Thursday 6 November 2014

Terkini PAS selar Guan Eng


     

 

KUALA LUMPUR: PAS melahirkan rasa kecewa dengan tindakan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang menyerang Presiden PAS secara terbuka.

 

Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali berkata, tindakan Guan Eng yang membangkitkan soal ketidakhadiran Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang ke Mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat, merupakan perkara remeh yang tidak perlu diperbesar.

 

"Perlu diingat, kerjasama dalam konteks tahaluf siyasi adalah antara parti dengan parti, bukan individu dengan individu.

 

"Jika secara perbandingan, sejak 2008 Guan Eng lebih banyak tak hadir ke mesyuarat PR berbanding Tuan Guru Abdul Hadi. Tetapi itu bukan isu besar," kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily.

 

Mustafa menjelaskan, setakat ini tidak pernah berlaku sesuatu keputusan tidak dapat dibuat sekalipun kedua-dua mereka tidak hadir ke mesyuarat.

 

Hakikatnya, setiap wakil parti ujar Mustafa, sentiasa datang ke mesyuarat dan keputusan boleh dibuat tanpa sebarang masalah.

 

"Antara yang selalu hadir ialah Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar yang mempengerusikan mesyuarat, Lim Kit Siang sebagai wakil DAP dan saya sebagai wakil PAS. Tidak ada masalah," jelasnya.

 

Menurut Mustafa lagi, pemimpin mana-mana parti dalam Pakatan Rakyat termasuk Guan Eng sepatutnya berpegang kepada etika bahawa tidak boleh campur tangan dalam isu dalaman parti lain.

 

"Semua parti ada masalah dalaman. Tapi biar masing-masing parti selesaikan sendiri masalah mereka tanpa campur tangan luar.

 

"PAS sendiri tidak pernah campur tangan isu dalaman DAP. Saya minta Guan Eng hentikan tindakan membangkitkan isu remeh temeh ini," tegas beliau. - HARAKAHDAILY 5/11/2014

0 comments:

Post a Comment