Thursday, 15 March 2012

Rakyat Kelantan digesa undi kerajaan yang berwibawa

KOTA BHARU - Rakyat Kelantan digesa supaya tidak mempersia-siakan undi pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) akan datang untuk memilih kerajaan yang mampu membantu memantapkan pembangunan di dalam semua aspek, terutama berkaitan ekonomi dan sosial.

Ketua Umno Bahagian Kota Baharu, Datuk Mohd Fatmi Che Salleh berkata, kestabilan dalam aspek pembangunan ekonomi dan sosial pasti akan menjamin masa hadapan rakyat negeri ini dengan lebih baik dan sempurna.

"Kita memerlukan kerajaan yang memberi perhatian dan fokus terhadap agenda pembangunan rakyat serta kerajaan yang bijak merancang dan melaksanakan sesuatu pelan dengan berkesan bagi pembangunan rakyat.

"Justeru, kita perlu sedar bahawa pembangunan dan survival rakyat tidak akan terjamin di bawah kerajaan yang hanya mementingkan politik semata-mata," katanya dalam ucapan pada majlis penyampaian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada 900 penerima di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ismail, di sini hari ini.

Fatmi yang juga setiausaha politik perdana menteri berkata, kerajaan Barisan Nasional (BN) yang kini dipimpin oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah terbukti dalam mendukung aspirasi rakyat sejak lebih 50 tahun yang lalu apabila sanggup melakukan apa sahaja untuk kepentingan rakyat.

"Berikutan itu, dalam konteks pembangunan di Kelantan ini, saya percaya apa sahaja perancangan berkaitan aspirasi rakyat akan lebih senang menjadi realiti jika diterajui oleh kerajaan yang berwibawa," katanya.

Katanya, antara agenda utama BN adalah mengenai rumah rakyat mampu milik yang tidak pernah disediakan oleh kerajaan PAS walaupun telah menerajui Kelantan lebih 20 tahun lalu sedangkan kemudahan tersebut adalah keperluan utama rakyat.

"Perkara ini telah dimaklumkan kepada Perdana Menteri dan beliau amat memahami masalah ini, namun tidak berupaya menjadikannya satu kenyataan kerana ia di bawah kuasa kerajaan negeri.

"Bagaimanapun, jika BN diberi mandat dan menerajui kerajaan pusat, saya yakin masalah berkenaan akan dapat diselesaikan dengan bijaksana," katanya. - Bernama

0 comments:

Post a Comment