PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Jabatan Audit Negara akan memanggil sesiapa sahaja termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak jika diperlukan semasa proses pengauditan syarikat 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang berkata selain itu, bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB juga mungkin dipanggil untuk mendapatkan maklumat bagi membolehkan laporan mengenai syarikat itu dilengkapkan.

Menurutnya, Jabatan Audit Negara telah memulakan proses pengauditan 1MDB sebaik sahaja menerima arahan daripada Najib, minggu lalu.

Katanya, jabatan itu akan memberi keutamaan kepada audit 1MDB supaya ia dapat dilaksanakan dengan secepat mungkin.

“Beri kami masa dan biar kami buat kerja dengan senyap kerana kami amat prihatin terhadap kualiti serta ketepatan untuk melaksanakan pengauditan syarikat pembangunan strategik milik penuh kerajaan itu secara bebas dan profesional," katanya pada sidang akhbar berhubung pengauditan akaun 1MDB, semalam.

Ambrin turut memberitahu, beliau baru sahaja berjumpa dengan Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy yang menyatakan komitmennya untuk memberi kerjasama penuh kepada Jabatan Audit Negara.

Menurut Ambrin, Jabatan Audit Negara akan memberi fokus kepada semua akaun semasa 1MDB termasuk akaun sebelum ini dan apa sahaja dokumen yang relevan.

Beliau berkata, Jabatan Audit Negara mungkin membawa pegawai audit dari organisasi luar sekiranya diperlukan untuk proses pengauditan ini.

"Setakat ini, saya tidak tahu bila ia akan berakhir dan bila laporan ini dapat dikemukakan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC)," katanya apabila ditanya berhubung tempoh yang diperlukan untuk melengkapkan laporan akuan 1MDB.

Minggu lalu, Najib mengarahkan Jabatan Akauntan Negara untuk mengaudit akaun-akaun 1MDB sebelum laporan itu diserahkan untuk diperiksa secara telus oleh PAC.