• Sidang Media Pelancaran Kempen "March To Freedom" di rumah kediaman Datuk Seri Anwar Ibrahim, Bukit Segambut, Segambut Dalam pada 11 Febuari 2015. - Foto Sinar Harian oleh SHARIFUDIN ABDUL RAHIMSidang Media Pelancaran Kempen "March To Freedom" di rumah kediaman Datuk Seri Anwar Ibrahim, Bukit Segambut, Segambut Dalam pada 11 Febuari 2015. - Foto Sinar Harian oleh SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
 1 / 1 
SHAH ALAM - Rakyat sudah pun jemu dengan sikap pembangkang yang tidak habis-habis menaburkan cerita bohong.

Demikian reaksi Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Hasan Malek semasa mengulas dakwaan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pernah menawarkan Datuk Seri Anwar Ibrahim jawatan timbalan perdana menteri selepas PRU13 lalu.

“Cukup-cukuplah berbohong dengan cerita-cerita yang tidak betul. Berapa kali nak tipu rakyat lagi.

“Saya sendiri sudah jemu dengan cerita-cerita mereka,” katanya kepada Sinar Harian.

Hasan, yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, menasihati rakyat supaya tidak mudah terpengaruh dengan cerita seperti itu.
“Rakyat tidak perlu layan dengan cerita-cerita sebegini, jangan mudah tertipu dengan mereka.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan pembangkang supaya tidak menjadikan rakyat sebagai alat.

“Jangan tipu rakyat, cukuplah mereka tertipu sejak dulu lagi dengan pelbagai cerita,” kata beliau.

Sementara itu, Datuk Sohaimi Shahadan berkata, kenyataan itu hanya retorik politik kerana bagi pendapatnya, mustahil Najib bertindak sedemikian.

“Tindakan Nurul Izzah ini hanya untuk menarik perhatian rakyat dengan meraih simpati membuat pelbagai dakwaan.

“Beliau perlu tahu negara kita ditadbir secara demokrasi. Jadi tidak perlu sehingga membuat dakwaan sedemikian,” katanya.

Kata beliau, tindakan Nurul Izzah itu memberikan imej buruk kepada Najib yang terheret sama dengan dakwaannya.

“Walau apa pun yang dibuat Nurul Izzah, tidak akan ubah hukuman penjara ke atas bapanya.

“Saya berharap rakyat jangan terpengaruh kerana kerajaan mempunyai banyak agenda lain untuk membangunkan negara,” ujarnya.

Seorang lagi Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menyifatkan dakwaan Nurul Izzah itu sebagai cerita bohong.

“Tiada sebab untuk (Najib) menawarkan Anwar jadi timbalan perdana menteri.

“Selepas PRU13, kita tahu banyak cerita bohong disebarnya, antaranya 40,000 pengundi Bangladesh dan tuduhan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak telus,” kata beliau.

Katanya, Nurul Izzah sengaja mahu mereka-reka cerita baharu kerana Anwar gagal dalam rayuan kes liwatnya di mahkamah.

Nurul Izzah, dalam ceramahnya di Seberang Jaya, Pulau Pinang, malam kelmarin mendakwa Najib menawarkan jawatan timbalan perdana menteri kepada Anwar selepas pembangkang meraih 52 peratus undi popular dalam PRU13, namun Anwar menolak tawaran itu.