Saya mencadangkan supaya Suruhanjaya Siasatan DiRaja ditubuhkan untuk tujuan-tujuan yang berikut:-
1. Menyiasat secara terperinci sebab-sebab berlakunya Banjir Luar Biasa di negeri Kelantan yang mengakibatkan Kematian besar, Kerosakan harta awam dan persendirian, Kerugian berbillion Ringgit akibat banjir luar biasa, malah mengganggu emosi mangsa-mangsa banjir.
2. Menyiasat Individu-individu yang terlibat di dalam pemberian kontrak balak, kontrak penebangan hutan supaya keadilan boleh diberikan kepada si penerima dan si pemberi kontrak. Siasatan perlu dijalankan melibatkan prosedur kontrak sama ada dipatuhi atau berlakunya perlanggaran.
3. Menyiasat supaya dapat membersihkan nama Kerajaan Negeri Kelantan daripada dituduh bersubahat dalam kes penggondolan hutan secara luar biasa yang mengakibatkan kerosakan ekosistem dan sistem saliran air bawah tanah dan sistem saliran sungai, seterusnya menjadi punca utama Banjir Luar Biasa di Kelantan.
Beberapa sejarah berkaitan penubuhan Suruhanjaya Siasatan DiRaja:-
1. Pada tahun 1999, Suruhanjaya Siasatan DiRaja ditubuhkan untuk menyiasat kes mata lebam DS Anwar Ibrahim. Suruhanjaya tersebut telah bersidang sebanyak 8 kali. Dalam laporan suruhanjaya berkenaan, tercatat tindakan spontan ke atas DS Anwar Ibrahim berlaku ketika apabila berlakunya penggelaran 'Ni Bapa Anjing'.
2. Satu lagi Suruhanjaya Siasatan DiRaja ditubuhkan pada tahun 2007 demi untuk memuaskan desakan sesetengah pihak akan hal video klip VK Lingam yang dikatakan kononnya mengatur kedudukan hakim-hakim.
3. Berkaitan kes kematian Teoh Beng Hock, Kerajaan juga menubuhkan Suruhanjaya Siasatan DiRaja dan Inkues (2011) untuk menyiasat kalau-kalau terdapat apa-apa perbuatan yang tidak wajar semasa siasatan ke atas mendiang berkaitan kes rasuah oleh pihal SPRM.
4. Suruhanjaya Siasatan DiRaja yang terkini (2012) adalah mengenai kononnya pemberian Kad Pengenalan kepada warga asing di Sabah. Hasil daripada Suruhanjaya Siasatan DiRaja tersebut, kerajaan telah mengambil pelbagai langkah susulan khususnya penubuhan Jawatankuasa Tetap untuk mengurus hal-hal yang berkaitan warga asing.
RASIONAL
Isu penting sekarang pula mengenai banjir luar biasa yang melanda negeri Kelantan khususnya di Kuala Krai, Manik Urai, Gua Musang, Tanah Merah dan banyak lagi tempat. Banjir besar ini telah mengakibatkan setakat ini 11 kematian di Kelantan sahaja.
Pelbagai pihak khususnya rakyat jelata heboh memperkatakan mengenai penggondolan hutan-hutan di negeri Kelantan dalam skala yang besar dang sangat luar biasa. Malaysiakini telah berjaya menunjukkan gambaran yang jelas di sini .
Persoalannya, saya fikir tidak adil kita menuding jari kepada sesiapa pun. Kita mahu membersihkan nama mereka yang dikaitkan sepertimana disebutlah bahawa berlakunya penglibatan Kerajaan Negeri Kelantan yang terdahulu, disebut juga dalam media sosial dan media suratkhabar nama Datuk Husam Musa, Ngeh Kor Ming, Nga Koh Him dan sebagainya.
Jika kita rajin sedikit, akan melihat juga terdapat tuduhan kononnya terdapat individu-individu dan syarikat-syarikat dari luar Kelantan terlibat dalam kemusnahan dan penggodolan hutan-hutan itu.
Jalan penyelesaiannya ialah, tubuhkanlah Suruhanjaya DiRaja Pembalakan Haram. Mengapa tidak? Saya sangat yakin DS Anwar Ibrahim dan Rafizi Ramli sangat bersetuju dengan cadangan ini kerana ianya melibatkan kepentingan awam dan keselamatan rakyat pada tahun-tahun mendatang. Hanya mereka malu untuk mencadangkannya!
Kita bimbang jika tidak ditangani, banjir pada tahun hadapan akan lebih buruk lagi setelah kemusnahan hutan-hutan tersebut yang melampau-lampau tanpa adanya pemulihan, pemuliharaan dan tanam semula.
Dengan adanya Suruhanjaya Siasatan DiRaja ini, maka tindakan susulan boleh diambil hasil daripada laporan suruhanjaya tersebut.
No comments:
Post a Comment