• Mohamad SabuMohamad Sabu
 1 / 1 
SHAH ALAM - Tindakan Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu mengkritik Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam satu ceramah telah menunjukkan pendirian sebenar beliau dengan tidak menyokong kepimpinan presiden parti itu.

Demikian kata Pengarah Operasi Pusat Penyelidikan Pas, Dr Mohd Zuhdi Marsuki ketika diminta mengulas berhubung tindakan Mohamad mempertikaikan kemampuan Abdul Hadi untuk menawan Terengganu di dalam ucapannya di Tumpat, malam Jumaat lalu.

Beliau mendakwa, wujud pihak cuba memburuk-burukkan sesama sendiri menjelang Muktamar Tahunan Pas tahun ini.

"Sepertimana yang pernah saya utarakan sebelum ini, semakin hampir Muktamar Pas, dua pertiga bongkah ais Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (Pasma) semakin muncul.

"Sebelum ini hanya satu pertiga sahaja muncul melalui Presiden Pasma, Datuk Ir Pahrolrazi Zawawi. Mohammad ini rapat dengan Pahrolrazi, justeru kenyataan dia (Mohamad) yang terbaru ini membenarkan jangkaan saya sebelum ini," katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Mohd Zuhdi dalam satu kenyataan sebelum ini mendakwa Pasma sedang berusaha menguasai Pas dengan cuba menyusun barisan pemimpin dan direalisasikan melalui muktamar tahun ini.

Katanya, sekiranya Pasma gagal dalam percaturan mereka kemungkinan Pasma akan menjadi sebuah parti dan bakal menggantikan Pas dalam PR.

Mengulas lanjut, Mohd Zuhdi berkata, analisis Mohamad mengenai kemenangan dan kekalahan Pas di Terengganu sangat simplistik dan tidak menyeluruh.

"Dia (Mohamad) hanya melihat pilihan raya ini sebagai peluang untuk berkuasa, bukan untuk tujuan lain seperti peluang berdakwah menyampaikan mesej Islam dan mengutarakan pembelaan terhadap masyarakat," katanya.

Mohd Zuhdi turut mendakwa pandangan Mohamad terhadap politik di negara ini hanya terarah kepada dua parti utama iaitu BN dan PR.

"Beliau hanya melihat dengan dua wajah, jika tidak hitam mesti putih, jika tidak putih mesti hitam. Sedangkan dalam dunia politik, ruang kelabu yang berada antara hitam dan putih itu adalah yang paling luas.

Apa yang perlu dilakukan oleh Pas adalah mengambil peluang dan memanfaatkannya," jelasnya lagi.