Tuesday 17 February 2015

Pengalaman urus jenazah Tok Guru

Pengalaman urus jenazah Tok Guru
KOTA BHARU - Walaupun lebih 10 tahun berkhidmat bersama Jabatan Amal (Unit Amal Pas), namun pengalaman bertugas pada hari pengebumian jenazah Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat adalah kenangan paling berharga dan tidak akan dilupakan.

Nik Aziz Isa, 40, yang berasal dari Pasir Mas, antara yang hadir membantu Jumaat lalu, walaupun terpaksa berdepan lautan manusia di pekarangan kediaman bekas Menteri Besar Kelantan itu, begitu juga di tanah perkuburan.

“Ia pengalaman paling bermakna. Hari ini (semalam) walaupun tidak seramai Jumaat lalu, namun orang tidak pernah putus, datang dan pergi, dari seluruh pelosok negara di tanah perkuburan ini,” katanya.

Nik Aziz hadir bertugas semalam dengan sukarela di bawah Unit Amal Pas, mengawal kawasan tanah perkuburan di Pulau Melaka bagi memastikan keadaan tidak sesak berikutan masih ramai yang datang mahu berdoa dan membaca surah Yasin di pusara Allahyarham Nik Abdul Aziz.

“Ada yang datang selepas subuh lagi, solat di Masjid Pulau Melaka dan datang ke sini (kubur). Saya jangkakan keadaan bertambah sesak bila tiba musim cuti perayaan Tahun Baru Cina.

“Yang penting, Muslimin dan Muslimat mematuhi sunnah memasuki tanah perkuburan ini, pastikan pakaian tidak menjolok mata dan Muslimat juga perlu mematuhi kawasan larangan sebagaimana yang telah tertera di tiang khemah” katanya.

Sejak semalam, tali panjang diikat antara tiang khemah yang melindungi kubur Allahyarham Nik Abdul Aziz, selain satu papan tanda bertulis 'Perhatian, Wanita Dilarang Melepasi Tali Kuning'  turut dilekatkan di tiang tersebut.

-SINAR

Adik lemas depan mata

Adik lemas depan mata
KUALA KRAI - “Kak, kaki tak sapa (sampai).” Itu jeritan terakhir Mohd Isma Danial Hakim Abd Razak, 11, yang dapat didengari kakak angkatnya, Nurul Izati Shahrul Alam, 20, sebelum kanak-kanak itu tenggelam di Sungai Kelantan berhampiran Aur Duri, petang kelmarin.

Mayat mangsa ditemui kira-kira  10 langkah dari tempat dia hilang kira-kira jam 4.37 petang.

Bagi Nurul Izati, detik terakhir melihat adik angkatnya itu sukar dilupakan, malah sering terbayang di ruang matanya.

Apa tidaknya, arwah sangat rapat dengannya, juga mesra dengan ahli  keluarga yang lain.

Menurutnya, mereka keluar rumah untuk ke sungai pada jam 6 petang dan tiba di lokasi itu 15 minit kemudian.

Kejadian berlaku begitu pantas dan di luar jangkaan kerana saat cemas itu bermula apabila tunangnya, Syed Omar Maule Mohd Nor yang lemas.

Ketika kejadian, dia bersama Syed Omar Maule dan dua anak saudaranya ke sungai tersebut yang terletak tidak jauh dari rumah mereka untuk mandi.

Menurutnya, ketika mandi, tunangnya secara tiba-tiba lemas dan melihatkan keadaan tunangnya tenggelam timbul, arwah tergelak kerana menyangka Syed Omar Maule bergurau.

Nurul Izati berkata, arwah yang melihat Syed Omar Maule benar-benar lemas cuba memberikan bantuan.

“Tetapi keadaan bertukar sebaliknya, adik saya pula mula lemas.

“Saya hulur buluh kepada tunang, dia sambut dan berjaya diselamatkan, kemudian saya hulurkan buluh kepada adik tetapi dia gagal sambut,” katanya sambil menahan sebak.

Menurutnya, ketika kejadian dua pemancing dengan bot, berada tidak jauh dari tempat kejadian. Bagaimanapun, mereka tidak berani untuk menyelam.

Nurul Izati berkata, dia dan keluarga begitu menyayangi arwah dan tidak pernah membezakan dia dan ahli keluarga yang lain.

