Monday 16 February 2015

24 rumah kekal mangsa banjir Tanah Merah dibina

Mustapa
TANAH MERAH, FEB 15 - Pengerusi Jawatankuasa Bersama Bencana Banjir Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed hari ini melancarkan pembinaan rumah untuk mangsa banjir yang kehilangan tempat kediamanan mereka baru-baru ini di Kampung Panjang, Gual Ipoh di sini.  

Mustapa berkata pembinaan sebanyak 24 rumah bertiang setinggi lapan kaki itu dijangka siap dalam tempoh enam minggu dan diharap dapat didiami mereka terbabit sebelum Ramadan depan.

"Keutamaan kini adalah bagi mangsa banjir yang mempunyai hak milik ke atas tanah dan di Kelantan, sebanyak satu pertiga daripada kira-kira 2,600 mangsa yang kehilangan rumah mempunyai milikan tanah sendiri," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran itu.  

Turut hadir anggota Parlimen Tanah Merah Datuk Ikmal Hisham Abd Aziz dan Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan Datuk Makhtar Mustapha.

Kerajaan sebelum ini mengumumkan pembinaan dua jenis model rumah – binaan bertiang dan binaan terletak (tidak bertiang).

Rumah berkenaan bernilai RM48,000 dan mempunyai tiga bilik tidur, ruang makan, ruang tamu, satu tandas dan satu bilik mandi.

Mengulas mengenai mangsa banjir yang tidak mempunyai milikan tanah sendiri, Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata pihaknya telah mengenalpasti beberapa lokasi yang sesuai untuk penempatan mereka.    

"Saya akan bermesyuarat dengan Menteri Besar Kelantan (Datuk Ahmad Yakob) dalam masa terdekat ini untuk lihat tempat-tempat yang dikenalpasti dan kerajaan negeri telah bersetuju," katanya. -Bernama

0 comments:

Post a Comment