HOME
▼
Pages
▼
Thursday, 29 January 2015
Kedudukan selekoh agak terlindung
PASIR MAS – Penduduk bagaikan meletakkan nyawa di hujung tanduk, setiap kali keluar dari Cabang Tiga Lati berdekatan cabang ke Repek, kerana lokasinya yang agak terlindung dari pandangan laluan Pasir Mas-Rantau Panjang.
Penduduk, Norma Ismail, 51, berkata, kedudukan selekoh yang agak tersembunyi, menyebabkan pemandu dari arah Lati, tidak dapat mengagak kehadiran kenderaan dari arah Pasir Mas.
Menurutnya, keadaan menjadi lebih teruk apabila ada pihak meletakkan kenderaan di selekoh berkenaan.
Disebabkan pandangan terhadang Norma berkata, ada pemandu teragak-agak untuk membelok ke laluan sebelah kanan, memasuki Jalan Pasir Mas.
“Jika mereka meneruskan perjalanan, tanpa memastikan keadaan selamat untuk dilalui, ia boleh menyebabkan kemalangan.
“Ia juga boleh meragut nyawa pemandu, kerana kedudukan mereka betul-betul di hadapan kenderaan arah bertentangan,” katanya.
Norma berkata, Jalan Pasir Mas ke Rantau Panjang dekat cabang ini juga agak selekoh, menyebabkan pemandu lain cenderung untuk memandu lebih laju.
Dia berkata, laluan itu sering dilalui penduduk untuk ke Hospital Pasir Mas, sekolah, masjid dan taman perumahan.
Maka katanya, usaha untuk menyelesaikan masalah itu perlu dilakukan demi mengelak berlakunya kemalangan maut. -SINAR
No comments:
Post a Comment