------------------
* Diterima pagi ini melalui kotak emel.

BUKIT MERTAJAM - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sekiranya Mahkamah Persekutuan membuat keputusan tidak memihak kepadanya dalam rayuan beliau bagi sabitan kesalahan liwat, Majlis Presiden PR akan mengadakan mesyuarat tergempar.
Anwar yang juga Ketua Umum PKR itu berkata, mesyuarat itu bertujuan menentukan hala tuju pakatan pembangkang.
"Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng ada mencadangkan pada hari yang andainya saya dijatuhkan hukuman, maka akan diadakan suatu mesyuarat tergempar untuk kita mara ke depan," katanya dalam sidang media selepas majlis perasmian naik taraf jalan Madrasah An-Nahdoh dan projek tebatan banjir Parlimen Permatang Pauh di sini, hari ini.
Anwar yang juga anggota Parlimen Permatang Pauh menganggap keputusan mahkamah yang tidak memihak kepadanya bukan masalah besar bagi pakatan pembangkang kerana mereka sudahpun membincangkan manifesto, agenda dan dasar bersama parti.
"Buat apa nak hukum saya, saya tak salah ...," katanya.
Pada Jumaat lepas, Mahkamah Persekutuan yang habis mendengar rayuan terakhir Anwar bagi sabitan kesalahan liwat dan hukuman penjara lima tahun, menangguhkan keputusannya pada satu tarikh yang akan ditentukan kemudian.
Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria berkata, Mahkamah Persekutuan memerlukan masa untuk meneliti semua hujahan dan nas undang-undang dikemukakan pendakwa raya dan pembelaan sepanjang lapan hari bersidang.
Berikutan itu, beliau yang mempengerusikan panel lima hakim mahkamah berkenaan mengekalkan jaminan RM10,000 yang ditetapkan Mahkamah Rayuan berserta semua syaratnya sehingga keputusan diumumkan.
Dalam rayuan itu, Anwar, 67, memohon kepada Mahkamah Persekutuan mengetepikan sabitan kesalahan dan hukuman yang dikenakan terhadapnya oleh Mahkamah Rayuan pada 7 Mac tahun ini setelah mengubah keputusan Mahkamah Tinggi membebaskan Anwar.
Mahkamah Rayuan mendapati Anwar bersalah meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan, 27, di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara di Jalan Setiakasih, Bukit Damansara antara 3.10 petang dan 4.30 petang 26 Jun 2008.
Tuduhan mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun dan sebatan jika disabitkan kesalahan. - Bernama
KUALA LUMPUR: PAS melahirkan rasa kecewa dengan tindakan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang menyerang Presiden PAS secara terbuka.
Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali berkata, tindakan Guan Eng yang membangkitkan soal ketidakhadiran Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang ke Mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat, merupakan perkara remeh yang tidak perlu diperbesar.
"Perlu diingat, kerjasama dalam konteks tahaluf siyasi adalah antara parti dengan parti, bukan individu dengan individu.
"Jika secara perbandingan, sejak 2008 Guan Eng lebih banyak tak hadir ke mesyuarat PR berbanding Tuan Guru Abdul Hadi. Tetapi itu bukan isu besar," kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily.
Mustafa menjelaskan, setakat ini tidak pernah berlaku sesuatu keputusan tidak dapat dibuat sekalipun kedua-dua mereka tidak hadir ke mesyuarat.
Hakikatnya, setiap wakil parti ujar Mustafa, sentiasa datang ke mesyuarat dan keputusan boleh dibuat tanpa sebarang masalah.
"Antara yang selalu hadir ialah Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar yang mempengerusikan mesyuarat, Lim Kit Siang sebagai wakil DAP dan saya sebagai wakil PAS. Tidak ada masalah," jelasnya.
Menurut Mustafa lagi, pemimpin mana-mana parti dalam Pakatan Rakyat termasuk Guan Eng sepatutnya berpegang kepada etika bahawa tidak boleh campur tangan dalam isu dalaman parti lain.
"Semua parti ada masalah dalaman. Tapi biar masing-masing parti selesaikan sendiri masalah mereka tanpa campur tangan luar.
"PAS sendiri tidak pernah campur tangan isu dalaman DAP. Saya minta Guan Eng hentikan tindakan membangkitkan isu remeh temeh ini," tegas beliau. - HARAKAHDAILY 5/11/2014

KUALA LUMPUR - Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan bahawa beliau sendiri akan memastikan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang hadir pada mesyuarat Majlis Pimpinan PR akan datang.
Bagaimanapun Anwar berkata, beliau akan memberi notis peringatan yang baik supaya pemimpin Pas itu dapat mengambil bahagian dalam setiap mesyuarat bersama antara PKR, DAP dan Pas pada masa akan datang.
"Mungkin selepas ini kita akan beri notis (peringatan) yang baik, mesyuarat seterusnya kita akan pastikan tarikhnya lebih sesuai buatnya, saya pasti dia boleh hadirinya.
"Kita sentiasa berunding dengan pemimpin parti PR untuk menetapkan tarikh supaya sesuai dan selesa kepada mereka," katanya kepada pemberita di pekarangan Dewan Rakyat, di bangunan Parlimen, di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Setiausaha Agung DAP, Lim Guang Eng yang menegur sikap Hadi kerana seringkali tidak hadir pada mesyuarat Majlis Presiden PR dan membelakangkan keputusan yang diputuskan badan itu.
Tanpa berselindung, Guan Eng berkata, agak sukar bagi PR untuk terus beroperasi apabila Pas mempunyai pemimpin yang boleh 'menolak segalanya', termasuk keputusan yang dicapai ketika beliau tidak hadir dalam mesyuarat Majlis Presiden PR sebelum ini.
Ketika ditanya tentang sikap Hadi itu, Anwar bagaimanapun mengesahkan dakwaan Guan Eng itu sambil memberitahu pemimpin Pas itu tidak kerap menghadirinya.
"Saya tidak mahu beri tuduhan negatif kepada Hadi. Jadi dia akan hadir mesyuarat akan datang.
"Saya rasa komunikasi dengan dia tiada masalah," katanya lagi.