Tuesday 11 November 2014

Terkini Prestasi Kewangan Negeri Kelantan Teruk

KOTA BAHARU: Kedudukan dan prestasi kewangan kerajaan negeri Kelantan pada akhir tahun lepas secara keseluruhannya adalah kurang memuaskan berbanding pada 2012, menurut Laporan Ketua Audit Negara 2013 Siri 3 yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini.

Menurut laporan itu, keadaan berkenaan disebabkan kedudukan Kumpulan Wang Disatukan telah mengalami penurunan sejumlah RM46.88 juta atau 36.7 peratus iaitu daripada RM127.59 juta pada 2012 kepada RM80.71 juta pada 2013.

Akaun Hasil Disatukan menurun sebanyak RM77.78 juta menjadi defisit RM585.90 juta pada 2013 daripada defisit RM508.13 juta pada 2012.

Akaun Pinjaman Disatukan mencatat baki RM27.70 juta pada 2013 berbanding RM1.87 juta pada 2012, manakala Akaun Amanah Disatukan meningkat RM5.08 juta menjadi RM638.92 juta pada 2013 berbanding RM633.84 juta pada 2012.

Laporan Ketua Audit Negara itu menyebut secara umumnya baki defisit Akaun Hasil Disatukan untuk tempoh sekurang-kurangnya lima tahun iaitu dari 2009 hingga 2013, telah ditampung oleh baki Akaun Amanah Disatukan.

Pelaburan kerajaan negeri juga telah berkurangan pada 2013 menjadi RM20.05 juta manakala aliran wang tunai bagi 2013 iaitu jumlah penerimaan berbanding pembayaran wang tunai merekodkan defisit RM43.43 juta berbanding defisit RM9.71 juta pada 2012.

Menurut laporan berkenaan, prestasi kewangan kerajaan negeri bagi 2013 mencatatkan defisit RM77.78 juta berbanding defisit RM69.69 juta bagi tahun sebelumnya (2012).

Prestasi keseluruhan kewangan kerajaan negeri di mana hasil berbanding jumlah perbelanjaan mengurus dan pembangunan 2013 mencatatkan penurunan iaitu daripada defisit RM243.70 juta pada 2012 kepada defisit RM252.56 juta.

Tunggakan bayaran balik pinjaman daripada agensi kerajaan negeri telah meningkat daripada RM147.71 juta pada 2012 kepada RM180.77 juta pada 2013 manakala pelaburan di Penyata Akaun Memorandum mengalami penurunan daripada RM11.55 juta pada 2012 kepada RM9.34 juta tahun 2013.

Seterusnya, tunggakan bayaran balik hutang kepada kerajaan Persekutuan juga turut meningkat daripada RM204.77 juta pada 2012 kepada RM247.16 juta 2013.

Pihak Audit mengesyorkan kerajaan negeri pimpinan PAS itu, merancang dan mengurus keperluan tunainya dengan lebih cekap supaya dapat memenuhi tuntutan perbelanjaan mengurus dan pembangunannya.

Kerajaan Negeri juga hendaklah berbelanja secara berhemat tanpa menjejaskan mutu perkhidmatan dan pembangunan ekonomi Negeri.

Laporan berkenaan juga menyatakan prestasi pelaksanaan projek di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK10) bagi tahun lepas oleh kerajaan negeri adalah memuaskan di mana pelaksanaan projek pembangunan itu mencapai 99.2 peratus siap daripada jumlah projek yang dirancang manakala jumlah perbelanjaan adalah 66.2 peratus berbanding peruntukan yang diluluskan.

Sejumlah 3,228 projek dirancang untuk tahun lepas dengan 3,203 projek siap sehingga 31 Disember 2013, 20 projek sedang dalam pelaksanaan dan lima projek belum dilaksanakan.

0 comments:

Post a Comment