HOME
▼
Pages
▼
Thursday, 29 January 2015
79 kampit beras pulut dirampas
GUA MUSANG - Polis menahan sebuah lori yang sarat dengan muatan 79 kampit beras pulut bernilai RM15,800 dipercayai diseludup dari negara jiran di Kampung Tanah Puteh, dekat sini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah, Superintendan Saiful Bahri Abdullah berkata, dalam kejadian kira-kira jam 10.15 malam itu, lori terbabit yang dipandu seorang lelaki berusia 44 tahun, dalam perjalanan dari Kuala Krai menghala ke Kuala Lipis, Pahang.
Menurutnya, dua anggota polis yang menjalankan tugas rondaan di jalan berkenaan terserempak dengan sebuah lori yang melalui jalan utama bandar ini dalam keadaan mencurigakan.
“Anggota kita menahan lori terbabit di Kampung Tanah Puteh berhampiran Stesen Timbang Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk melakukan pemeriksaan dan menemui 79 kampit beras pulut.
“Ketika diperiksa, pemandu lori gagal menunjukkan sebarang dokumen berkaitan beras yang dibawa dan dipercayai beras tersebut diseludup dari Thailand untuk dipasarkan di sekitar Kuala Lumpur,” katanya.
Saiful Bahri berkata, individu terbabit dipercayai mengambil kesempatan dalam keadaan pihak berkuasa sibuk menguruskan pasca banjir untuk menjalankan aktiviti tersebut.
Menurutnya, pihaknya akan mengarahkan anggota supaya sentiasa melakukan rondaan di semua jalan utama melalui bandar ini bagi mengesan aktiviti yangmelanggar undang-undang.
"Susulan penahanan tersebut, lori terbabit dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang untuk siasatan lanjut sebelum kes diserahkan kepada Bahagian Penguat kuasa Kawal Selia Padi dan Beras Kelantan,” katanya. -SINAR
No comments:
Post a Comment