Katanya, kerana sayangkan arwah mereka sekeluarga tidak membenarkan arwah ke sungai.

“Saya agak terkejut arwah beria-ia hendak menunjukkan tempat mandi dan beritahu kerap ke sungai sejak lepas banjir,” katanya.

Katanya, Mohd Isma Danial Hakim seorang yang sangat rajin dalam pelajaran dan disebabkan kesungguhannya itu, dia berjaya menerima anugerah hujung tahun lalu.

Tambahnya, beberapa hari sebelum kejadian, arwah lebih banyak diam.

“Arwah seorang yang merendah diri apabila berada dalam keluarga kerana mengetahui statusnya sebagai anak angkat.

“Bagi kami dia seperti adik kandung kerana dijaga sejak kecil,” katanya.

Sementara itu, bapanya, Shahrul Alam Jaafar, 52, berkata, hasratnya menghantar arwah belajar di sekolah tahfiz di Tualang tidak kesampaian.

Dia yang pengsan sebaik mengetahui berita menimpa arwah anaknya bagaimanapun redha menerima berita mengejutkan itu.

Dalam pada itu Pegawai Bomba Kanan II, Che Razak Harun berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan itu pada jam  6.47 petang.

Katanya, operasi dimulakan sebaik pihaknya menerima panggilan, hingga jam 1 pagi.

“Operasi melibatkan empat anggota Balai Bomba Kuala Krai pada hari kejadian,” katanya.

Turut serta pada hari kedua operasi ialah Pasukan Penyelam Di Air dari Pengkalan Kubor, Bomba Kuala Krai dan Kota Bharu, polis, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Unit Amal Kuala Krai  dan penduduk  kampung. -SINAR

Padah pukul isteri

Padah pukul isteri
KOTA BHARU - Tindakan agresif seorang pekerja sebuah kilang ais memukul isteri, mengundang padah apabila dia dijel tujuh bulan oleh mahkamah majistret, di sini, semalam.

Tertuduh, Mohd Fais Yusoff, 23, didakwa memukul Nur Afifah Izatiey Abdullah, 21, dengan menggunakan raket elektrik pembunuh nyamuk, botol penyembur serangga dan soket penyambung.

Kejadian berlaku dalam bilik di rumah mereka di Taman Sabariah, Jalan Pengkalan Chepa, di sini, pada jam 3 petang, 20 Disember tahun lalu.

Mereka sebelum itu bertengkar akibat selisih faham dan tertuduh dengan kasar bertindak memukul mangsa sehingga menyebabkan wanita itu cedera dan kesakitan.

Pada prosiding semalam, tertuduh merayu hukumannya diringankan dengan alasan telah insaf atas kesalahan dilakukan, namun Pegawai Pendakwa, Inspektor Mohd Fazlie Zulkufli memohon mahkamah mempertimbangkan kepentingan awam melebihi tertuduh.

Majistret, Mohd Firdaus Zainal Abidin memutuskan hukuman tersebut berkuat kuasa daripada tarikh tertuduh ditahan. -SINAR

Penjaga tempat letak kereta dijel lapan bulan

Penjaga tempat letak kereta dijel lapan bulan
KOTA BHARU - Seorang penjaga tempat letak kereta dihukum penjara lapan bulan oleh mahkamah majistret, di sini, semalam selepas mengaku salah atas tuduhan menceroboh sebuah kedai di Wakaf Che Yeh, di sini.

Tertuduh, Airi Affandi Abdullah, 28, tertangkap ketika tidur di dalam kedai berkenaan pada jam 1.50 petang, 30 Oktober tahun lalu.

Pada prosiding semalam, tertuduh mengaku salah menceroboh kedai milik Ilyasak Zakaria, 35, di pasar borong berkenaan.

Kejadian disedari pemilik kedai itu apabila pulang ke kedai berkenaan, dia mendapati tertuduh tidur di dalamnya.

Ketika menyedari kehadiran pengadu, tertuduh cuba melarikan diri, namun berjaya ditangkap dan pemeriksaan mendapati tertuduh masuk melalui pintu belakang yang dikopak.

