Sunday, 2 February 2014

Umno Kelantan Bantu 4 Beradik Bersekolah

alt
Foto: Bernama
 
KOTA BHARU 2 Jan - Umno Kelantan akan membantu empat anak pasangan warga Malaysia yang ditahan pihak berkuasa Sweden untuk meneruskan sesi persekolahan mereka di negeri ini.
 
Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata beliau akan bertemu Pengarah Jabatan Pendidikan (JPN) Kelantan Hussain Awang bagi membincangkan perkara itu.
 
"Saya yakin JPN akan membantu sebaik mungkin. Mereka (JPN) boleh datang berjumpa anggota keluarga untuk bincang dan pastikan adik-beradik ini ditempatkan di sekolah yang bersesuaian," katanya selepas melawat empat beradik itu di Kampung Wakaf Tok Wali, Peringat di sini hari ini.
 
Mustapa, yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, berkata beliau yakin kerajaan Persekutuan akan membantu sebaik mungkin bagi membawa ibu bapa kanak-kanak berkenaan pulang ke tanah air.
 
"Kita amat gembira dan berterima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Timbalan Menteri Luar Datuk Hamzah Zainuddin dan Kementerian Luar yang begitu prihatin dengan nasib yang menimpa kanak-kanak ini.
 
"Kita mendoakan segala-galanyanya berjalan lancar di sana (Sweden) dan turut mendoakan ibu bapa kanak-kanak ini dapat kembali untuk bersama dengan anak-anak mereka," katanya.
 
Empat beradik itu, Aishah Azizul Raheem, 14, Ammar, 12, Adam, 11, dan Arif, 7, tiba pukul 7.04 pagi semalam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur sebelum dibawa pulang ke kampung ibunya di Kota Bharu.
 
Mereka kini dijaga ibu saudara mereka, Shaleena Norshal.
 
Azizul Raheem Awalludin, pegawai Tourism Malaysia di Sweden dan isteri Shalwati Norshal, seorang guru yang bercuti tanpa gaji, ditahan reman sejak 18 Dis lepas kerana didakwa memukul tangan seorang anak lelaki mereka kerana tidak solat.
 
Sementara itu, di BESUT, Menteri Pendidikan Kedua Datuk Seri Idris Jusoh berkata Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) akan memastikan keempat-empat beradik berkenaan tidak berdepan masalah dalam mendapatkan pendidikan di negara ini.
 
"Sesuai dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia yang memberi peluang belajar kepada semua, saya memberi jaminan yang mereka tidak akan menghadapi sebarang masalah untuk meneruskan belajar di negara ini sekiranya mereka mahu," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Kelab Sukan dan Rekreasi Parlimen Besut di Dataran Kuala Besut hari ini.
 
Bagaimanapun, beliau berkata keluarga empat beradik itu perlu mengemukakan permohonan serta berbincang dengan KPM terlebih dahulu bagi mengetahui status pendidikan mereka sebelum kelulusan diberi.    
 
Mengulas kedudukan jawatan ibu kanak-kanak terbabit, yang mengambil cuti tanpa gaji semasa ditahan, Idris berkata KPM akan melakukan semakan sebelum membuat keputusan berhubung perkara itu.
 
Dalam perkembangan lain, beliau berkata kerajaan sentiasa memantau situasi pelajar Malaysia yang terbabit dengan pergolakan di luar negara seperti di Mesir dan Syria bagi memastikan mereka selamat serta dapat belajar dengan baik.

Terima Kasih Kerajaan Pas Kelantan??!


Gempar Pengantin lesap, rugi RM60,000


Pengantin lesap, rugi RM60,000
Pelamin yang terhias indah hanya menjadi kenangan pahit buat Yaya.
Pengantin lesap, rugi RM60,000
Majlis perkahwinan terpaksa ditukar kepada majlis sambutan Maulidur Rasul.
Pengantin lesap, rugi RM60,000
Hantaran yang telah siap.
Pengantin lesap, rugi RM60,000
Yaya menunjukkan cincin yang diberikan ketika merisik.

KOTA BHARU - Majlis perkahwinan yang sepatutnya menjadi kenangan manis seumur hidup bertukar menjadi pengalaman pahit buat seorang pensyarah institut pengajian tinggi awam (IPTA).

Malang buatnya apabila bakal suaminya itu tidak muncul-muncul pada hari pernikahan mereka kelmarin, menyebabkan keluarga terpaksa menukar majlis menyambut menantu kepada majlis sambutan Maulidur Rasul.

Pensyarah tersebut yang hanya mahu dikenali sebagai Yaya (bukan nama sebenar), 28, berkata, pernikahannya sepatutnya berlangsung di sebuah masjid di Pengkalan Chepa di sini, jam 3 petang, namun pengantin lelaki tidak muncul selepas tiga jam menunggu.

