HOME

Pages

Monday, 16 February 2015

Padah cuba curi tong ikan

Othman dibawa ke mahkamah, semalam.
KOTA BHARU - Padah buat seorang buruh kerana cubaannya mencuri dua tong berisi ikan, dia dihukum penjara lapan bulan oleh mahkamah majistret, di sini, semalam.

Hukuman diputuskan terhadap Othman Hassan,41, selepas dia mengaku salah cuba mencuri tong berisi ikan milik Mohamad Zaki Abdullah, 28, di Blok C, RTC Tunjung, di sini, jam 10 malam, 13 Disember tahun lalu.

Tertuduh ditahan pengadu bersama dua rakannya sebelum diserahkan kepada polis. Perbuatan tertuduh dilihat oleh pemiliknya sendiri apabila dia mengalihkan tong berkenaan dari tempat asal ia diletakkan.

Pada prosiding semalam, tertuduh merayu hukuman diringankan kerana insaf atas perbuatannya,  namun Timbalan Pendakwa Raya negeri, Nurliyana Md Zukri memohon mahkamah memutuskan hukuman setimpal.

“Tertuduh ditangkap sendiri oleh pengadu dan jika dia terlepas, maka pengadu akan mengalami kerugian. Saya mohon mahkamah mempertimbangkan kepentingan awam melebihi kepentingan diri tertuduh,” katanya.

Majistret, Mohd Firdaus Zainal Abidin kemudian memutuskan hukuman itu dan mengarahkannya berkuat kuasa daripada tarikh dia ditahan.

Sementara itu, dalam perkembangan lain di mahkamah sama, seorang peniaga berusia 34 tahun didenda RM4,300 atau tujuh bulan penjara selepas mengaku salah menganjurkan hiburan karaoke di tingkat satu bangunan di Jalan Hilir Market, Kubang Kerian pada jam 11.30 malam, 29 Januari lalu.

Tuduhan terhadap Fadli Muhamed, 34, dibuat mengikut Seksyen 6(1) Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan Kelantan 1998 dan di hukum di bawah Seksyen 6(2) Enakmen yang sama. -SINAR

No comments:

Post a Comment