Dalam perkembangan sama, tertuduh juga dihukum penjara dua bulan serentak dengan hukuman pertama berikutan kesalahan gagal mengemukakan kad pengenalan ketika pemeriksaan polis.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Mohd Fazlie Zulkifli di hadapan Majistret, Mohd Firdaus Zainal Abidin. -SINAR

Monday 16 February 2015

MT anggap Nurul Izzah reka cerita

MT anggap Nurul Izzah reka cerita
  • Sidang Media Pelancaran Kempen "March To Freedom" di rumah kediaman Datuk Seri Anwar Ibrahim, Bukit Segambut, Segambut Dalam pada 11 Febuari 2015. - Foto Sinar Harian oleh SHARIFUDIN ABDUL RAHIMSidang Media Pelancaran Kempen "March To Freedom" di rumah kediaman Datuk Seri Anwar Ibrahim, Bukit Segambut, Segambut Dalam pada 11 Febuari 2015. - Foto Sinar Harian oleh SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
 1 / 1 
SHAH ALAM - Rakyat sudah pun jemu dengan sikap pembangkang yang tidak habis-habis menaburkan cerita bohong.

Demikian reaksi Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Hasan Malek semasa mengulas dakwaan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pernah menawarkan Datuk Seri Anwar Ibrahim jawatan timbalan perdana menteri selepas PRU13 lalu.

“Cukup-cukuplah berbohong dengan cerita-cerita yang tidak betul. Berapa kali nak tipu rakyat lagi.

“Saya sendiri sudah jemu dengan cerita-cerita mereka,” katanya kepada Sinar Harian.

Hasan, yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, menasihati rakyat supaya tidak mudah terpengaruh dengan cerita seperti itu.
“Rakyat tidak perlu layan dengan cerita-cerita sebegini, jangan mudah tertipu dengan mereka.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan pembangkang supaya tidak menjadikan rakyat sebagai alat.

“Jangan tipu rakyat, cukuplah mereka tertipu sejak dulu lagi dengan pelbagai cerita,” kata beliau.

Sementara itu, Datuk Sohaimi Shahadan berkata, kenyataan itu hanya retorik politik kerana bagi pendapatnya, mustahil Najib bertindak sedemikian.

“Tindakan Nurul Izzah ini hanya untuk menarik perhatian rakyat dengan meraih simpati membuat pelbagai dakwaan.

“Beliau perlu tahu negara kita ditadbir secara demokrasi. Jadi tidak perlu sehingga membuat dakwaan sedemikian,” katanya.

Kata beliau, tindakan Nurul Izzah itu memberikan imej buruk kepada Najib yang terheret sama dengan dakwaannya.

“Walau apa pun yang dibuat Nurul Izzah, tidak akan ubah hukuman penjara ke atas bapanya.

“Saya berharap rakyat jangan terpengaruh kerana kerajaan mempunyai banyak agenda lain untuk membangunkan negara,” ujarnya.

Seorang lagi Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menyifatkan dakwaan Nurul Izzah itu sebagai cerita bohong.

“Tiada sebab untuk (Najib) menawarkan Anwar jadi timbalan perdana menteri.

“Selepas PRU13, kita tahu banyak cerita bohong disebarnya, antaranya 40,000 pengundi Bangladesh dan tuduhan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak telus,” kata beliau.

Katanya, Nurul Izzah sengaja mahu mereka-reka cerita baharu kerana Anwar gagal dalam rayuan kes liwatnya di mahkamah.

Nurul Izzah, dalam ceramahnya di Seberang Jaya, Pulau Pinang, malam kelmarin mendakwa Najib menawarkan jawatan timbalan perdana menteri kepada Anwar selepas pembangkang meraih 52 peratus undi popular dalam PRU13, namun Anwar menolak tawaran itu.

Taktik sorok air ketum terbongkar

Rohaimi (tengah) menunjukkan hasil rampasan air ketum selepas sidang media di IPD Kota Bharu, semalam.
KOTA BHARU - Tindakan licik seorang lelaki menyorokkan bekalan air ketum dalam tong ais yang bergerak aktif menjualnya kepada pelanggannya sejak sebulan lalu, terbongkar.

Aktivitinya itu berjaya dikesan polis dalam serbuan di sebuah rumah tanpa nombor di Bukit China Ketereh, di sini, kira-kira jam 8 malam, Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Kota  Bharu, Asisten Komisioner Rohaimi Md Isa berkata, pemuda berusia 27 tahun itu didapati bergerak aktif menjual bekalan air ketum kepada pelanggan tetapnya di luar beranda rumah dan menggunakan tong tersebut bagi mengisi bungkusan air ketum untuk mengaburi mata pihak berkuasa.

