KOTA BHARU - Ketika tarikh pembubaran Dewan Rakyat menjadi teka-teki, Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan pemerintah sekarang takut untuk umumkannya lebih awal, selain bimbang berdepan dengan kekalahan.
Menurutnya, berbanding dengan negara lain, tempoh mengundi akan dimaklumkan lebih awal sama ada dalam tempoh tiga bulan sebelumnya ataupun selain itu.
"Sekarang ini negara kita akan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) bila-bila masa. Di Eropah negeri-negeri Eropah tiga bulan nak mengundi sudah diumumkan.
"Negeri (negara) kita ini takut nak bagi tahu, seperti budak dadah takut nak oyat kor dadah. Tak tahu takut kor gapo (tidak tahu apa yang sebenarnya ditakutkan untuk umum)," kata beliau ketika Ceramah Perdana anjuran Majlis Tindakan Pengkalan Chepa di sini.
Hadir sama pada program itu, Speaker Dun, Datuk Nasarudin Daud; Timbalan Presiden PKR, Azmi Ali dan Pengerusi PKR Kelantan, Abdul Aziz Kadir.
Dalam pada itu, Nik Aziz yang juga Menteri Besar menegaskan, kemungkinan parti lawan takut untuk menerima kekalahan pada PRU13.
Bagaimanapun bagi beliau kekalahan pada Pakatan Rakyat bukan sesuatu yang ditakutkan tetapi lebih menakutkan adalah selepas kalah.
"Lepas pada Umno kalah baru banyak masalah akan timbul. Ini yang kita takut benar sebenarnya," katanya lagi.
Selain itu, Adun Chempaka itu juga mengajak rakyat Kelantan, khasnya menolak segala parti yang tolak Islam.
"Dukacitanya baik orang Arab, orang Melayu akhir-akhir ini, tolak Islam ambil demokrasi, molek-molek kita orang Islam tolak Islam, pilih kebangsaan.
"Sebab itu kita sejak tahun 1951 hingga kiamat kita kempen dan dakwah pujuk masyarakat Melayu Kelantan khasnya dan di seluruh Malaysia supaya tolak segala parti yang tolak Islam ambil kebangsaan.
Katanya, banyak perkara rosak bila kita tadbir mengikut fikiran diri sendiri dan tidak menggunakan agama.
Sementara itu, beliau menaruh keyakinan yang tinggi apabila PRU13 nanti Kelantan kekal berada di bawah pentadbiran Pas.
No comments:
Post a Comment