Joko Widodo

Penahanan tersebut dibuat susulan amaran yang dikeluarkan oleh Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) yang meminta pihak berkuasa negara itu bertindak tegas ke atas mana-mana bot nelayan yang menangkap ikan secara haram.

“Tidak perlu menahan mereka, karamkan bot mereka. Karamkan 10 hingga 20 (bot). Itu akan membuatkan mereka berfikir. Bagaimanapun, harus beringat untuk selamatkan anak-anak kapal terlebih dahulu,” kata Jokowi di sini kelmarin.

Setiausaha Kabinet Republik Indonesia, Andi Widjajanto dalam wawancara dengan Reuters berkata, pihak berkuasa Indonesia perlu membanteras aktiviti tangkapan ikan secara haram demi untuk menyelamatkan negara itu yang mengalami kerugian sekitar AS$25 bilion setiap tahun.

“Presiden telah berkata bahawa sektor maritim Indonesia kini berada dalam keadaan darurat dan kita perlu mengambil satu pendekatan baru yang berani. Oleh sebab itu, Indonesia mengecam tindakan penangkapan ikan secara haram tersebut dan tindakan yang keras harus diambil.

“Kami berharap tindakan itu dapat memberikan mesej yang jelas kepada negara-negara jiran kami seperti Malaysia dan China bahawa tindakan tersebut bukan satu tindakan yang biasa bagi kami,” lapor Reuters.

Dalam wawancara itu juga, Andi memberitahu, sekurang-kurangnya 300 nelayan haram lagi akan ditahan dalam beberapa hari yang akan datang.

Sebagai usaha berterusan untuk membanteras tangkapan ikan secara haram itu juga, kerajaan Indonesia tegas Andi, merancang mengadakan protes secara diplomatik ke atas negara-negara yang terlibat yang dijangka membuat aduan ekoran penahanan rakyat mereka.

Kerajaan Indonesia juga bercadang melancarkan satu pasukan pengawal perairan yang baharu Disember ini yang bertujuan mencegah lanun, aktiviti tangkapan secara haram selain melindungi sempadan laut negara itu.

Sebelum ini, Menteri Perikanan dan Hal Ehwal Maritim Indonesia, Susi Pudjiastuti berkata, Indonesia juga akan menandatangani satu memorandum persefahaman (MoU) untuk menentang penangkapan ikan secara haram dengan enam duta dari negara jiran termasuk Malaysia, Filipina, Thailand, Vietnam, Australia, China pada bulan depan. – Utusan

“Keenam-enam duta itu telah berjanji akan membantu menentang penangkapan ikan secara haram,” kata Susi. - UTUSAN

Sementara itu, Duta Besar Malaysia ke Indonesia, Datuk Seri Zahrain Mohammed Hashim berkata, pihaknya akan memantau perkembangan kes itu dan sedang berhubung dengan Kementerian Luar Indonesia untuk mendapatkan pengesahan mengenai dakwaan itu.

“Sehingga kini Kedutaan Besar Malaysia sedang menunggu maklum balas daripada Kementerian Luar Indonesia mengenai dakwaan tangkapan itu,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Zahrain berkata, seandainya terbukti 200 nelayan yang ditahan itu merupakan warganegara Malaysia, pihaknya akan menawarkan bantuan dan khidmat nasihat yang sewajarnya.-UTUSAN