Namun katanya, berdasarkan risikan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota  Bharu, kegiatan lelaki itu akhirnya terbongkar dan suspek berjaya ditahan bersama 32 bungkusan air ketum yang disimpan dalam tong ais tersebut.

"Suspek dipercayai mendapatkan bekalan air ketum yang siap diproses dari Terengganu.

"Berat semua air ketum tersebut dianggarkan 48 liter, dengan nilai RM600 kesemuanya. Ini adalah rampasan yang pertama," katanya.

Rohaimi berkata, suspek ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Dalam operasi bersepadu dijalankan sepanjang seminggu lalu, kita juga berjaya menyelesaikan empat kes termasuk kes ketum, selain kes melibatkan memiliki dan mengedar dadah.

"Kita berjaya memperoleh hasil rampasan bernilai lebih RM50,000 dan rampasan terbabit merupakan satu kejayaan terbesar pihak IPD Kota Bharu sepanjang tahun ini.

“Kita akan teruskan operasi ini yang dijalankan sejak 6  sehingga 21 Februari, bagi mengekang jenayah merangkumi pelbagai sudut melibatkan bahagian narkotik, jenayah dan trafik supaya dapat mencapai sasaran lima peratus pengurangan kadar jenayah di daerah Kota  Bharu,” katanya. -ROSALWANI CHE SOH

Pemuda berdepan tali gantung

Tertuduh (dua, kanan) dibawa ke mahkamah untuk dituduh, semalam.
KOTA BHARU - Seorang pemuda berusia 26 tahun berdepan hukuman mati mandatori selepas dituduh atas dakwaan mengedar 360 gram metamphetamine di mahkamah majistret, di sini, semalam.

Muhamad Hafiz Roslan, 26, didakwa mengedar dadah di hadapan sebuah kedai di Jalan Pengkalan Chepa, di sini, jam 12.10 tengah malam, 3 Februari lalu.

Dakwaan dijalankan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan. Pada prosiding itu, tiada pengakuan direkodkan.

Majistret, Mohd Firdaus Zainal Abidin menetapkan kes sebutan semula pada 16 April depan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Nurliyana Md Zukri. Tertuduh tidak dibenarkan jamin.

Dia ditahan oleh sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan empat anggota sindiket didalangi pemuda berusia 20-an ditahan polis selepas dipercayai mengedar tiga jenis dadah bernilai RM98,600 di hadapan sebuah kedai runcit Pengkalan Chepa, di sini.

Pemeriksaan terhadap suspek utama berusia 26 tahun menjumpai beg sandang berwarna hitam di atas alas kaki penumpang hadapan dan di dalamnya terdapat 18 paket plastik biru mengandungi 3,564 pil kuda, 300 eramin 5 dan 20 gram syabu. -SINAR

Kereta sewa di Kelantan paling daif

Syed Hamid Albar
KOTA BHARU - Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) menyifatkan kereta sewa di Kelantan antara paling daif.

Pengerusi SPAD, Tan Sri Syed Hamid Albar berkata, ia berlaku ekoran beberapa kekangan dihadapi pengusaha teksi dari segi pendapatan dan kebajikan.

Menurutnya, atas dasar itu SPAD tidak menetapkan jangka hayat atau had sesebuah kereta sewa kerana pihaknya sedia maklum masalah dihadapi.

“Kereta sewa di Kelantan antara paling teruk dan cukup daif, mahu tukar kepada yang baharu bukan murah, tambah pula dengan pengusahanya yang sudah berumur lebih 50 tahun.

“Bila dah berusia, kebanyakan pengusaha kereta sewa persendirian ini susah nak pinjam atau bayar balik pinjaman,” katanya kepada media ketika program misi bantuan banjir fasa 2 di Stesen Persatuan Kebajikan Pemandu-pemandu Teksi dan Kereta Sewa, kelmarin. Turut hadir, Presiden Persatuan Kereta Sewa Kelantan, Ramli Mat Yacob.

Beliau berkata, SPAD ambil langkah proaktif menyelami masalah dihadapi pengusaha kereta sewa dengan bertemu persatuan di setiap negeri.

“Penurunan harga minyak memang beri impak positif dan turut membantu pengusaha kereta sewa tapi tidak sepenuhnya. Kos tayar, insurans dan membaikinya amat mahal bagi kereta berusia lebih 20 tahun,” katanya.

