Bekas Ketua Pemuda PKR Cabang Gua Musang, Mohd Fauzi Mohd Nor berkata, tidak sekadar itu, mereka juga akan memastikan semua calon PKR di Kelantan tewas pada PRU13.
“Saya mewakili 400 ahli PKR Cabang Gua Musang, merasa terhina, kerana sudah dua penggal PKR negeri meletakkan calon tidak berkenaan, atau dengan kata lain tidak menggunapakai suara akar umbi setiap kali pilihan raya.
“Maknanya calon ini didatangkan hanya beberapa hari sebelum penamaan calon, Kebanyakan calon PKR yang bertanding di Dun Nenggiri dan Paloh tidak kenal siapa jentera mereka dan selok belok kawasan yang ingin ditandingi,” katanya kepada media di sini, semalam.
Beliau yang masih lagi ahli PKR turut mendakwa calon-calon di ketengahkan di dua Dun itu bukan ingin berjuang untuk rakyat sebaliknya demi kepentingan diri sendiri.
“Kehadiran calon Dun Nenggiri, Azihan Che Seman dan calon Dun Paloh, Amrah Ab Ghani bertujuan untuk kepentingan diri sendiri dan bukannya berjuang untuk rakyat,” katanya.
Mohd Fauzi berkata, mereka menolak calon PKR kali ini sebagai tanda protes dan petanda jelas kepada pimpinan parti negeri yang tidak bertanggungjawab, dan kami akan memberi undi dan bekerja untuk kepentingan calon Barisan Nasional.
“Azihan adalah calon dari luar, setahu saya dari Kubang Kerian, manakala Amran dari Paloh tetapi tidak pernah berkhidmat kepada parti. Sedangkan ada anggota yang dipilih akar umbi tetapi tidak dicalonkan. Orang yang tidak berkelayakan itu yang dipilih. Itu (adalah) kroni,” katanya.
Menurutnya, calon yang sepatutnya di ketengahkan ialah penyelia Dun Paloh, Shahminuddin Mustafa, kerana lebih layak tetapi tidak diberi peluang.
Ditanya sama ada beliau dan anggota PKR cabang Gua Musang itu akan menyertai BN, Mohd Fauzi berkata, kemungkinan untuk beliau mengisytiharkan diri keluar parti itu ada.
Azihan akan bertembung satu lawan satu dengan penyandang kerusi Dun Nenggiri, Mat Yusoff Abdul Ghani (BN) manakala Amran akan bertanding bagi merampas kerusi Paloh dari penyandangnya, Datuk Nozula Mat Diah (BN) pada PRU13.
No comments:
Post a Comment