Tuesday, 17 February 2015

Adik lemas depan mata

Adik lemas depan mata
KUALA KRAI - “Kak, kaki tak sapa (sampai).” Itu jeritan terakhir Mohd Isma Danial Hakim Abd Razak, 11, yang dapat didengari kakak angkatnya, Nurul Izati Shahrul Alam, 20, sebelum kanak-kanak itu tenggelam di Sungai Kelantan berhampiran Aur Duri, petang kelmarin.

Mayat mangsa ditemui kira-kira  10 langkah dari tempat dia hilang kira-kira jam 4.37 petang.

Bagi Nurul Izati, detik terakhir melihat adik angkatnya itu sukar dilupakan, malah sering terbayang di ruang matanya.

Apa tidaknya, arwah sangat rapat dengannya, juga mesra dengan ahli  keluarga yang lain.

Menurutnya, mereka keluar rumah untuk ke sungai pada jam 6 petang dan tiba di lokasi itu 15 minit kemudian.

Kejadian berlaku begitu pantas dan di luar jangkaan kerana saat cemas itu bermula apabila tunangnya, Syed Omar Maule Mohd Nor yang lemas.

Ketika kejadian, dia bersama Syed Omar Maule dan dua anak saudaranya ke sungai tersebut yang terletak tidak jauh dari rumah mereka untuk mandi.

Menurutnya, ketika mandi, tunangnya secara tiba-tiba lemas dan melihatkan keadaan tunangnya tenggelam timbul, arwah tergelak kerana menyangka Syed Omar Maule bergurau.

Nurul Izati berkata, arwah yang melihat Syed Omar Maule benar-benar lemas cuba memberikan bantuan.

“Tetapi keadaan bertukar sebaliknya, adik saya pula mula lemas.

“Saya hulur buluh kepada tunang, dia sambut dan berjaya diselamatkan, kemudian saya hulurkan buluh kepada adik tetapi dia gagal sambut,” katanya sambil menahan sebak.

Menurutnya, ketika kejadian dua pemancing dengan bot, berada tidak jauh dari tempat kejadian. Bagaimanapun, mereka tidak berani untuk menyelam.

Nurul Izati berkata, dia dan keluarga begitu menyayangi arwah dan tidak pernah membezakan dia dan ahli keluarga yang lain.

Katanya, kerana sayangkan arwah mereka sekeluarga tidak membenarkan arwah ke sungai.

“Saya agak terkejut arwah beria-ia hendak menunjukkan tempat mandi dan beritahu kerap ke sungai sejak lepas banjir,” katanya.

Katanya, Mohd Isma Danial Hakim seorang yang sangat rajin dalam pelajaran dan disebabkan kesungguhannya itu, dia berjaya menerima anugerah hujung tahun lalu.

Tambahnya, beberapa hari sebelum kejadian, arwah lebih banyak diam.

“Arwah seorang yang merendah diri apabila berada dalam keluarga kerana mengetahui statusnya sebagai anak angkat.

“Bagi kami dia seperti adik kandung kerana dijaga sejak kecil,” katanya.

Sementara itu, bapanya, Shahrul Alam Jaafar, 52, berkata, hasratnya menghantar arwah belajar di sekolah tahfiz di Tualang tidak kesampaian.

Dia yang pengsan sebaik mengetahui berita menimpa arwah anaknya bagaimanapun redha menerima berita mengejutkan itu.

Dalam pada itu Pegawai Bomba Kanan II, Che Razak Harun berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan itu pada jam  6.47 petang.

Katanya, operasi dimulakan sebaik pihaknya menerima panggilan, hingga jam 1 pagi.

“Operasi melibatkan empat anggota Balai Bomba Kuala Krai pada hari kejadian,” katanya.

Turut serta pada hari kedua operasi ialah Pasukan Penyelam Di Air dari Pengkalan Kubor, Bomba Kuala Krai dan Kota Bharu, polis, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Unit Amal Kuala Krai  dan penduduk  kampung. -SINAR

0 comments:

Post a Comment