Monday, 9 February 2015
Buru 'Nuar Ayam' dan 2 suspek
12:42
No comments
KOTA BHARU - Polis masih memburu suspek yang dikenali sebagai ‘Nuar Ayam’ bersama dua lagi rakan yang terlibat dalam kes tembak seorang peniaga bersama anaknya di sebuah kedai peralatan Binaan di Beris Lalang, Bachok, Khamis lalu.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim berkata, siasatan kes terbabit turut memantau rakaman kamera litar tertutup yang diperolehi dari kedai itu bagi mengenal pasti kesemua suspek.
“Kita percaya semua suspek itu merupakan rakyat tempatan berdasarkan dialek Kelantan yang digunakan.
“Dipercayai juga suspek masih lagi berada dalam negeri ini dan gerakan mengesan kesemua mereka yang terlibat giat dijalankan,” katanya kepada media selepas melawat anak mangsa, Ainul Wahida Mustafa, 18, yang mengalami kecederaan di paha dan kini ditempatkan di wad Hospital Universiti Sains Malaysia Kubang Kerian semalam.
Mazlan berkata, melalui siasatan yang dijalankan, kejadian dipercayai bermotifkan samun kerana suspek terus masuk ke kedai dan meminta wang namun tidak berpuas hati kerana hanya memperoleh RM1,000.
“Suspek terus ugut mangsa dan akibat tindakan isteri mangsa yang menarik topeng muka yang dipakai salah seorang suspek maka, suspek melepaskan tiga das tembakan dengan dua terkena pada suaminya di perut dan lutut kanan yang menyebabkan kematiannya dan sedas lagi terkena pada paha anak,” katanya. -SINAR
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment