KUALA TERENGGANU - Penolong jurulatih dan seorang
pemain pasukan T-Team bersumpah dengan al-Quran semalam bagi
membuktikan kebenaran berhubung insiden dalam terowong yang berlaku di
Stadium Tan Sri Hj. Hassan Yunos, Larkin pada 1 Februari lalu.
Upacara angkat sumpah itu berlangsung di Hotel Tabung Haji di sini
sambil disaksikan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said; Pengerusi
Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia negeri yang juga Pengurus
T-Team, Rozi Mamat dan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu
(PBSNT), Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid.
Penolong jurulatih T-Team, Azlan Johar menjadi saksi pertama yang
mengangkat sumpah sebelum diikuti oleh seorang pemain tengah T-Team,
Khairan Izuan Razali yang turut berada dalam terowong berkenaan ketika
kejadian itu berlaku.
Dalam akuan tersebut, Azlan dan Khairan Izuan bersumpah mengatakan
mereka berada dalam keadaan sedar dan waras ketika kejadian itu berlaku
dan melihat sendiri bagaimana pemain import T-Team, Evaldo Goncalves
ditumbuk di bahagian muka.
Majlis yang berlangsung kira-kira pukul 10 malam itu turut disaksikan
oleh semua pemain T-Team dan Terengganu serta pihak pengurusan untuk
kedua-dua pasukan.
Bagaimanapun, kelibat pemain pertahanan kontroversi T-Team yang juga
bekas pemain Johor Darul Takzim, Mohd. Irfan Abdul Ghani tidak kelihatan
dalam majlis berkenaan kerana dipercayai masih berada di Johor.
Sementara itu, Ahmad berkata, beliau tidak menganggap perbuatan mengangkat sumpah itu sebagai menghina kesucian agama Islam.
"Upacara bersumpah ini sebenarnya bertujuan membuktikan dakwaan yang
dibuat itu benar, sekali gus menafikan tohmahan bahawa T-Team sengaja
mengada-adakan cerita tentang kejadian tersebut.
"Jika Johor Darul Ta'zim (JDT) tidak mahu mengangkat sumpah, itu
terpulang kepada mereka. Yang penting melakukan perkara yang sepatutnya
kita buat," katanya dalam sidang akhbar selepas majlis berkenaan.
Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad mencabar Mohd. Irfan supaya
tampil untuk mengangkat sumpah bagi membuktikan dakwaan bahawa kejadian
dalam terowong itu tidak pernah berlaku sebelum ini.
"Saya sanggup beli tiket 'flight' untuk dia datang ke mari jika dia sanggup bersumpah," katanya.
No comments:
Post a Comment