Kejadian itu menyebabkan dia bukan sahaja trauma dan hilang keyakinan diri, malah ahli keluarganya mengalami kerugian hampir RM60,000.

Menurutnya, dia mengenali bakal suaminya itu melalui laman website mencari jodoh pada Mei tahun lalu dan mereka juga pernah beberapa kali keluar bersama.


Kenal lima bulan

“Saya malu dengan kejadian ini kerana ia melibatkan maruah keluarga. Saya langsung tidak menyangka dia sanggup menipu. Kami pernah beberapa kali bertemu dan saya percayakannya walaupun baru mengenalinya dalam tempoh lima bulan sebelum majlis merisik.

“Sebelum ini juga dia mengaku bujang dan bekerja di salah sebuah syarikat swasta terkenal di Baling, Kedah,” katanya.

Yaya mendakwa, sebelum majlis akad nikah, dia dipujuk lelaki terbabit untuk memasukkan sejumlah wang selepas lelaki tersebut memberikan alasan ia diperlukan untuk persediaan perkahwinan dan wang hantaran.

“Saya memasukkan wang dua kali. Mula-mula RM10,000 dan sekali lagi sebanyak RM15,000 setelah mengetahui dia mempunyai banyak komitmen. Tidak terlintas dalam fikiran saya yang dia akan bertindak begini," katanya yang mengakui lelaki itu adalah cinta pertamanya.

Menceritakan semasa majlis pernikahan itu, beberapa ahli keluarga terdekat mencari lelaki terbabit di rumah ibu bapanya di sebuah kampung di pinggir Kota Bharu namun hanya ibu bapa lelaki itu sahaja yang muncul.

“Dia tiada di rumah, hanya ibu bapa sahaja yang ada tetapi mereka bersikap seolah-olah tiada apa yang berlaku. Bapanya beritahu anaknya telah berkahwin dan tidak mempunyai kerja tetap.

“Kalau betul sekalipun, sepatutnya hal ini dibincangkan dan bawa berunding kerana ia melibatkan maruah keluarga,” katanya yang kehilangan ayah pada 1999.

Yaya mengakui amat sedih dengan kelakuan bakal suaminya itu yang tidak memberitahu perkara sebenar sejak awal lagi sehingga keluarganya telah membuat persiapan untuk majlis perkahwinan mereka.


Pengantin lelaki gagal dihubungi

Sementara itu, abang mangsa, Man (bukan nama sebenar), 38, berkata, laporan polis dibuat selepas lelaki itu gagal dihubungi dan malu kerana ia melibatkan maruah keluarga.

"Saya sudah mengesyaki ada sesuatu tidak kena apabila dia meminta adik memasukkan RM25,000 untuk persiapan perkahwinan mereka, namun saya masih lagi berfikiran positif.

“Kira-kira jam 11 pagi kelmarin (Jumaat), kami menunggu pengantin lelaki yang berjanji untuk menghantar borang perkahwinan, namun sehingga jam 5 petang, dia tidak hadir menyerahkan borang mahupun muncul pada  majlis nikah sedangkan kami telah menyediakan jamuan dan memanggil imam masjid untuk akad nikah,” dakwanya.

Menurutnya, majlis kenduri terpaksa diteruskan kerana kad perkahwinan telah diedarkan dan jemputan dibuat sejak dua bulan lalu.

Ibu mangsa yang enggan dikenali pula berkata, dia tidak menyangka bakal menantunya itu sanggup memalukan anak perempuannya.

"Saya merestui hubungan mereka tetapi tidak sangka begini jadinya. Mereka mengenali antara satu sama lain selama lima bulan dan tarikh 1 Februari ini dipilih sempena hari lahir bakal suami anak saya.

“Semasa merisik, ibu bapanya datang pada waktu malam (sepatutnya selepas solat Asar) dengan hanya sebuah kereta dan dari situ, kami rasa pelik. Mereka memberikan alasan kereta rosak tetapi kami masih menerima dengan baik dan fikir positif tetapi begini akhirnya. Kami bukan berkira pasal duit tetapi ini melibatkan maruah," katanya.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman mengesahkan menerima laporan kejadian itu dan akan menjalankan siasatan lanjut.

Pelajar Malaysia Di Mesir Selamat

Kuala Lumpur: Pelajar Malaysia di Mesir dilaporkan selamat walaupun negara itu digegarkan beberapa kejadian pengeboman dan tembakan mensasarkan polis oleh penyokong bekas presiden, Mohamed Morsi. 

Perkembangan melegakan itu disahkan Unit Pendidikan, Kementerian Pendidikan, malah Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah juga sentiasa memantau keadaan keselamatan pelajar kita di sana. 
“Utamakan keselamatan diri serta jauhi sebarang konflik,” katanya. 
Sementara itu, Ketua Unit Pendidikan, Kementerian Pendidikan, Datin Rohani Mustafa, berkata pelajar Malaysia di Mesir yang dianggarkan antara 10,000 hingga 11,000 sentiasa dinasihatkan agar berjaga-jaga dengan keselamatan mereka. 

“Kedutaan Malaysia di Mesir juga sentiasa memantau keadaan pelajar kita di sana. Kita ada prosedur operasi standard (SOP) dan sentiasa nasihatkan pelajar terutama di Universiti Al-Azhar atau Universiti Kaherah, iaitu lokasi paling hampir dengan ibu negara Mesir, supaya mengelak menghampiri kawasan demonstrasi atau pergolakan,” katanya.

Saturday, 1 February 2014

Gempa bumi lemah landa Ranau


Jabatan Meteorologi Malaysia
Jabatan Meteorologi Malaysia

KUALA LUMPUR - Gempa bumi lemah berukuran 4.8 pada skala Richter berlaku kira-kira 16km timur laut Ranau, Sabah pada 7.35 malam ini. 

Jabatan Meteorologi Malaysia dalam kenyataan berkata pusat gempa terletak di 6.1 darjah utara dan 116.8 darjah timur, dan gegaran dilaporkan dirasai berhampiran Ranau.

Di KOTA KINABALU, Ketua Polis Daerah Ranau Deputi Superintendan Abdul Rahman Kassim berkata gegaran berkenaan dirasai di daerah itu, tetapi tidak mengundang panik dalam kalangan penduduk.

"Gegaran sangat lemah. Rasa (gegaran) sikit sahaja dan berlaku dalam lima saat.

"Setakat ini, pihak polis daerah tidak menerima sebarang laporan daripada orang awam mengenai gegaran itu," katanya. - Bernama

Thailand Bergolak Lagi

Pilihan Raya Thailand: Bangkok tegang, 2 cedera terkena tembakan.

email
comments
Thailand
BANGKOK:Sekurang-kurangnya dua cedera setelah penyokong kerajaan dan anti kerajaan bertembung di ibu kota Bangkok, kurang 24 jam proses pilihan raya Thailand berlangsung.

Laporan menyatakan penyokong kerajaan menyerang seorang lelaki yang sedang memandu manakala seorang lagi dilaporkan cedera akibat ditembak.

Pergaduhan bermula apabila penunjuk perasaan mula mengepung lokasi yang menempatkan peti dan kertas undi. Ia bagi menghalang kertas undi daripada sampai ke lokasi pengundian. Peti dan kertas undi biasanya dihantar ke tempat mengundi sehari sebelum pengundian. Bunyi tembakan dan letupan kedengaran semasa pergaduhan.

Thailand

Sebelum ini ketua penunjuk perasaan Sunthep Thaugsuban berikrar tidak akan menganggu proses pilihan raya. Namun ia menjadi omong kosong setelah penunjuk perasaan bertindak menutup beberapa pusat pembuangan undi di Bangkok semasa proses pengundian awal.

Keadaan di Bangkok pada Ahad dibimbangi lebih genting kerana penunjuk perasaan secara terang-terangan membawa bersama senjata seperti pistol dan mercun.

KJ: Jangan sentuh Chong Wei


Khairy Jamaluddin
Khairy Jamaluddin

SHAH ALAM - Susulan cadangan parti komponen BN yang ingin meletakkan jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei sebagai calon pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Kajang, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin menegaskan tidak akan membenarkan perkara itu berlaku.

Khairy melalui laman mikro Twitternya berkata, Chong Wei adalah "harta" negara dan tidak boleh disentuh untuk tujuan PRK Dun Kajang.

"Tolong jangan sentuh Lee Chong Wei.

"Dia adalah harta negara. Sebagai Menteri Sukan saya tak benarkan," tulisnya sebagai membalas pertanyaan seorang pengikutnya di laman mikro itu.

Sebelum ini, akhbar melaporkan Ketua Umno Bahagian Padang Besar, Datuk Zahidi Zainul berpendapat MCA perlu meletakkan calon popular untuk mengatasi Anwar dan mencadangkan Chong Wei sebagai calonnya.

Semalam media melaporkan, Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai telah menyenarai pendek calon yang akan bertanding pada Dun Kajang, Selangor.

Ketika ditanya media mengenai pemilihan Chong Wei, Tiong Lai bagaimanapun enggan mengulas mengenai  perkara itu.