HOME

Pages

Thursday, 8 January 2015

Pembalakan Haram di Kelantan?

BENARLAH seperti yang dinyatakan dan dipersetujui oleh banyak pihak bahawa kegiatan pembalakan haram yang tidak terkawal adalah salah satu faktor banjir besar melanda Kelantan baru-baru ini.

Seperti yang dibuktikan menerusi gambar-gambar di media, juga dilihat sendiri oleh petugas sukarela pasca banjir, bertan-tan kayu balak yang dihanyutkan air deras telah meranapkan rumah dan bangunan, juga telah meruntuhkan jambatan.

Maka ada sebab untuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim marah-marah dengan penebangan hutan secara haram lagi amat rakus di negeri Cik Siti Wan Kembang itu, khasnya di kawasan Lojing.

Kata beliau, seperti disiarkan media: “Di Kelantan, cara mereka tebang pokok macam negeri tak ada undang-undang, jabatan yang patut jaga hutan tidak mengambil tindakan yang sepatutnya.”

Menteri itu kesal kerana perakus yang melakukan kegiatan haram itu tidak kena apa-apa, sedangkan beratus-ratus ribu rakyat Kelantan kini menderita dengan musibah yang menimpa.

“Kita harus buat sesuatu dengan segera,” katanya sambil berjanji akan berbincang dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak supaya “pihak yang terlibat dengan kegiatan pembalakan haram itu dibawa ke muka pengadilan dan dikenakan tindakan undang-undang sewajarnya.”

Mudah-mudahan suara dan sikap Shahidan yang amat berkobar-kobar – seperti yang disiarkan TV – untuk memerangi pembalak haram di Lojing betul-betul berkesan. Kalau boleh biarlah dalam waktu terdekat ini penjenayah balak itu dihukum.

Tetapi, perlu diingat adakalanya cakap sahaja berkobar, tindakan tidak seberapa.

Tambahan pula kes pembalakan haram dan penebangan hutan tidak mengikut undang-undang ini bukan terjadi hanya di Serambi Makkah.

Penyangak dan perompak hutan wujud juga di negeri-negeri lain, malah lebih teruk.

Kalau kita masih ingat, hanya kira-kira dua bulan lalu, penebangan dan penerokaan hutan secara haram telah memberi kesan amat buruk di Cameron Highlands, Pahang Darul Makmur.

23 Oktober baru lalu banjir kilat dan berlumpur melanda Lembah Bertam dan Ringlet di kawasan peranginan itu, mengakibatkan lima orang maut.
Setahun sebelum itu – 2013 – kawasan sama diranapkan banjir lumpur, menyebabkan empat kematian. Semuanya gara-gara kerakusan menebang hutan.

Sama seperti yang disahkan di Kelantan dua minggu lalu, kegiatan perompak hutan di Pahang pun dilakukan ‘macam negeri tak ada undang-undang’. Pihak berkuasa dan agensi-agensi berkaitan bagaikan buta, tidak melihat jenayah mega di hadapan mata.

Seperti yang didedahkan media juga NGO-NGO yang prihatin alam, penerokaan haram di Cameron telah berlaku sejak sekian lama, dengan beribu-ribu hektar kawasan hutan telah teroka secara haram untuk dijadikan kawasan pertanian.

Dikhabarkan juga, lebih 10,000 warga asing, termasuk yang datang secara haram @ Pati, menjadi penghuni tetap kawasan tersebut sebagai pekerja di ladang-ladang sayur. Mereka mengotorkan persekitaran dengan sampah-sarap yang menyempit dan menyekat aliran air.

Beberapa hari setelah tragedi banjir lumpur Cameron, semua pihak tersentak bagaikan dikejutkan dari lena yang panjang. Pemimpin-pemimpin besar dari KL, termasuk Perdana Menteri, datang bergerombolan, semua berjanji akan memperbaiki keadaan.
Polis dan tentera dikerah untuk memburu Pati dan menangkap tauke @ pemilik ladang-ladang haram itu.

Malah, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengarahkan siasatan dan tindakan ke atas sesiapa sahaja yang terlibat dalam penyalahgunaan kuasa berhubung isu Cameron.
Katanya tidak ada pihak akan dikecualikan dalam siasatan. Tegas Timbalan Perdana Menteri: “Tiada maaf bagimu!”

Hari ini lebih dua bulan berlalu, isu panas yang meluap-luap di Cameron, sudah semakin dingin. Kecuali beberapa orang Pati ditangkap, setakat semalam tiada seorang pun pemilik @ tauke ladang sayur haram berjaya dikesan, jauh sekali ditangkap.

Ladang luas masih di situ, sayur pun terus subur, tetapi tauke haram masih tidak dapat dijejaki.

Sudah berpuluh tahun menjadi peneroka haram, dan telah mengaut laba RM juta-juta-juta, si penjenayah gagal diburu.
Hutan kita sudah diranapkan, tetapi tidak ada yang ditangkap atau dihukum, walaupun ada amaran ‘tiada maaf bagimu’.

Apakah sukar sangat untuk mengesan pemilik @ tauke-tauke tanah haram itu?

Apakah memerlukan ujian DNA? Apakah perlu khidmat pakar forensik dari luar negara?

Atau, apakah setelah dua bulan, peneroka haram di Cameron Highlands sudah dimaafkan?

No comments:

Post a Comment