HOME

Pages

Thursday, 13 February 2014

GRAND MARQUIS BASUH OTAK KHALID SAMAD


Kepandaian Yang Tak Kena Tempat – Satu Jawapan pada YB Khalid Samad


Respon ini adalah merujuk pada posting YB Khalid Samad dalam isu perdebatan beliau dengan Dato Noh Omar dalam Isu Allah (disini).
Adalah satu kebodohan untuk YB berhujah dengan panjang lebar dalam isu ini. Apa yang YB cuba nak capai akhirnya? Supaya pihak Kristian bebas menggunakan kalimah Allah di merata-rat tempat di Malaysia dan supaya terpampang perkataan Isa anak Allah di papan tanda jalanan?
Dalam isu kalimah Allah, setiap pihak mempunyai hujahnya dan adalah sukar untuk kita memberikan kata putus dalam isu yang begitu longar. Walaubagaimanapun, sekiranya kita mahu berhujah, kita pun ada hujah-hujah yang boleh menunjukan bahawa hujah YB sebenarnya adalah lemah dan berdasarkan intepretasi yang tidak menyeluruh.
Umpamanya YB mendakwa orang bukan Islam zaman sebelum dan selepas Nabi S.A.W. turut menggunakan nama Allah dan ia tidak ditentang. Tetapi bagi yang mengetahui sirah, kita tahu orang Musyrikin asalnya beragama Nabi Ibrahim a.s. dan menyembah Allah. Tetapi agama Nabi Ibrahim telah dipesongkan dan digantikan dengan penyembahan berhala. Walaubagaimanapun, sebahagian dari agama Nabi Ibrahim a.s tetap kekal dibumi Arab. 
Walaupun mereka menyembah berhala, kita tidak pernah dengar orang musyrikin menamakan patung sembahan mereka dengan nama Allah. Sebabnya ialah orang musyrikin sedia memahami bahawa Allah itu bukan seperti patung sembahan mereka dan Allah itu bukan patung sembahan mereka. 
Hakikatnya ialah mereka tetap mengesakan Allah sebagai mana dalam ayat-ayat al-Quran yang mana jika ditanya mereka siapakah yang memberi rezeki, mencipta langit dan bumi dan menurunkan hujan, mereka akan jawab Allah (sila lihat Yunus [10.31], Al-Ankabuut [29.63] dan Az-Zukhruf [43.87]). 
Hakikat apa yang dilakukan oleh orang Kristian hari ini adalah bertentangan dengan tindakan orang musyrikin kerana mereka cuba menamakan sembahan mereka yang syirik (3 dalam 1) dengan nama Allah. Ia umpama orang musyrik yang cuba menamakan patung mereka dengan nama Allah. Apakah YB tidak tahu bahawa bila Kaabah rosak akibat banjir, orang Musyrik membinanya semula dengan duit yang HALAL sebab mereka tahu Allah S.W.T. tidak redha dengan sumber yang haram untuk membina Baitullah. Oleh itu mungkin kalau ada orang musyrik yang berani menamakan patung mereka dengan nama Allah, beliau akan dibunuh, bukan oleh orang Islam, tapi oleh orang musyrik sendiri kerana cuba menamakan Allah kepada apa yang tidak berhak untuk dinamakan kepadaNya.
Dalam persoalan akidah pula, apakah mengatakan Allah itu ada anak bukan persoalan akidah? Tapi ia bergantung pada interpretasi menurut keadaan dan tempat seseorang. Umpama sekiranya seorang Islam memakai bikini di Bondi beach di Australia, ia bukan dikira persoalan moral di sana, tetapi ia tetap persoalan moral bagi kita selagi akidah kita ini Islam. Cuma kita tidak boleh buat apa-apa tindakan sebab ia bukan kawasan kita. Tapi bila di buat di Malaysia atau Arab Saudi, ia adalah permasalahan moral yang serius dan boleh dikenakan tindakan. Sebabnya ialah intepretasi moral itu berbeza di Malaysia dan Australia dan kuasa untuk melaksanakan penguatkuasaan juga berbeza. 
Sama juga dalam isu nama Allah dan persoalan akidah. Harus diingat Malaysia ialah sebuah Negara yang mana agama persekutuan adalah Islam. Sebagai seorang Islam, kita percaya Allah itu tidak beranak dan diperanakkan. Oleh itu dalam rumah kita, kita menetapkan Allah itu esa, tidak beranak dan diperanakan. Tiba-tiba ada orang kafir masuk rumah kita dan ingin mengatakan Allah itu ada anak. Dia nak kata apa itu hak dia, tapi bila dia nak perkatakan perkara tersebut di rumah kita dan meminta kita untuk mengiakan kata-katanya, sebagai seorang Islam, kalau kita kata YA, kita sememangnya ada permasalahan akidah. 
