Thursday, 12 February 2015

Pemuda dikhuatiri lemas

Anggota bomba turun ke laut untuk operasi menyelamat.
BACHOK - Seorang pekerja warung makan dipercayai lemas ketika mandi bersama rakannya kira-kira jam 5.30 petang semalam.

Muhammad Amirul Asyraf Suzaini, 23, dikatakan datang bersama sepupunya, Che Halim Che Awang, 34, untuk bersiar- siar.

Che Halim berkata, Asyraf kemudiannya bertemu rakannya yang bernama Raqib, 24, di situ dan mengajaknya untuk mandi di pantai.

“Biasa pun kami pernah datang berdua di sini untuk bersiar-siar. Bila tiba di sini tadi kawan dia kebetulan ada datang bersama. Dia ajak kawannya untuk mandi. Saya dah larang kerana ombak besar tapi dia cakap tak apa dia nak mandi sekejap saja.

“Tak lama lepas itu kawan dia datang menangis dan beritahu Asyraf lemas, saya nampak tangannya terkapai-kapai. Saya cuba turun untuk selamatkan dia tetapi gagal kerana ditolak ombak.

“Saya tak tahu dia pandai berenang atau tidak sebab biasanya kalau mandi di sungai berhampiran rumah pun dia mandi di tepi tebing sahaja,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di Pantai Irama semalam.

Katanya, orang ramai yang berada di situ kemudiannya menghubungi polis dan bomba untuk mendapatkan bantuan.

Che Halim berkata, Asyraf berasal dari Batu Pahat, Johor, kini tinggal bersama neneknya, Munah Yaacob, 80, di Kampung Terap, Banggu.

Beliau sebelum ini dikatakan menetap di Batu Pahat dan baru setahun tinggal bersama neneknya di Kelantan.

Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Abdul Hamid Che Ahmad berkata, pihaknya percaya mangsa lemas selepas dihanyutkan ombak besar ketika mandi di tepi pemecah ombak, berdekatan menara Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM ).

Menurutnya, sehingga jam 8.30 malam mangsa masih belum ditemui.

Manakala, misi menyelamat dilakukan anggota Bomba dan Penyelamat Bachok dengan bantuan lima anggota unit skuba.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bachok, Kasyfi Syahmi Ghazali berkata, pihaknya mengerahkan sembilan anggota dari Bachok, tiga anggota sukarelawan dari Bachok dan empat anggota sukarelawan dari Kota Bharu.

“Polis dan JPAM juga terlibat dalam gerakan mencari ini. Ombak terlalu besar menyukarkan operasi menyelamat.

“Keadaan laut masih bergelora dan tidak selamat untuk aktiviti di laut. Buat masa ini saya harap orang ramai menghindari aktiviti seperti ini,” katanya.

-SINAR

0 comments:

Post a Comment