KOTA BHARU - Rakyat Kelantan digesa supaya tidak mempersia-siakan undi
pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) akan datang untuk memilih kerajaan
yang mampu membantu memantapkan pembangunan di dalam semua aspek,
terutama berkaitan ekonomi dan sosial.
Ketua Umno Bahagian Kota Baharu, Datuk Mohd Fatmi Che Salleh berkata,
kestabilan dalam aspek pembangunan ekonomi dan sosial pasti akan
menjamin masa hadapan rakyat negeri ini dengan lebih baik dan sempurna.
"Kita memerlukan kerajaan yang memberi perhatian dan fokus terhadap
agenda pembangunan rakyat serta kerajaan yang bijak merancang dan
melaksanakan sesuatu pelan dengan berkesan bagi pembangunan rakyat.
"Justeru, kita perlu sedar bahawa pembangunan dan survival rakyat tidak
akan terjamin di bawah kerajaan yang hanya mementingkan politik
semata-mata," katanya dalam ucapan pada majlis penyampaian Bantuan
Rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada 900 penerima di Sekolah Menengah
Kebangsaan Sultan Ismail, di sini hari ini.
Fatmi yang juga setiausaha politik perdana menteri berkata, kerajaan
Barisan Nasional (BN) yang kini dipimpin oleh Perdana Menteri Datuk Seri
Najib Tun Razak telah terbukti dalam mendukung aspirasi rakyat sejak
lebih 50 tahun yang lalu apabila sanggup melakukan apa sahaja untuk
kepentingan rakyat.
"Berikutan itu, dalam konteks pembangunan di Kelantan ini, saya percaya
apa sahaja perancangan berkaitan aspirasi rakyat akan lebih senang
menjadi realiti jika diterajui oleh kerajaan yang berwibawa," katanya.
Katanya, antara agenda utama BN adalah mengenai rumah rakyat mampu
milik yang tidak pernah disediakan oleh kerajaan PAS walaupun telah
menerajui Kelantan lebih 20 tahun lalu sedangkan kemudahan tersebut
adalah keperluan utama rakyat.
"Perkara ini telah dimaklumkan kepada Perdana Menteri dan beliau amat
memahami masalah ini, namun tidak berupaya menjadikannya satu kenyataan
kerana ia di bawah kuasa kerajaan negeri.
"Bagaimanapun, jika BN diberi mandat dan menerajui kerajaan pusat, saya
yakin masalah berkenaan akan dapat diselesaikan dengan bijaksana,"
katanya. - Bernama
No comments:
Post a Comment