Meskipun sebelum ini tidak mengiktiraf keputusan Pilihanraya Umum ke-13
(PRU 13) dan mengancam mahu memboikot parlimen, namun Ketua Umum PKR,
Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini masih sempat mencalonkan Yang Dipertua
Dewan Rakyat yang baharu yang bakal bersidang pada 24 Jun ini.
Dalam kenyataannya lewat petang ini, Anwar dilaporkan Malaysiakini
mencadangkan Datuk Abdul Kadir Sulaiman sebagai Yang Dipertua Dewan
Rakyat jawatan yang kini dipegang oleh Tan Sri Pandikar Amin Mulia.
“Datuk Abdul Kadir memenuhi semua kriteria yg selayaknya sebagai Yang
Dipertua. Beliau telah menabur bakti kepada negara selama lebih 50 tahun
dalam pelbagai jabatan, kementerian, negeri, suruhanjaya, kehakiman dan
Majlis DiRaja Negeri.
“Satu pemberitahu bersurat mengenai penamaan itu telah dikemukakan
kepada Setiausaha Dewan Rakyat mengikut kehendak Peraturan-peraturan
Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat 4(1).
“Pakatan bertegas bahawa Yang di-Pertua Dewan Rakyat mesti dilantik dari
kalangan seorang yang bebas, berkecuali tanpa parti, berwibawa dan
berkelayakan untuk berkhidmat,” kata Anwar dalam kenyataan itu.
Berkemungkinan besar, langkah mencalon dan melobi speaker baru itu
bermaksud tanda-tanda awal Anwar akan mengiktiraf keputusan PRU 13 dan
bersedia menjadi Ketua Pembangkang parlimen ke-13
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dilaporkan roketkini hari ini
berkata, DAP amat terkejut dengan ugutan Speaker Dewan Rakyat, Pandikar
Amin Mulia yang mahu memboikot parlimen ekoran ahli parlimen pakatan
memboikot majlis taklimat yang dianjurkan pihaknya.
Katanya, mengikut Perkara 59(2) Perlembagaan Persekutuan, mana-mana
wakil rakyat yang gagal mengangkat sumpah dalam masa enam bulan akan
hilang kelayakan secara automatik dan kerusi mereka akan dikosongkan.
“Sangat tidak sesuai bagi seorang Speaker dan beliau tidak ada hak untuk
memboikot mana-mana Ahli Parlimen atau dengan sengaja menyebabkan
seseorang hilang kelayakan dengan memboikot atau enggan menerima angkat
sumpah.
“Saya harap ini hanya gurauan Tan Sri Pandikar, jika tidak pasti timbul
kesangsian yang amat serius terhadap niat dan sikap tidak berpihak
apabila beliau mempengerusikan sidang Parlimen nanti,” katanya dalam
kenyataan media, hari ini.
Guan Eng turut menegaskan, kesemua 38 Ahli Parlimen DAP tidak akan memboikot majlis angkat sumpah Dewan Rakyat tersebut.
Anwar sebelum ini menuduh berlaku ‘penipuan’ PRU 13 sebagai justifikasi dirinya untuk menganjurkan perhimpunan ‘blackout 505′.
Namun apabila dibuktikan kejadian ‘blackout’ tidak wujud, perhimpunan itu ditukar nama kepada ‘black 505.’
Kemudian, Anwar mengusulkan pula pemboikotan parlimen, namun idea itu tidak dipersetujui oleh rakan sekutunya, DAP dan Pas.
Malah Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin turut tidak bersetuju dengan langkah pemboikotan parlimen itu.
“Pada pendapat saya, kita harus menghadiri majlis angkat sumpah kerana
hanya selepas kita mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen, baru kita
boleh berada di dalam Dewan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat
PKR, Rabu.
AIDC