Dalam pada itu, Syed Hamid berkata, pihak juga akan kemukakan setiap aduan daripada persatuan pemandu kereta sewa kepada pihak berkuasa, antaranya mengenai Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang dikenakan jika melakukan pemeriksaan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom).

Ditanya mengenai perkembangan pengangkutan awam, khususnya kereta api yang terjejas banjir, beliau berkata, pegawai SPAD telah meninjau dan membuat laporan berkaitan laluan kereta api yang rosak teruk di Gua Musang dan Kuala Krai.

“Laporan dah dapat daripada pihak SPAD yang selia bahagian landasan, kita akan tengok macam mana nanti untuk baiki bergantung keadaan kerosakannya, untuk pulih sepenuhnya mungkin ambil masa setahun,” katanya. -SINAR

Padah cuba curi tong ikan

Othman dibawa ke mahkamah, semalam.
KOTA BHARU - Padah buat seorang buruh kerana cubaannya mencuri dua tong berisi ikan, dia dihukum penjara lapan bulan oleh mahkamah majistret, di sini, semalam.

Hukuman diputuskan terhadap Othman Hassan,41, selepas dia mengaku salah cuba mencuri tong berisi ikan milik Mohamad Zaki Abdullah, 28, di Blok C, RTC Tunjung, di sini, jam 10 malam, 13 Disember tahun lalu.

Tertuduh ditahan pengadu bersama dua rakannya sebelum diserahkan kepada polis. Perbuatan tertuduh dilihat oleh pemiliknya sendiri apabila dia mengalihkan tong berkenaan dari tempat asal ia diletakkan.

Pada prosiding semalam, tertuduh merayu hukuman diringankan kerana insaf atas perbuatannya,  namun Timbalan Pendakwa Raya negeri, Nurliyana Md Zukri memohon mahkamah memutuskan hukuman setimpal.

“Tertuduh ditangkap sendiri oleh pengadu dan jika dia terlepas, maka pengadu akan mengalami kerugian. Saya mohon mahkamah mempertimbangkan kepentingan awam melebihi kepentingan diri tertuduh,” katanya.

Majistret, Mohd Firdaus Zainal Abidin kemudian memutuskan hukuman itu dan mengarahkannya berkuat kuasa daripada tarikh dia ditahan.

Sementara itu, dalam perkembangan lain di mahkamah sama, seorang peniaga berusia 34 tahun didenda RM4,300 atau tujuh bulan penjara selepas mengaku salah menganjurkan hiburan karaoke di tingkat satu bangunan di Jalan Hilir Market, Kubang Kerian pada jam 11.30 malam, 29 Januari lalu.

Tuduhan terhadap Fadli Muhamed, 34, dibuat mengikut Seksyen 6(1) Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan Kelantan 1998 dan di hukum di bawah Seksyen 6(2) Enakmen yang sama. -SINAR

24 rumah kekal mangsa banjir Tanah Merah dibina

Mustapa
TANAH MERAH, FEB 15 - Pengerusi Jawatankuasa Bersama Bencana Banjir Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed hari ini melancarkan pembinaan rumah untuk mangsa banjir yang kehilangan tempat kediamanan mereka baru-baru ini di Kampung Panjang, Gual Ipoh di sini.  

Mustapa berkata pembinaan sebanyak 24 rumah bertiang setinggi lapan kaki itu dijangka siap dalam tempoh enam minggu dan diharap dapat didiami mereka terbabit sebelum Ramadan depan.

"Keutamaan kini adalah bagi mangsa banjir yang mempunyai hak milik ke atas tanah dan di Kelantan, sebanyak satu pertiga daripada kira-kira 2,600 mangsa yang kehilangan rumah mempunyai milikan tanah sendiri," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran itu.  

Turut hadir anggota Parlimen Tanah Merah Datuk Ikmal Hisham Abd Aziz dan Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan Datuk Makhtar Mustapha.

Kerajaan sebelum ini mengumumkan pembinaan dua jenis model rumah – binaan bertiang dan binaan terletak (tidak bertiang).

Rumah berkenaan bernilai RM48,000 dan mempunyai tiga bilik tidur, ruang makan, ruang tamu, satu tandas dan satu bilik mandi.

