HOME
▼
Pages
▼
Monday, 16 February 2015
Pemuda berdepan tali gantung
KOTA BHARU - Seorang pemuda berusia 26 tahun berdepan hukuman mati mandatori selepas dituduh atas dakwaan mengedar 360 gram metamphetamine di mahkamah majistret, di sini, semalam.
Muhamad Hafiz Roslan, 26, didakwa mengedar dadah di hadapan sebuah kedai di Jalan Pengkalan Chepa, di sini, jam 12.10 tengah malam, 3 Februari lalu.
Dakwaan dijalankan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan. Pada prosiding itu, tiada pengakuan direkodkan.
Majistret, Mohd Firdaus Zainal Abidin menetapkan kes sebutan semula pada 16 April depan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Nurliyana Md Zukri. Tertuduh tidak dibenarkan jamin.
Dia ditahan oleh sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan empat anggota sindiket didalangi pemuda berusia 20-an ditahan polis selepas dipercayai mengedar tiga jenis dadah bernilai RM98,600 di hadapan sebuah kedai runcit Pengkalan Chepa, di sini.
Pemeriksaan terhadap suspek utama berusia 26 tahun menjumpai beg sandang berwarna hitam di atas alas kaki penumpang hadapan dan di dalamnya terdapat 18 paket plastik biru mengandungi 3,564 pil kuda, 300 eramin 5 dan 20 gram syabu. -SINAR
No comments:
Post a Comment