Monday, 26 March 2012

Cuepacs mahu anggota suruhanjaya gaji diumum sebelum 31 Mac



25 Mac 2012
logo cuepacs
KOTA BHARU Cuepacs hari ini menggesa kerajaan mengumumkan senarai anggota suruhanjaya khas yang dibentuk bagi mengkaji secara komprehensif dan holistik skim saraan perkhidmatan awam.
Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, senarai tersebut diharap akan dikemukakan dlm ms terdekat dan selewat-lewatnya 31 Mac ini.
"Perkara ini mula dipersoalkan anggota dari Cuepacs yang sehingga kini ternanti-nanti masa suruhanjaya berkenaan akan bersidang," katanya kepada media pada Seminar Pengurusan Kewangan Penjawat Awam serta Taklimat Penambahbaikan SSM di Dewan Besar Kampus Universiti Sains Malaysia Kubang Kerian di sini, hari ini.
Seminar itu dirasmikan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Penubuhan suruhanjaya itu diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada perjumpaan khas penjawat awam di Putrajaya pada 8 Mac lepas.

Najib juga turut mengumumkan pembatalan sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) dan pelaksanaan semula SSM yang ditambah baik, termasuk pelarasan gaji antara tujuh hingga 13 peratus.

Mengulas perkara itu, Omar yang dipetik Bernama berkata, Cuepacs juga telah bersetuju untuk meletakkan sembilan pegawainya menganggotai suruhanjaya berkenaan yang mampu memberikan cadangan dan pendapat bagi penambahbaikan penjawat awam itu.

"Cuepacs harap penubuhan suruhanjaya ini dapat dilakukan segera dan esok akan diadakan mesyuarat penambahbaikan SSM ini dan jawatankuasa mesyuarat itu akan membuat laporan kepada pihak kerajaan selepas itu," katanya.

Omar berkata draf pekeliling mengenai SSM yang ditambah baik itu akan diteliti di peringkat akhir sebelum diserahkan kepada 1.4 juta penjawat awam seluruh negara secepat mungkin.

"Kita tidak mahu timbul lagi masalah seperti yang berlaku dalam SBPA sehingga ada penjawat awam yang tidak tahu menahu langsung dan ini yang akan kita pastikan tidak akan berlaku," katanya.

Beliau berkata Kelantan adalah negeri yang pertama diberikan taklimat oleh Cuepacs berhubung penambahbaikan SSM itu sebelum ke seluruh negara secara berperingkat.

0 comments:

Post a Comment