HOME

Pages

Wednesday, 5 March 2014

Sidang Dun Kelantan-Kerajaan Kelantan Dakwa Stesyen TV Swasta Guna Visual Lama Dedah Penerokaan Haram

KOTA BAHARU, 5 Mac (Bernama) -- Kerajaan Kelantan mendakwa sebuah stesen televisyen swasta menggunakan visual yang lama bagi menggambarkan seolah-olah kawasan persekitaran berhampiran Taman Negara Kuala Koh di Gua Musang kini diancam penerokaan haram.

Timbalan Menteri Besar Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata apa yang berlaku di kawasan Taman Negara itu sebenarnya tidak benar sama sekali dan penyiaran visual berkenaan dianggap cuba untuk memanipulasikan keadaan.

"Tidak benar ada penerokaan haram di situ. Memang ada kawasan yang ditanam dengan aktiviti pertanian tetapi ia dipantau oleh Jabatan Alam Sekitar.

"Apa yang disiarkan oleh stesen tv berkenaan, kerajaan negeri difahamkan ia adalah gambar lama. Keadaan sebenar tidak berlaku seperti itu," katanya ketika menjawab soalan Abd Rahman Yunus (PAS-Pasir Tumboh) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kota Darul Naim di sini, Rabu.

Mohd Amar berkata kerajaan negeri telah bersetuju untuk menubuhkan Jabatan Pemantauan dan Penguatkuasaan Sumber Asli Kelantan tidak lama lagi yang kini dalam proses mengenal pasti anggotanya.

Selain itu pihaknya akan bekerjasama dengan agensi berkaitan bagi menangani sebarang kegiatan pencerobohan haram yang dilaporkan di negeri itu.

Sementara itu persidangan dewan juga diberitahu kerajaan negeri bersedia bekerjasama dengan kerajaan Persekutuan bagi membina Lebuhraya Kota Baharu-Kuala Krai sepanjang 73 kilometer.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kerja Raya, Utiliti dan Teknologi Maklumat Negeri Datuk Hanifa Ahmad berkata kerajaan negeri sedia membantu untuk membina lebuh raya bagi fasa pembinaan membabitkan Machang ke Kuala Krai sejauh 30 kilometer.

"Kerajaan negeri sebenarnya sudah merancang sejak 23 tahun lalu untuk membina lebuh raya itu dan kini dalam proses pengeluaran tender yang hampir selesai tidak lama lagi," katanya ketika menjawab soalan Mohd Roseli Ismail (PAS-Kemuning).

Katanya soal bayaran tol ketika ini belum lagi berbangkit sama ada diberikan secara percuma atau sebaliknya tetapi keutamaan adalah untuk merealisasikan agar lebuh raya berkenaan menjadi kenyataan.

"Derma orang ramai sangat diperlukan dan kini telah mengutip kira-kira RM2 juta bagi pembinaannya," katanya.

Hanifa ketika didesak oleh Datuk Md Alwi Che Amah (BN-Kok Lanas) tentang dakwaan ada pihak yang mengugut kontraktor yang bakal diberikan tender oleh kerajaan negeri itu untuk tidak terbabit dalam pembinaan lebuh raya berkenaan, beliau bagaimanapun tidak menamakan pihak terbabit.

"Kalau ada hantu mesti ada tuannya dan saya hanya bersikap positif mengenai perkara itu," katanya.



No comments:

Post a Comment