Pada permukaannya PAS nampak berjaya mengendurkan polemik di antara
Pesuruhjaya PAS Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak dengan dua
timbalannya, Datuk Phahrolrazi Zawawi dan Datuk Dr Ismail Salleh dengan
aman. Hal ini pernah diramalkan beberapa pemimpin PAS sebelum ini
bahawa PAS mampu menangani kemelut itu melalui semangat ukhuwah dan
mahabbah.
Malah
sehingga tengah hari Isnin lalu, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa
Ali kelihatan gesit mengumumkan keputusan “menang-menang” di antara dua
pihak yang bertelingkah itu. Phahrolrazi dan Ismail bersetuju menerima
pelantikan semula sebagai exco negeri. Azizan pula kekal sebagai menteri
besar dan pesuruhjaya PAS negeri itu.
Namun inti persoalan yang
mendorong perbalahan itu berlaku rupanya masih belum padam. Ibarat api
dalam sekam sedikit hembusan bayu politik boleh menyemarakkan kembali
pertikaian itu. Kemelut politik Kedah ini nampaknya benar-benar menguji
keampuhan dan keberkesanan sistem tarbiyah PAS.
Apakah benar
semangat ukhuwah dan tarbiyah dalam pelbagai bentuk yang dikendalikan
PAS untuk pemimpin dan ahlinya selama ini akan membantu mereda dan
mengelak isu itu menjalar menjadi bom jangka bagi cita-cita politik PAS?
Tidakkah Jawatankuasa Pemandu PAS yang akan menyelia keputusan dan tindak tanduk Azizan (kanan) dan barisan exconya boleh disimpulkan sebagai satu campurtangan “Kerajaan Pusat” PAS?
Bolehkah
dibaca pengwujudan jawatankuasa itu membayangkan bahawa PAS mengakui
memang menteri besar dan exconya selama ini memang mendokong sebuah
kerajaan negeri PAS yang lemah hingga perlu campurtangan PAS Pusat?
Atau,
apakah sebenarnya perselisihan pandangan dan cara kepemimpinan Azizan
dengan timbalan-timbalannya begitu luas lompongnya hingga perlu
jawatankuasa pemandu mendisiplinkan mereka agar pertikaian tidak
melimpah menjadi pergeseran antara “tok-tok demang” atau “warlordism” di
Kedah?
Lebih menggusarkan ialah, jika benar dakwaan sesetengah
pihak bahawa Phahrolrazi dan Ismail bertindak mempamerkan “undi tidak
percaya” terhadap kepemimpinan Azizan dengan menolak tawaran pelantikan
menjadi exco bukan atas sebab isu peribadi tetapi bersandarkan prinsip
perjuangan PAS sendiri, khalayak umum pasti akan terkilan dengan cara
kepemimpinan PAS Pusat menangani krisis ini.
Kini
hembusan bayu politik mula membuak menjadi badai yang membawa khabar
Phahrolrazi dan Ismail sebenarnya bertindak “degil dan nekad” menentang
budibicara Azizan “menganugerahkan” projek satu ribu juta ringgit kepada
“kroni”nya. Jika itu benar, memang buruk padahnya pada nama baik dan
maruah PAS.
Kini adalah semakin ketara bahawa soal ukhuwah dan
tarbiyah tidak dapat menyorokkan punca perbalahan. Malah secara langsung
desas desus politik mengisyaratkan bahawa PAS Pusat sebenarnya gagal
mereda apatah lagi menyelesaikan kemelut itu. Lebih menyedihkan PAS
Pusat seolah-olah bertindak mahu menyembunyikan “salah laku” pemimpinnya
di Kedah!
PAS mesti cepat dan tangkas menangani isu ini. Atas
nama kebenaran, PAS harus berhenti bermain silap mata politik. Ini soal
prinsip. Tugas utama Jawatankuasa Pemandu yang akan ditubuhkan mestilah
menyiasat laporan salah laku ini. Ini bukan sahaja untuk memelihara nama
baik perjuangan PAS tetapi membersihkan strategi politik PAS.
PAS
harus telus. Tidakkah ahli dan penyokong PAS rasa tertipu jika benar
projek sebesar satu ribu juta diberikan kepada kroni menteri besar yang
didakwa sebenarnya adalah ahli Umno, musuh politik PAS!
Bukankah
itu pengkhianatan namanya? Jika dibandingkan dengan projek ternakan
lembu National Feedlot Corporation (NFC), kepetualangan ini lebih zalim
dan menghiris jiwa penyokong PAS.
Jika masih ada ruhul Islam dalam
perjuangannya, PAS harus menggantung khidmat Azizan sehingga
Jawatankuasa Pemandu membersihkan namanya. Atau, jika ada kebenaran
terhadap tuduhan ini, PAS sendiri harus melaporkan salah laku itu kepada
polis atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.
Sejarah
politik Islam banyak teladan untuk pemimpin-pemimpin PAS. Selesai sahaja
mengkebumikan Khalifah Sulaiman, Umar bin Abdul Aziz terus mengambil
kertas dan tinta untuk mengeluarkan tiga perintah kepada umat Islam di
bawah jagaannya.
Pertama,
Umar membatalkan perintah almarhum Khalifah Sulaiman. Beliau
mengarahkan Maslamah, jeneral tentera Islam untuk mengundurkan
balatentera dari menyerang Konstantinopel. Ini kerana setelah berbulan
mengasak kota itu dari laut dan darat soldadu Islam masih gagal mencapai
kemenangan malah semakin lemah peralatan perang dan kurang bekalan
makanan mereka.
Khalifah Sulaiman ketika hayatnya mahu misi
menawan Konstantinopel diteruskan kerana didorong oleh ego mahu
meluaskan jajahannya. Tidak banyak pertimbangan diberikan kepada keadaan
dan kebajikan tentera Islam. Sebagai khalifah baru, Umar tidak mahu
nafsu berkuasa dan kekuasaan menandai pemerintahannya.
Kedua, Umar
memerintahkan Usamah bin Zaid at Tanukhi yang memegang bidang pajakan
Mesir dipecat dan dipenjarakan kerana bertindak zalim dan menghukum
rakyat tanpa mengikuti peraturan yang ditetapkan Allah.
Ketiga,
Umar mengeluarkan surat untuk memecat Yazid bin Abi Muslim dari Afrika
yang sering tidak menghiraukan perintah Sultan. Lantaran sikap bengis
dan sering menzalimi rakyat jelata, Umar segera bertindak melucutkan
pangkatnya.
Buat
masa ini, PAS harus mengetepikan impian menakluki Putrajaya. Yang lebih
penting ia harus membersihkan wadah perjuangannya. Ulat dan musuh
pemerintahan Islam ialah rasuah, salahguna kuasa, kronisme dan juga ego
pemimpin.
Kawallah iklim politik Kedah supaya jangan ia membuat
hati rakyat beku dan sinis terhadap apa yang dinamakan daulah Islamiah
jika ia tidak banyak bebeza dengan pemerintahan Umno dan Barisan
Nasional.
ULASAN ini adalah pendapat
peribadi penulis/penyumbang dan tidak semestinya mencerminkan pendirian
rasmi sidang pengarang Malaysiakini.
Abdul Rahman Malik adalah bekas kakitangan awam dan kini cenderung memperjuangkan nasib politik orang-orang Melayu.
Thursday, 8 March 2012
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment