Wednesday 3 April 2013

SPR Kelantan siap sedia


Wartawan Sinar Harian
3 April 2013
SPR Kelantan siap sedia
Pengamal media mendengar taklimat berkaitan undi pos yang diterangkan oleh Ketua Penolong Setiausaha, Bahagian Perjalanan Pilihan Raya, Mohamad Ghani (kanan).
KOTA BHARU - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Kelantan sudah bersiap sedia hampir 99 peratus bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).

Pengarahnya, Mohamad Mahmud berkata, untuk memastikan perjalanan pilihan raya ini berjalan lancar, pihaknya akan menugaskan seramai 17,000 kakitangan yang melibatkan 517 pusat undian.

“Kami juga menyediakan sebanyak dua buah helikopter yang akan digunakan di Parlimen Gua Musang  bagi memudah urusan undian undi dilakukan,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Sebelum itu, beliau merasmikan Taklimat Kemudahan Mengundi Melalui Pos Kepada Pekerja Media Bagi PRU-13 Negeri Kelantan.

Sementara itu, mengulas mengenai undi pos di kalangan media yang baru diperkenalkan tahun ini hasil daripada syor Jawatankuasa Pilihan Khas Berhubung Dengan Penambahbaikan Proses Pilihan Raya agar pekerja media diberi kemudahan mengundi melalui pos.

Beliau berkata, dengan kemudahan dan kelonggaran tersebut diharap pengamal media dapat menggunakan peluang yang ada sebaik mungkin.

“Pihak berkenaan boleh berbuat demikian dengan menggunakan Borang 1A yang akan diserahkan kepada agensi media atau dengan muat turun daripada laman sesawang SPR,” katanya.

Mohamad berkata, borang yang lengkap diisi boleh dihantar bermula pada tarikh pembubaran Parlimen atau mana-mana Dun sehingga hari kedua selepas hari penamaan calon bagi pilihan raya umum.

0 comments:

Post a Comment