Thursday, 12 February 2015

Masih giat jalankan misi pasca banjir

Sebahagian belia dari Majlis Belia Malaysia bersama Mua’mar (berdiri, enam kanan) bergambar kenangan di hadapan rumah Wan Roazri.
TUMPAT - Majlis Belia Malaysia membantu mangsa banjir di negeri pantai timur dengan memfokuskan bantuan baiki rumah, pendawaian elektrik dan telaga tiub.

Presidennya, Mua’Amar Ghadafi Jamal Jamaludin berkata, mangsa banjir di Kelantan, Terengganu dan Pahang terlibat dalam misi pasca banjir ini.

Menurutnya, misi kali ini seramai 100 belia berkemahiran turun ke Kelantan membantu mangsa banjir membabitkan kerja baik pulih rumah, pendawaian elektrik dan telaga tiub.

“Dalam minggu ini, lapan buah rumah di Kelantan akan dilaksanakan kerja-kerja pendawaian itu melibatkan daerah Tumpat, Pasir Mas, Kuala Krai dan Gua Musang.

“Manakala di Gua Musang pula sebuah rumah dibaik pulih antara rumah yang mendapat perhatian pihak kami, keadaannya amat daif sekali dan ia patut dibantu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melawat sebuah rumah di Kampung Laut yang terlibat dengan kerja-kerja pendawaian elektrik di sini, kelmarin.

Hadir sama, Yang Dipertua Majlis Belia Kelantan, Mohd Syahbuddin Hashim.

Jelas Mua’Amar lagi, sejak banjir penghujung tahun lepas hingga ke hari ini, Majlis Belia Malaysia mengerakkan 10,000 sukarelawan untuk membantu mangsa banjir di negeri yang terjejas.

Menurutnya, belia-belia di seluruh negara dialu-alukan untuk menyemarakkan semangat sukarelawan untuk menyumbang bersama Majlis Belia Negara.

Sementara itu, Wan Roazri Wan Mat, 19, yang terpilih dalam program bantuan pendawaian elektrik berkata, rumahnya masih menggunakan pendawaian elektrik yang lama.

Katanya, ia belum ditukar baru sejak 25 tahun lalu dan keadaan ini boleh mengundang bahaya kepada keluarganya.

“Mujurlah ada bantuan daripada Majlis Belia Malaysia, ia dapat meringankan beban bapa saya untuk membuat pendawaian elektrik semula yang tentunya melibatkan kos yang besar,” katanya.

Menurutnya, bukan sahaja pendawaian elektrik yang uzur tetapi rumahnya tenggelam ketika banjir besar pada Disember lalu. -SINAR

0 comments:

Post a Comment