Monday 18 January 2016

DAP akui minat calon Melayu tanding di kerusi boleh menang



Lim Guan Eng mengakui DAP berminat calon Melayu mewakili parti itu bertanding di Selangor terutama di kerusi yang DAP mempunyai peluang menang.

Setiausaha Agung DAP itu berkata, langkah itu bertujuan bagi menunjukkan keyakinan kepada ahli-ahli Melayu parti itu.

Beliau juga membayangkan DAP akan bertanding beberapa kerusi PAS.

Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata, DAP hanya akan bertanding di kerusi PAS jika melihat ada potensi untuk mereka mendapat sokongan Melayu luar Bandar.

“DAP tidak akan bertanding di semua kerusi PAS. Kita hanya bertanding di kerusi yang kita rasa pemimpin Melayu mampu untuk menyerlahkan diri mereka,” katanya di Subang Jaya, Ahad.

Sebelum ini, DAP membayangkan parti itu akan meletakkan calon di lapan kerusi yang ditandingi PAS Selangor.

Bulan lalu DAP melantik Young Syefura Othman sebagai penyelaras bagi kerusi Dusun Tua di Hulu Langat, manakala Edry Faizal Edry Yusof untuk Taman Templer.

Dua kerusi itu kini dimenangi PAS.

Dalam pilihan raya umum lalu PAS meletakkan 20 calon di Selangor dan memenangi 15 daripadanya.

Bagaimanapun dua daripada mereka kini menjadi anggota Parti Amanah Negara (AMANAH).

Mengenai cadangan PAS bertanding lebih banyak kerusi pada PRU 14, Guan Eng berkata, itu hak PAS dan terpulang kepada parti itu sekiranya mahu bertanding semua kerusi DAP.

Semalam, Ketua Dewan Ulama PAS Datuk Mahfodz Mohamed berkata, PAS tidak lagi terikat dengan konsensus Pakatan Rakyat (PR) dan berhak bertanding di semua kerusi yang ditandingi DAP dan AMANAH.

Mahfodz berkata, PAS nekad bertanding 3 penjuru berdepan DAP dan AMANAH pada PRU14 selepas parti itu “ditendang” daripada PR tahun lalu.

Monday 11 January 2016

Optimumkan Perbelanjaan Kerajaan - Najib



PUTRAJAYA, 11 Jan (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mahu anggota pentadbiran dan penjawat awam melaksanakan langkah pengoptimumkan perbelanjaan dan bukan mengenakan pendekatan jimat cermat dalam pentadbiran pada tahun ini.

Dalam amanatnya pada perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri (JPM) yang pertama bagi 2016, di sini hari ini, Najib juga mahu penjawat awam menggunakan daya fikiran kreatif dan inovatif untuk meningkatkan produktiviti.

Beliau menegaskan dua perkara tersebut perlu menjadi tumpuan utama dalam pentadbiran kerajaan pada tahun ini bagi menangani faktor luaran yang tidak dapat dikawal oleh Malaysia.

"Mengoptimumkan perbelanjaan tidak bermaksud sebagai langkah 'austerity' (jimat cermat) potong sana potong sini, tetapi kita melihat bagaimana setiap ringgit yang akan dibelanjakan boleh mendatangkan hasil dan kesan yang paling besar.

"Selain itu, kita boleh tambah lagi usaha kita bukan bermaksud kerja keras sahaja, tetapi menggunakan minda kita berfikir secara kreatif dan inovatif untuk meningkatkan produktiviti. Saya selalu tekankan 'give me solution' (beri saya penyelesaian)," katanya.

Turut hadir pada perhimpunan itu ialah menteri dan timbalan menteri di JPM; Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa; Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal dan warga JPM.