HOME

Pages

Sunday, 16 August 2015

Langkah Kajang Langkah Kecundang

KENYATAAN MEDIA
16 OGOS 2015
LANGKAH KAJANG, LANGKAH KECUNDANG

Alhamdulillah, kes Saman Fitnah yang saya failkan terhadap Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan bekas Setiausaha Agung PKR Dato’ Saifuddin Nasution berakhir pada Jumaat lepas setelah kedua-dua pihak bersetuju untuk menyelesaikannya secara baik.

Mahkamah Tinggi Shah Alam merekodkan Penghakiman Persetujuan dimana Dato’ Saifudin selaku Defendan Pertama dan PKR Defendan Kedua telah menyatakan rasa kesal mereka dan memohon maaf kerana mengeluarkan dan mengedarkan satu laporan 91-mukasurat yang mengandungi pelbagai tuduhan fitnah terhadap saya.

Mereka mengakui bahawa laporan tersebut telah dikeluarkan dan diedarkan bagi menjelaskan mengapa saya perlu dilucutkan dari jawatan Menteri Besar Selangor dan bukanlah satu bukti muktamad bahawa saya telah melakukan kesalahan seperti fitnah yang disebut.

Mereka turut menyatakan rasa kesal dan mengakui bahawa penyataan di dalam laporan tersebut tidak sepatutnya diperkatakan serta memberi akujanji tidak akan mengulangi tuduhan serta fitnah tersebut. 

Sebagai seorang Islam, saya menerima penyataan maaf dan kesal PKR serta Dato' Saifuddin dan mengambil semangat bulan Syawal yang mulia ini untuk memohon maaf zahir dan batin jika saya ada menyinggung perasaan beliau serta mana-mana ahli PKR yang lain. 

Sama seperti kes Saman Fitnah yang saya failkan sebelum ini, saya sentiasa mengambil pendekatan berlapang dada dengan tidak mahu memanjangkan persengketaan jika pihak yang membuat tuduhan mengakui kesilapan mereka. Pada saya penyataan maaf sudah mencukupi untuk menebus maruah saya yang tercalar dengan fitnah-fitnah yang dilemparkan. 

Saya akui, kes yang terakhir ini telah memberi tamparan yang amat hebat kepada saya dan pasukan saya di pejabat Menteri Besar yang sentiasa mementingkan amalan berteraskan ketelusan, pertanggungjawaban, dan kemahiran pengurusan selama saya menerajui pentadbiran kerajaan Negeri Selangor. Tidak dinafikan juga bahawa kami berasa amat kecewa kerana ditewaskan oleh fitnah meskipun setelah bekerja keras selama 6 tahun melakukan reformasi pentadbiran khusus untuk kesejahteraan rakyat. 

Langkah Kajang telah berjaya mengaibkan saya yang akhirnya menyebabkan saya kehilangan jawatan. Namun, lebih malang lagi, strategi politik yang tidak bermoral ini telah turut menyebabkan keretakan dalam pemuafakatan antara parti komponen Pakatan Rakyat akibat sikap politik retorik dan hipokrit.

Akibatnya PAS – sebuah parti politik yang mempunyai kekuatan “grassroots” dan tenaga mereka kongsi sepenuhnya pada setiap pilihanraya – telah diketepikan dan dipecah-belahkan; bahkan pemimpin mereka turut terpalit dan diaibkan. 

Permainan politik yang begitu dasyat ini hanya merugikan rakyat terutama di Selangor dimana isu-isu pokok telah diabaikan. Penstrukturan Air Selangor masih belum dapat dilakukan dengan lancr sebagaimana sepatutnya, tanah Selangor diserahkan kembali kepada golongan “rentier” yang hanya mengaut laba atas angin, masalah sampah masih berleluasa serta halatuju pentadbiran negeri yang masih kabur. 

Sebagai seorang Ahli Parlimen dan ADUN yang dipilih secara sah oleh rakyat, saya mahu berusaha untuk mewujudkan satu suasana politik yang menguntungkan rakyat. Justeru setelah maruah saya ditebus dengan kenyataan maaf oleh PKR lantas terbukti bahawa segala tohmahan yang dilemparkan ke atas saya ternyata fitnah semata-mata maka saya kini boleh memberi tumpuan penuh untuk melakukan usaha ini. 

Terima kasih saya ucapkan kepada barisan peguan saya Edmund Bon, Joshua Tay dan Lee Shee Pin dari BON Advocates atas khidmat guaman professional yang telah diberikan, 

Saya juga mengambil kesempatan ini mengucapkan terima kasih kepada penyokong-penyokong saya yang tidak jemu-jemu memberi sokongan dan kata semangat kepada saya dari bermulanya kemelut Langkah Kajang sehinggalah ke hari ini.

Saya sedar ramai yang agak kecewa apabila saya menyelesaikan kes ini dengan menerima pernyataan maaf dari para Defendan namun pada saya ini adalah tindakan terbaik yang perlu dilakukan apatah lagi kita masih berada di dalam bulan Syawal, bulan kemenangan bagi umat Islam. 

Sekian Terima Kasih

TAN SRI DATO’ SERI ABDUL KHALID BIN IBRAHIM
AHLI PARLIMEN BANDAR TUN RAZAK &
ADUN PELABUHAN KLANG

No comments:

Post a Comment