Wednesday 5 March 2014

Demo bantah k'jaan Kelantan esok


  • | 2:53PM Mac 5 2014
  • Sekumpulan aktivis pro Pakatan Rakyat akan mengadakan demonstrasi terhadap kerajaan negeri Kelantan bawah pentadbiran baru yang didakwa tidak efektif dan membazir wang rakyat.

    Kumpulan yang menggelarkan diri mereka Aktivis Setia Kelantan (SETIA) akan berhimpun di hadapan bangunan Setiausaha Kerajaan (SUK) pada jam 9 pagi esok sempena persidangan DUN.

    “Lawatan ke luar negara (oleh) kelompok tertentu dalam kerajaan negeri Kelantan yang terlalu kerap, kurang bermanfaat dan membazirkan wang rakyat dalam keadaan negeri Kelantan kekurangan sumber kewangan,” menurut kenyataan SETIA.

    Mereka juga membangkitkan kegagalan projek-projek terbengkalai yang melibatkan rakyat seperti, projek di Stadium Bukit Merbau, Lebuh Raya Rakyat dan Perumahan Rakyat Pasir Mas.

    SETIA turut membangkitkan dakwaan krisis dalaman PAS-PKR di Kelantan serta pemecatan kakitangan kerajaan dan syarikat kerajaan negeri (GLS) yang didakwa dibuat sesuka hati.

    Dalam kenyataan hari ini, SETIA turut menolak dakwaan pro-BN atau Umno.

    Malah, menurut kenyataan itu lagi, mereka sebenarnya dibarisi oleh majoriti ahli parti-parti dalam Pakatan.

    SETIA juga menjelaskan mengambil tindakan itu kerana tidak mahu imej kerajaan negeri yang terbina selepas lebih 20 tahun pemerintahan Datuk Seri Nik Aziz Nik Mat (kiri) tidak tercalar.

    "Aktivis Setia Kelantan berpendirian bahawa, untuk membina sebuah kerajaan yang mantap dan berkredibiliti, teguran demi teguran harus dibuat bagi mengelakkan dari pihak musuh mengambil kesempatan di akhir masa ketika tiba pilihan raya," kata kenyataan itu.

0 comments:

Post a Comment