Monday, 16 February 2015
Kereta sewa di Kelantan paling daif
10:00
No comments
KOTA BHARU - Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) menyifatkan kereta sewa di Kelantan antara paling daif.
Pengerusi SPAD, Tan Sri Syed Hamid Albar berkata, ia berlaku ekoran beberapa kekangan dihadapi pengusaha teksi dari segi pendapatan dan kebajikan.
Menurutnya, atas dasar itu SPAD tidak menetapkan jangka hayat atau had sesebuah kereta sewa kerana pihaknya sedia maklum masalah dihadapi.
“Kereta sewa di Kelantan antara paling teruk dan cukup daif, mahu tukar kepada yang baharu bukan murah, tambah pula dengan pengusahanya yang sudah berumur lebih 50 tahun.
“Bila dah berusia, kebanyakan pengusaha kereta sewa persendirian ini susah nak pinjam atau bayar balik pinjaman,” katanya kepada media ketika program misi bantuan banjir fasa 2 di Stesen Persatuan Kebajikan Pemandu-pemandu Teksi dan Kereta Sewa, kelmarin. Turut hadir, Presiden Persatuan Kereta Sewa Kelantan, Ramli Mat Yacob.
Beliau berkata, SPAD ambil langkah proaktif menyelami masalah dihadapi pengusaha kereta sewa dengan bertemu persatuan di setiap negeri.
“Penurunan harga minyak memang beri impak positif dan turut membantu pengusaha kereta sewa tapi tidak sepenuhnya. Kos tayar, insurans dan membaikinya amat mahal bagi kereta berusia lebih 20 tahun,” katanya.
Dalam pada itu, Syed Hamid berkata, pihak juga akan kemukakan setiap aduan daripada persatuan pemandu kereta sewa kepada pihak berkuasa, antaranya mengenai Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang dikenakan jika melakukan pemeriksaan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom).
Ditanya mengenai perkembangan pengangkutan awam, khususnya kereta api yang terjejas banjir, beliau berkata, pegawai SPAD telah meninjau dan membuat laporan berkaitan laluan kereta api yang rosak teruk di Gua Musang dan Kuala Krai.
“Laporan dah dapat daripada pihak SPAD yang selia bahagian landasan, kita akan tengok macam mana nanti untuk baiki bergantung keadaan kerosakannya, untuk pulih sepenuhnya mungkin ambil masa setahun,” katanya. -SINAR
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment