HOME

Pages

Wednesday, 12 February 2014

PEMIMPIN PELAJAR UNISEL MENGADU KERAJAAN PAKATAN RAKYAT JANJI OMONG KOSONG SAHAJA


Sejak kepimpinan Selangor beralih kepada Pakatan Rakyat pada tahun 2008, pelbagai rancangan dirangka untuk menambah baik institusi di bawah kerajaan negeri. Penambahbaikan dilakukan supaya selari dengan hasrat kepimpinan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. Salah satu institusi yang paling menjadi perhatian rakyat Selangor adalah Universiti Selangor bertempat di Shah Alam dan Bestari Jaya.
            
(A) PELBAGAI MASALAH DI UNISEL MEMENINGKAN
Enam tahun berlalu namun prestasi UNISEL dilihat belum mencapai tahap yang membanggakan. Pelbagai masalah yang timbul terutamanya melibatkan kebajikan mahasiswa UNISEL. Kemudahan asrama yang sepatutnya dinikmati oleh mahasiswa tidak dapat digunakan kerana menghadapi masalah kontraktor. Akibatnya pentadbiran UNISEL terpaksa menyewa kediaman di luar sebagai asrama. Masalah ini hanya menyusahkan pelajar dan membuang masa mereka yang terpaksa berulang-alik antara fakulti dan asrama.
            
(B) UNISEL MEMINGGIRKAN PELAJAR
Yang lebih menyedihkan adalah pentadbiran UNISEL kurang berkomunikasi dengan perwakilan pelajar. Banyak maklumat tidak didedahkan dan keputusan yang dibuat tidak dibawa berbincang dengan mahasiswa terlebih dahulu. Tindakan peminggiran ini adalah usaha menafikan suara mahasiswa dan menganggap bahawa mahasiswa hanya belajar di kelas dan tidak mampu untuk berfikir dan mengurus aktiviti sendiri.
            
(C) JANJI PAKATAN RAKYAT OMONG KOSONG
Perkara ini sangat bertentangan dengan janji Pakatan Rakyat yang mahu universiti diberi kuasa autonomi dan mahasiswa diberi kebebasan mengurus aktiviti sendiri daripada terus dikongkong oleh pentadbiran universiti. Kerajaan Selangor perlu menunjukkan UNISEL sebagai model IPT yang terbaik untuk meyakinkan mahasiswa Kerajaan Selangor kali ini betul-betul meraikan anak muda.
            
(D) KEISTIMEWAAN HANYA KEPADA GOLONGAN TERTENTU SAHAJA
Oleh itu, sempena Pilihanraya Kampus Unisel yang akan diadakan pada 11 Febuari ini, PKPIM menggesa pemilihan ini dilakukan dengan semangat meraikan kebebasan bersuara dan berfikir serta menghayati amalan syura baik di peringkat mahasiswa dengan pentadbiran universiti atau antara mahasiswa sendiri. Semua kelompok perlulah diraikan dan bukan memberi keistimewaan kepada golongan tertentu sahaja.
            
Kami juga meminta exco pendidikan negeri, Dr Halimah Ali untuk melibatkan semua kelompok mahasiswa dalam perancangan membina model mahasiswa yang terbaik daripada UNISEL. Ini supaya mahasiswa UNISEL menjadi ikutan dan harapan kepada mahasiswa lain di seluruh Malaysia. Kami juga mengucapkan selamat mengundi kepada seluruh mahasiswa UNISEL dalam PRK kali ini. Hidup Biar Berjasa!

Mohammad Syazwannuddin bin Shaharuddin
Naib Presiden PKPIM 

No comments:

Post a Comment