Sunday 15 November 2015

Husam, sila sumpah talak isteri’, kata Presiden Pas



SHAH ALAM, 15 November: Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mencabar bekas Naib Presiden parti itu, Datuk Husam Musa untuk mengangkat sumpah talak isteri.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kesediaan Husam untuk meneruskan niat mengangkat sumpah talak bagi membuktikan dakwaannya berasas.

“Biar dia sumpah talak…kalau apa yang dia kata betul dan kami berbohong, sila sumpah.

“Dia tiada (dalam mesyuarat), dia di Kelantan, dia tak tahu apa-apa,” katanya di dalam sidang media di program ‘Jelas bersama Presiden’ anjuran Muslimat Pas di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), hari ini.

Jelas Hadi lagi, dakwaan yang dikeluarkan Husam adalah tidak berasas memandangkan pihak Pas tidak pernah membincangkan untuk membentuk kerajaan perpaduan di Selangor bersama Barisan Nasional (BN).

Namun, perkara berkenaan pernah berbangkit pada era 70-an lalu yang mana ianya melibatkan gabungan semua parti yang ada di Malaysia sambil menjelaskan berkenaan rundingan yang pernah berlangsung pada 2008 lalu.

“Dakwaan Husam itu ketinggalan zaman, itu krisis pada tahun 70-an dulu.

“Kalau pada tahun 2008, yang mana ianya gabungan melibatkan semua parti, bukan BN sahaja… Tapi tak jadi sebab ada parti yang tidak setuju.

“Hal ini sudah diputar belit,” jelas Hadi.

Sebelum ini, di dalam sesi dialog program tersebut, Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang menjelaskan siasatan ke atas Husam adalah berkuatkuasa kepada Jawatankuasa Displin parti.

Menurutnya, pihak Pas Pusat hanya akan menunggu laporan penuh dari Pas negeri berkenaan sebelum memutuskan tindakan yang wajar untuk dikenakan kepada ADUN Salor itu.

“Tunggu laporan Pas Kelantan dan satu tindakan akan diambil, sama ada pecat, gantung lucut tugas, (Pas akan) beri nasihat kalau tidak ikut, itu terpulang.

“Kita ada Jawatankuasa Displin, terpulang kepada Pas Kelantan. Sebarang tindakan mestilah ada kepada laporan Pas Pusat,” katanya lagi.

Semalam, Husam menegaskan beliau sanggup bersumpah talak isteri bagi membuktikan dakwaan terdapat usaha untuk menyatukan Pas dengan Umno adalah benar.

Menurut Husam, usaha itu bermula selepas Pilihan Raya Umum ke 12 pada 2008 apabila Hadi dan bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi mengadakan pertemuan di sebuah hotel di Kuala Lumpur.

1 comments:

  1. sampai hri ni tak dengar pun husam brsumpah dlm isu tu....husam...brsumpahlah.

    ReplyDelete