Mengulas mengenai mangsa banjir yang tidak mempunyai milikan tanah sendiri, Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata pihaknya telah mengenalpasti beberapa lokasi yang sesuai untuk penempatan mereka.    

"Saya akan bermesyuarat dengan Menteri Besar Kelantan (Datuk Ahmad Yakob) dalam masa terdekat ini untuk lihat tempat-tempat yang dikenalpasti dan kerajaan negeri telah bersetuju," katanya. -Bernama

Thursday 12 February 2015

Masih giat jalankan misi pasca banjir

Sebahagian belia dari Majlis Belia Malaysia bersama Mua’mar (berdiri, enam kanan) bergambar kenangan di hadapan rumah Wan Roazri.
TUMPAT - Majlis Belia Malaysia membantu mangsa banjir di negeri pantai timur dengan memfokuskan bantuan baiki rumah, pendawaian elektrik dan telaga tiub.

Presidennya, Mua’Amar Ghadafi Jamal Jamaludin berkata, mangsa banjir di Kelantan, Terengganu dan Pahang terlibat dalam misi pasca banjir ini.

Menurutnya, misi kali ini seramai 100 belia berkemahiran turun ke Kelantan membantu mangsa banjir membabitkan kerja baik pulih rumah, pendawaian elektrik dan telaga tiub.

“Dalam minggu ini, lapan buah rumah di Kelantan akan dilaksanakan kerja-kerja pendawaian itu melibatkan daerah Tumpat, Pasir Mas, Kuala Krai dan Gua Musang.

“Manakala di Gua Musang pula sebuah rumah dibaik pulih antara rumah yang mendapat perhatian pihak kami, keadaannya amat daif sekali dan ia patut dibantu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melawat sebuah rumah di Kampung Laut yang terlibat dengan kerja-kerja pendawaian elektrik di sini, kelmarin.

Hadir sama, Yang Dipertua Majlis Belia Kelantan, Mohd Syahbuddin Hashim.

Jelas Mua’Amar lagi, sejak banjir penghujung tahun lepas hingga ke hari ini, Majlis Belia Malaysia mengerakkan 10,000 sukarelawan untuk membantu mangsa banjir di negeri yang terjejas.

Menurutnya, belia-belia di seluruh negara dialu-alukan untuk menyemarakkan semangat sukarelawan untuk menyumbang bersama Majlis Belia Negara.

Sementara itu, Wan Roazri Wan Mat, 19, yang terpilih dalam program bantuan pendawaian elektrik berkata, rumahnya masih menggunakan pendawaian elektrik yang lama.

Katanya, ia belum ditukar baru sejak 25 tahun lalu dan keadaan ini boleh mengundang bahaya kepada keluarganya.

“Mujurlah ada bantuan daripada Majlis Belia Malaysia, ia dapat meringankan beban bapa saya untuk membuat pendawaian elektrik semula yang tentunya melibatkan kos yang besar,” katanya.

Menurutnya, bukan sahaja pendawaian elektrik yang uzur tetapi rumahnya tenggelam ketika banjir besar pada Disember lalu. -SINAR

Pemuda dikhuatiri lemas

Anggota bomba turun ke laut untuk operasi menyelamat.
BACHOK - Seorang pekerja warung makan dipercayai lemas ketika mandi bersama rakannya kira-kira jam 5.30 petang semalam.

Muhammad Amirul Asyraf Suzaini, 23, dikatakan datang bersama sepupunya, Che Halim Che Awang, 34, untuk bersiar- siar.

Che Halim berkata, Asyraf kemudiannya bertemu rakannya yang bernama Raqib, 24, di situ dan mengajaknya untuk mandi di pantai.

“Biasa pun kami pernah datang berdua di sini untuk bersiar-siar. Bila tiba di sini tadi kawan dia kebetulan ada datang bersama. Dia ajak kawannya untuk mandi. Saya dah larang kerana ombak besar tapi dia cakap tak apa dia nak mandi sekejap saja.

“Tak lama lepas itu kawan dia datang menangis dan beritahu Asyraf lemas, saya nampak tangannya terkapai-kapai. Saya cuba turun untuk selamatkan dia tetapi gagal kerana ditolak ombak.

“Saya tak tahu dia pandai berenang atau tidak sebab biasanya kalau mandi di sungai berhampiran rumah pun dia mandi di tepi tebing sahaja,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di Pantai Irama semalam.

Katanya, orang ramai yang berada di situ kemudiannya menghubungi polis dan bomba untuk mendapatkan bantuan.

Che Halim berkata, Asyraf berasal dari Batu Pahat, Johor, kini tinggal bersama neneknya, Munah Yaacob, 80, di Kampung Terap, Banggu.

Beliau sebelum ini dikatakan menetap di Batu Pahat dan baru setahun tinggal bersama neneknya di Kelantan.

Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Abdul Hamid Che Ahmad berkata, pihaknya percaya mangsa lemas selepas dihanyutkan ombak besar ketika mandi di tepi pemecah ombak, berdekatan menara Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM ).

Menurutnya, sehingga jam 8.30 malam mangsa masih belum ditemui.

Manakala, misi menyelamat dilakukan anggota Bomba dan Penyelamat Bachok dengan bantuan lima anggota unit skuba.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bachok, Kasyfi Syahmi Ghazali berkata, pihaknya mengerahkan sembilan anggota dari Bachok, tiga anggota sukarelawan dari Bachok dan empat anggota sukarelawan dari Kota Bharu.

“Polis dan JPAM juga terlibat dalam gerakan mencari ini. Ombak terlalu besar menyukarkan operasi menyelamat.

“Keadaan laut masih bergelora dan tidak selamat untuk aktiviti di laut. Buat masa ini saya harap orang ramai menghindari aktiviti seperti ini,” katanya.

-SINAR

Monday 9 February 2015

Ibu terlanggar anak ketika alih kereta


JITRA: Seorang ibu tidak menyangka telah terlanggar anaknya sendiri sewaktu mengalih keretanya di kawasan parkir.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang semalam, ibu mangsa Rasikha Nik Nayan, 47, ingin mengalih keretanya dari kawasan parkir di rumah pengasuh di Kampung Lahar dekat Jitra, Kedah.

Bagaimanapun mangsa, Umairah Salaiman, 3, secara tiba-tiba meluru ke arah hadapan kereta lalu dilanggar ibunya.

Akibat pelanggaran itu, mangsa terperosok ke bawah kereta.


Ketua Polis daerah Kubang Pasu, Superintendan Abd Rahim Abdullah ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

Ketika kejadian, ibu mangsa dilaporkan baru tiba di rumah itu untuk mengambil anak bongsu daripada empat beradik itu dari rumah pengasuh sekembalinya dari tempat kerja di Hospital Jitra.

Ketika itu dia tidak menyedari bahawa dia terlanggar anaknya yang berada di hadapan kereta.

Setelah menyedari terlanggar anaknya, dia terus membawa mangsa ke unit kecemasan Hospital Jitra, namun anaknya disahkan sudah meninggal dunia sebaik tiba.

Abd Rahim berkata, ibu mangsa yang masih trauma bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan selepas keterangannya diambil.

Jenazah kanak-kanak itu kemudian dituntut selepas bedah siasat dan dikebumikan di tanah perkuburan Islam di Kampung Lahar kira-kira jam 11 malam tadi.

Kes disiasat mengikut seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan cuai sehingga menyebabkan kematian. -AWANI

Dituduh ceroboh kedai ketika banjir


KOTA BHARU - Seorang kanak-kanak berusia 12 tahun mengaku salah atas tuduhan menceroboh sebuah kedai komputer bersama abangnya di Jalan Parit Dalam, di sini, ketika banjir, baru-baru ini.

Kanak-kanak berkenaan bersama abangnya yang berusia 16 tahun didakwa menceroboh premis milik Nur Zayani Awang, 36, antara jam 10 dan 11 malam, 28 Disember tahun lalu.

Dakwaan kedua-duanya dijalankan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Nurliyana Md Zukri di hadapan Majistret, Mohd Firdaus Zainal Abidin.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan kerana menceroboh dan hukuman berdasarkan Akta Kanak-kanak 2001, jika sabit kesalahan.

Selain kanak-kanak itu, abangnya turut mengaku bersalah. Mahkamah bagaimanapun menetapkan tarikh sebutan semula sementara menunggu laporan akhlak kedua-duanya.