Isu sekarang ialah mereka mahu gunakan nama Allah dalam bentuk 3 dalam 1 dan meminta kita untuk mengiakan tidakan mereka. Apakah ini bukan masalah akidah? Selama ini pun kita tidak pernah menghalang mereka dalam ucapan mereka, tapi apabila mereka meminta perbuatan mereka ini diiktiraf undang-undang, ia umpama menyuruh kita mengatakan YA dalam membenarkan perbuatan mereka. Apakah ini bukan persoalan akidah? Mereka nak kata Allah 3 dalam 1 memang bukan persoalan akidah bagi kita, tapi untuk kita orang Islam MENGIKTIRAF perbuatan mereka dalam keadaan yang mana kita orang Islam menguasai kerajaan persekutuan dan negeri, sememangnya orang Islam yang diberikan kuasa itu ada masalah akidah.
Apa pun, ini hanya contoh-contoh hujah saja dan kalau kita mahu memperdebatkan isu ini. Kalau kita menilai dengan akal yang waras tanpa kepentingan, kita akan tahu bahawa hujah YB juga adalah lemah dan boleh dipertikaikan.
Cuma dalam hal ini, apa yang ingin saya bangkitkan ialah kenapa kita ni nak berlebih-lebih dalam menjuarai isu yang tidak membawa manfaat, malah mungkin merugikan kita. Isu kalimah Allah di semenanjung adalah jelas satu bentuk provokasi sengaja dari satu pihak Kristian yang sengaja mahu mencabar perlembagaan persekutuan yang selama ini dilihat memihak pada Islam. 
Mungkin kerana kebelakangan ini puak mereka mendapat sedikit kekuatan politik, mereka seperti sengaja mahu mencabar dan merubah struktur di negara ini supaya mereka mendapat lebih daripada apa yang mereka perolehi selama ini. Natijah mereka ialah segala status quo yang melibatkan orang Islam harus dicabar.
Harus YB ingat, dalam tuntutan IFC,  perkara 9 dalam tuntutan mereka ialah supaya orang bukan Islam hendaklah dibenarkan dan tidak boleh dihalang daripada menggunakan perkataan perkataan suci Islam dalam percakapan dan sebagainya. Sekiranya tuntutan mereka ini berjaya, maka, tuntutan lain akan menyusul. 
Apakah YB mahu supaya seorang anak yang dilahirkan oleh ibu bapa Islam tidak mengharuskan secara terus menjadi orang Islam? Atau orang bukan Islam yang telah memeluk agama Islam hendaklah diberi kebebasan untuk kembali kepada agama asal mereka (murtad) dan tidak boleh dikenakan tindakan undang-undang? 
Atau orang bukan Islam tidak perlu dikehendaki menganut Islam sekiranya ingin berkahwin dengan orang Islam. Orang Islam hendaklah dibenarkan keluar daripada Islam (murtad) sekiranya ingin berkahwin dengan orang bukan Islam tanpa boleh dikenakan apa-apa tindakan undang-undang?
Apa yang kita lihat ialah tindakan mereka ini adalah satu bentuk provokasi untuk mencapai satu agenda yang lebih besar. Mereka bukan berminat sangat pun nak guna nama Allah. Ramai yang bising-bising tu, nak sebut Allah dengan lam tebal pun tak boleh.Mereka pun bukan percaya sangat orang Islam akan jadi Kristian kalau mereka guna nama Allah (walaupun salah satu teknik dakyah mereka ialah kontextualisasi istilah agama).Mereka cuma mahu provokasi saja pada segala status quo orang Islam di negara ini. Kalau runtuh satu status quo, maka yang lain pun boleh diruntuhkan. Akhirnya 14 tuntutan IFC akan terlaksana.
Malangnya, yang menjadi dalang dalam membantu usaha mereka tak lain tak bukan adalah orang Islam sendiri. Dalam sesetengah perkara, adakalanya berdiam diri itu lebih banyak manfaat daripada cuba menjadi hero dengan tidak kena pada tempatnya. Mungkin benar, isu penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam masih boleh diperdebatkan, tetapi kenapa kita perlu menjadi hero untuk memperdebatkan isu ini bagi pihak mereka. Mereka yang membuat tuntutan, biarlah mereka yang keluarkan hujah. Kenapa kita mahu melebih-lebih bagi pihak mereka. Inilah yang kita katakan kepandaian yang tidak kena pada tempat. Macam resmi tok kaduk, menang sorak, kampong tergadai.

No comments:

Post a Comment