PASIR PUTEH - Kerajaan pusat meluluskan peruntukan RM600,000 untuk projek pembangunan di kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Semerak dan Selising di sini yang dimenangi Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-13.

Anggota Dun Semerak, Zawawi Othman berkata antara projek yang akan dilaksanakan pada tahun ini ialah projek kemudahan asas seperti pembinaan  jalan kampung, projek ekonomi belia, di samping peruntukan bagi mengimarahkan bulan Ramadan dan Hari Raya Aidlifitri.

Peruntukan itu sebagai penghargaan kerajaan pusat kepada pengundi yang mengundi BN di kedua-dua kawasan DUN berkenaan, katanya kepada  pemberita selepas merasmikan program Jabatan Bomba dan Penyelamat bersama masyarakat di Dun Selising di Kampung Lepah di sini, semalam.   

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kelantan, Azmi Osman berkata dalam tempoh Januari sehingga semalam, 444 kebakaran  dilaporkan di seluruh negeri ini membabitkan kerugian harta benda berjumlah RM5.9 juta manakala harta benda bernilai RM1.39 juta pula dapat  diselamatkan.- Bernama