Kerajaan Tempatan Mar Roxas hari ini.
Menurut beberapa laporan media Filipina, Roxas telah mengadakan mesyuarat tertutup selama dua jam di Bandar Quezon petang ini bersama Bantilan Esmail Kiram II bagi membincangkan isu "pengunduran" tentera kesultanan Sulu tersebut.
Esmail merupakan adik lelaki kepada “Sultan” Jamalul Kiram III yang mengaku dirinya Sultan Sulu. Seorang lagi adik beliau, Agbimuddin Kiram dipercayai masih bersembunyi di Lahad Datu, Sabah, di mana pasukan keselamatan Malaysia sedang mengadakan operasi memastikan pasukan pengganas Sulu tersebut meninggalkan Sabah.
Menurut ABS-CBN News, Esmail mengatakan keluarga Kiram mungkin mempertimbangkan kemungkinan tersebut akan tetapi mahu mengetahui apa nasib pengikut mereka terlebih dahulu.
“Kami semua sangat bimbang dengan apa yang berlaku di Lahad Datu, Sabah,” kata Roxas dipetik dari portal atas talian siaran tersebut.
“Saya memberitahu mereka (keluarga Kiram) mengenai tindakan terkini pemerintah Filipina melalui rundingan DFA (Jabatan Luar Negara) dengan Malaysia untuk mempertahankan mereka yang tidak bersalah,” tambah beliau.
Saluran berita berkenaan juga melaporkan Roxas enggan memberi lebih maklumat mengenai hasil mesyuarat tertutup tersebut bersama Esmail dan hanya sekadar mengesahkan mereka telah membincangkan mengenai proses pengunduran bagi memastikan keselamatan nyawa rakyat Filipina di Sabah yang tidak terlibat dengan kejadian tersebut.
Roxas juga memberitahu bahawa mereka sedar yang kerajaan Malaysia mahu pasukan militan Sulu menyerah tanpa sebarang syarat, namun begitu memberitahu keluarga Kiram bimbang mengenai proses tersebut.
Keluarga Kiram telah menyeru supaya genjatan senjata diadakan Khamis lalu apabila mendapat berita lebih ramai tenteranya mati dalam pertempuran dengan pasukan keselamatan Malaysia. Namun begitu Putrajaya telah menolah seruan tersebut.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak telah memberitahu pasukan tentera Kesultanan Sulu supaya menyerah kalah atau mati dalam pertempuran.
Roxas juga mengatakan bahawa cara penyelesaian terbaik bagi keluarga Kiram ialah dengan menerima seruan menyerah kalah tersebut, sebelum menambah bahawa Esmail juga sedar akan usaha kerajaan Filipina untuk memastikan konflik tersebut tidak mengorbankan lebih banyak nyawa.
“Esmail juga memang sedar akan usaha kerajaan Filipina untuk memastikan tiada lagi kejadian tembak-menembak sejak krisis ini bermula pada 1 Mac,” kata Roxas.
Roxas juga memberitahu mesyuarat tersebut dipersetujui Jamalulu, yang sakit dan sedang mengadakan rawatan dialisis di Manila.
Esmail juga telah diminta oleh kerajaan Malaysia supaya bertindak sebagai orang tengah antara Kesultanan Sulu dan perunding kerajaan, kata Roxas lagi.
Pertempuran pertama antara pasukan keselamat Malaysia dan pasukan pengganas Sulu bermula pada 1 Mac, menyebabkan kematian 20 anggota pengganas Sulu selain 8 orang anggota polis. Keluarga Kiram menggelar kejadian tersebut sebagai “Pembunuhan 1 Mac”.
Sehubungan itu, Putrajaya melancarkan Ops Daulat Selasa lalu bagi memastikan tiada lagi anggota pengganas Sulu di Lahad Datu, dengan menghantar beberapa batalion tentera dan melancarkan serangan udara ke atas mereka.
Sehingga petang ini, pencerobohan pasukan pengganas tersebut telah menyebabkan 63 kematian, termasuk 54 orang pengganas Filipina, lapan orang anggota polis dan seorang remaja lelaki.
Adik Sultan Sulu, Agbimuddin Kiram telah mengetuai sekumpulan lebih 200 pengganas Sulu ke Lahad Datu pada 9 Februari atas alasan mahu mengambil semula negeri Sabah yang kaya dengan sumber alam.
No comments:
Post a Comment