Hadir ke mahkamah semalam, ibu bapa kanak-kanak terbabit. Mereka dibenarkan diikat jamin RM500 setiap seorang. Kes bersambung 10 Mac depan. -SINAR

Buru 'Nuar Ayam' dan 2 suspek


KOTA BHARU - Polis masih memburu suspek yang dikenali sebagai ‘Nuar Ayam’ bersama dua lagi rakan yang terlibat dalam kes tembak seorang peniaga bersama anaknya di sebuah kedai peralatan Binaan di Beris Lalang, Bachok, Khamis lalu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim berkata, siasatan kes terbabit turut memantau rakaman kamera litar tertutup yang diperolehi dari kedai itu bagi mengenal pasti kesemua suspek.
“Kita percaya semua suspek itu merupakan rakyat tempatan berdasarkan dialek Kelantan yang digunakan.
“Dipercayai juga suspek masih lagi berada dalam negeri ini dan gerakan mengesan kesemua mereka yang terlibat giat dijalankan,” katanya kepada media selepas melawat  anak mangsa, Ainul Wahida Mustafa, 18, yang mengalami kecederaan di paha dan kini ditempatkan di wad Hospital Universiti Sains Malaysia Kubang Kerian semalam.
Mazlan berkata, melalui siasatan yang dijalankan, kejadian dipercayai bermotifkan samun kerana suspek terus masuk ke kedai dan meminta wang namun tidak berpuas hati kerana hanya memperoleh RM1,000.
“Suspek terus ugut mangsa dan akibat tindakan isteri mangsa yang menarik topeng muka yang dipakai salah seorang suspek maka, suspek melepaskan tiga das tembakan dengan dua terkena pada suaminya di perut dan lutut kanan yang menyebabkan kematiannya dan sedas lagi terkena pada paha anak,” katanya. -SINAR

Monday 2 February 2015

Tolak pilihanraya PBT bukan pendapatperibadi Hadi
  • Nik Mohamad Abduh Nik Abdul AzizNik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz
 1 / 1 
SHAH ALAM - Keputusan Pas menolak pilihanraya pihak berkuasa tempatan (PBT) di Pulau Pinang bukan pendirian peribadi Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebaliknya ia pendirian rasmi parti.

Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berpendapat, amat malang sekiranya perkara itu tidak difahami oleh pimpinan Pas sendiri.

“Pas sejak lama menolak pilihan raya PBT. Ia bukan pendirian peribadi presiden Pas. Jika ada yang menganggapnya sebagai pendapat peribadi dan bukan pendirian rasmi parti, maka ia adalah salah dan amat malang jika ia tidak difahami oleh pemimpin Pas sendiri.

“Demokrasi jangan ditafsirkan sebagai jalan menuju keadilan melalui pilihan raya semata-mata atau menganggap ketidakadilan hanya boleh dihapuskan melalui pilihan raya semata-mata,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: [ DAP ulangi kesilapan 13 Mei, kata Hadi]

Mengulas lanjut, beliau menyebut bahawa Pas memahami demokrasi dalam kerangka pandangan Islam yang lebih adil.

“Ia mensasar (untuk) mencapai keadilan, bukan merajakan jalan-jalan menuju keadilan yang boleh berubah-berubah dan diikat dengan syarat dan kesesuaian.

“Negara barat yang mempromosi demokrasi berpilihan raya, negara itulah juga yang menegaskan hak veto untuk mereka sendiri di PBB yang mematikan hak majoriti dalam memutuskan keputusan,” katanya lagi.

Katanya, ia jelas zalim. Jika pilihan raya ditolak dengan tujuan melihat kepada jalan keadilan yang lebih baik daripadanya, maka ia adalah lebih utama untuk diterima.

Beliau turut menyentuh mengenai sistem beraja di negara ini yang dikaitkan dengan sistem keadilan.

“Keadilan dicapai pada zaman Rasulullah. Ia dicapai pada zaman sistem khilafah. Ia juga dicapai pada zaman beraja seperti zaman Umar Abdul Aziz dan raja-raja selepasnya. Ia juga dicapai dalam sistem demokrasi hari ini yang dicedok asalnya daripada sistem syura Islam yang adil di sepanjang zaman.

“Anda perhatikan, adakah negara kita perlu menukar sistem beraja demi mencapai keadilan dengan alasan dengan adanya raja, maka keadilan akan terbantut selamanya?

“Jika begitu, kita sudah terlalu jauh merajakan demokrasi dan pilihan raya. Islam menolaknya,” katanya.