HOME

Pages

Tuesday, 13 March 2012

‘Kami derita tiada air’

DIPETIK DARI Wartawan Sinar Harian
12 Mac 2012
‘Kami derita tiada air’
TUMPAT – Penduduk di beberapa kampung bersempadan Sungai Golok, Pengkalan Kubor berdepan masalah terputus bekalan air bersih dari Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB), malah bukan pertama kali berlaku tetapi sudah berlarutan selama tiga tahun.
Ini realiti yang terpaksa ditanggung oleh penduduk dari Kampung Kubang Sawo, Kampung Naga Ibu, Kampung Kuala Jambu, Kampung Tualang dan juga Kampung Bendang Pak Yong.
Krisis tiada air ini juga memaksa penduduk mandi di Sungai Golok dan paling menyedihkan ada penduduk menyedut air dari kolam itik, walau sedar air itu kotor.
Air itik
“Saya tiada pilihan, air dari kolam itik menjadi pengganti air AKSB yang terputus sejak tiga tahun lalu,” luah Che Harun Salleh, 51, penduduk dari Kampung Kuala Jambu.
Menurutnya, air dari kolam itik itu jugalah digunakan untuk memandikan ibunya yang lumpuh, Mariam Muda, 84.
“Bayangkan betapa seksanya kami, air tempat itik berkubang itulah air yang kami gunakan buat mandi. Kulit memang gatal, tetapi kerana sudah terbiasa mandi air tersebut, kami di sini sudah lali,” katanya.
Che Harun menggunakan pam air untuk menyedut air dari kolam itik tersebut dengan menyambung paip air terus ke dalam kolam itu untuk disalurkan ke rumahnya.
“Saya tidak mampu untuk memunggahnya setiap hari, lagi pun kolam itik itu agak jauh juga dari rumah kami. Semua urusan rumah tangga saya yang terpaksa uruskan, memandikan ibu, memasak dan dalam masa yang sama juga saya terpaksa bekerja di bendang padi,” katanya.
Menurutnya, kalau terpaksa, air dari kolam itik itu juga dijadikan air minuman kerana bukan senang untuknya mencari air bersih di sekitar kampung ini kecuali ke pekan membeli air mineral.
Katanya, selain ibunya yang lumpuh, dia juga terpaksa menjaga kakaknya yang sakit, Che Yam Salleh, 63, sehingga masanya agak terbatas untuk mencari air bersih.
Tadah air
Bagi penduduk Kampung Kubang Sawo, Mohd Saiful Ismail, 27, berkata, dia terpaksa menadah air AKSB jam 3 pagi setiap hari semata–mata untuk mendapatkan air bersih.
“Masalah ini sudah berlarutan tiga tahun lamanya, jam 3 pagi adalah keluar sikit air AKSB ini, bolehlah dapat satu baldi kecil, cukup buat minum. Kalau harapkan air keluar dari paip memang tidak akan menitik pun, saya terpaksa sedut dari paip penyambung bawah tanah,” katanya.
Menurutnya, dengan anak yang masih kecil seramai dua orang, memang perlukan air yang mencukupi tetapi nampaknya masalah tiada air di kampung ini tiada kesudahan.
Tiada telaga
Seman Awang, 66, dari Kampung Kuala Jambu berkata, berikutan kampung ini berdekatan kawasan bendang padi, telaga tidak dapat digali kerana akan mengeluarkan air yang busuk .
“Kami bergantung kepada air AKSB sepenuhnya, tetapi disebabkan masalah bekalan air terputus, kami terpaksa menanggung derita bukan sehari tetapi tiga tahun lamanya,” katanya.
Sediakan tangki
Penduduk di Kuala Jambu mengharapkan pihak AKSB sediakan tangki air berdekatan rumah Che Harun kerana dia perlukan air bersih untuk memandikan ibunya yang lumpuh.
Malah, tangki air AKSB di Jalan Kasban berdekatan Kampung Naga Ibu diharap disediakan air mencukupi dan air tersebut dibekalkan secara konsisten.
Penduduk turut mendakwa terdapat tiga tempat bermasalah paip bocor di sekitar Jalan Kasban menjadi penyebab bekalan air di kampung tersebut menghadapi tekanan air rendah.
Penjelasan AKSB
Menurut Eksekutif Hal Ehwal Pelanggan AKSB, Hazwan Hassan, gangguan tekanan air rendah di kampung terlibat dapat diatasi dalam masa terdekat apabila projek projek pemasangan paip Kementerian Pembangunan Luar Bandar ke Kampung Kubang Sawo siap.
“Paip utama bersaiz 160 milimeter dengan jarak kira–kira 1.3 kilometer melalui belakang Sekolah Kebangsaan Bendang Pak Yong, yang mana jarak paip tersebut lebih dekat ke kampung tersebut. Siapnya pemasangan paip tersebut, masalah tekanan air rendah dapat diatasi,” katanya.

No comments:

Post a Comment